GARAJ

Beri impak besar

Beri impak besar



KALAU diimbas kembali kira-kira 15 tahun dahulu, pasti ramai yang tidak yakin atau percaya pengeluar kenderaan dari Korea Selatan boleh sampai ke tahap ia berada sekarang. Di pasaran mana pun, pengguna nampaknya terus kagum dan berminat untuk mengetahui produk terbaharu keluaran Hyundai dan Kia.

Kejayaan dua jenama itu didorong oleh beberapa faktor. Paling ketara adalah reka bentuk luaran dinamik, ciri tambahan melebihi apa yang ditawarkan oleh pesaing lain dalam kelasnya, harga lebih murah, teknologi serta populariti jenama yang kian meningkat naik.

Hyundai dan Kia juga faham bahawa pembeli generasi baharu tidak lagi bergantung sepenuhnya terhadap sentimen jenama ketika membeli kereta. Sebaliknya, penampilan yang menawan lebih berkuasa untuk menarik minat pembeli.

Bagi segelintir pengguna, isu jualan semula, harga alat ganti dan perkhidmatan selepas jualan juga tidak lagi menjadi aspek utama apabila hendak memiliki sebuah kereta. Perubahan itu nyata memberi manfaat kepada pengeluar dari Korea Selatan tersebut.

Saya masih ingat, ketika kenderaan Hyundai dan Kia mula dipasarkan ke pasaran Malaysia, orang ramai membelinya hanya kerana mahu ada pilihan selain kereta jenama tempatan dan Jepun. Bukan kerana reka bentuk mahupun teknologi yang ditawarkannya.

Kini, senario itu sudah banyak berubah. Hyundai dan Kia sudah ada nama yang gah di pasaran-pasaran besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah. Angka jualan yang dicatatkan memang membuatkan para pesaingnya dari Jepun dan Eropah perlu berasa bimbang.

Antara model terkini yang memberi impak besar kepada jenama Hyundai ialah MD Elantra. Sedan segmen C itu mendapat perhatian bukan sahaja kerana barisan anugerah yang dimenanginya. Malah jumlah jualan yang melonjak tinggi berbanding model terdahulu.


HANYA tekan butang ini untuk menghidupkan enjin MD Elantra.


Sejak diperkenalkan pada Busan International Motor Show 2010, jualan global MD Elantra sudah mencecah sebanyak 103,307 unit sehingga Jun 2011. Di pasaran AS, model itu mencatatkan pertumbuhan jualan sebanyak 90 peratus daripada 43,319 unit kepada 83,309 unit sehingga Jun 2010. Mulai tahun 2012, Hyundai dijangka mengeksport 400,000 unit Elantra ke pasaran global setiap tahun.

Kraf angin

Dalam banyak pengiktrafan yang diterimanya, anugerah 2012 North American Car of the Year membuka mata banyak pihak terhadap kehadiran MD Elantra. Pemilihan MD Elantra dibuat selepas para juri menilai dari aspek inovasi, impak ke atas industri, reka bentuk, keselamatan, pengendalian, kepuasan pemandu dan nilai kepada wang.

Jangan tidak percaya, dengan anugerah itu MD Elantra telah mengalahkan dua lagi finalis lain yang lebih senior iaitu Ford Focus dan Volkswagen Passat.

Direka di Pusat Rekaan Amerika Utara Hyundai di Irvine, California AS, MD Elantra dibina berasaskan kepada konsep reka bentuk yang dikenali sebagai kraf angin (Wind Craft). Ia merupakan sebahagian daripada prinsip rekaan Fluidic Sculpture. Rekaan tersebut memberi penekanan terhadap aspek halangan angin dan berprofail sporty bagi meningkatkan penjimatan bahan api.

Garis-garis yang ada pada tubuh Elantra membuatkan pekali seret (drag coefficient) cuma 0.28, sedangkan jentera elektrik Chevrolet Volt memiliki pekali seret 0.29. Harus tahu bahawa ia juga merupakan evolusi kepada kualiti rekaan yang ada pada model sedan lebih besar, Sonata.

Walaupun agak lambat berbanding pasaran lain, pengedar eksklusif kenderaan Hyundai di Malaysia, Hyundai-Sime Darby Motors Sdn. Bhd (HSDM) mula memperkenalkan MD Elantra kepada khalayak sejak Mac lalu.


PAPARAN meter moden dengan latar lampu berwarna biru.


Pengarah Urusan HSDM, Lau Yit Mun mengakui bahawa MD Elantra ialah senjata terbaharu pihaknya untuk menggempur dominasi sedan keluaran Honda dan Toyota. Keyakinan itu nyata berasas apabila sudah lebih 5,000 unit MD Elantra berjaya dijual hingga sekarang.

HSDM menawarkan MD Elantra dalam empat varian yang terdiri daripada dua pilihan enjin. Hanya satu varian yang menggunakan enjin Nu bersesaran 1.8 liter. Sementara Elantra yang dipasang enjin 1.6 liter dipecahkan kepada tiga varian iaitu manual dengan spesifikasi standard, transmisi automatik (spesifikasi standard) dan automatik berspesifikasi tinggi.

Saya terlepas sesi pandu uji MD Elantra yang diadakan oleh pihak HSDM di Korea Selatan. Peluang memandu jentera itu bagaimanapun hadir pada hujung minggu lalu.

Di atas kertas, enjin Gamma dengan sistem Dual Continuously Variable Valve Timing (D-CVVT) itu mampu menjana kuasa sehingga 130PS dan tork 157Nm. Bagi sebuah enjin aspirasi biasa, kuasanya memadai. Tidak terlalu lembap atau terlalu berkuasa. Kolaborasinya dengan transmisi enam kelajuan automatik enam kelajuan juga tidak mengecewakan.

Kualiti serapan suspensi

Walaupun penukarannya tidaklah sepantas kotak gear berkembar, namun pemandu tetap boleh merasai pemanduan yang lancar. Dinilai dari segi pengendalian, MD Elantra yang memakai lencana Inokom itu masih mampu memberikan keyakinan ketika mengambil selekoh. Kelebihan tersebut banyak dipengaruhi oleh penggunaan sistem Electronic Stability Program (ESP) dan vehicle Stability Management (VSM) yang ada padanya.


JENTERA ini dilengkapi dua beg udara untuk pemandu dan penumpang hadapan.


Cuma, kadang-kala saya dapat rasakan bahawa stereng kuasa atau spesifiknya Motor Drive Power Stereng (MDPS) itu agak ringan biarpun dipandu pada kelajuan tinggi.

Menggunakan sistem suspensi topang MacPherson pada roda hadapan dan gandar torsion beam di belakang bersama penyerap hentakan tiub berkembar hidraulik (gas), ada masanya pemandu akan berasa kenderaan itu sedikit melantun-lantun, terutama jika dipandu di jalan raya yang beralun (misalnya di Putrajaya). Selain itu, kualiti serapan suspensi tersebut boleh dianggap bagus.

Saya sukakan kualiti kabin MD Elantra. Selain menggunakan material plastik berkualiti tinggi, binaannya cukup kemas. Anda tidak akan jumpa ruang di antara komponen yang ternganga luas. Butang-butang kawalannya juga sedap ditekan.

Sebagaimana yang boleh dijangka, jentera itu sarat dengan pelbagai ciri yang biasanya ada pada model lebih mahal. Sebagai contoh, MD Elantra dilengkapi butang Stat/Stop, sistem lampu automatik, pedal aluminium dan banyak lagi.

Selepas empat hari diberi pinjam, secara keseluruhannya saya berpuas dengan apa yang mampu ditawarkan oleh MD Elantra. Saya juga tidak akan terkejut sekiranya model itu mampu melebarkan pengaruh dalam segmen yang sudah dikuasai oleh model Honda dan Toyota sejak sekian lama.

Process time in ms: 16