PESONA

Bukan sekadar perabot rumah

Bukan sekadar perabot rumah



MENJELANG ketibaan Hari Raya Aidilfitri, promosi jualan besar-besaran diadakan di seluruh negara, baik di pusat beli-belah mahupun di bazar Ramadan.

Jika anda inginkan kelainan dan keselesaan semasa membeli-belah apa kata anda singgah ke pusat penjualan perabot dan perkakasan kediaman, Viva Home, yang terletak di Jalan Loke Yew, Cheras. Kuala Lumpur.

Viva Home yang sinonim dengan keperluan dalaman rumah kali ini menampilkan kelainan sempena kedatangan 1 Syawal. Kompleks berkenaan pada tahun ini menyediakan tapak gerai jualan pakaian siap yang terdiri daripada baju kurung dan jubah, barangan perhiasan diri seperti kerongsang, biskut, karpet dan barangan antik seiring dengan cita rasa sambutan perayaan tersebut.

Tapak jualan tersebut memberi peluang kepada masyarakat tempatan membuat persiapan dan melengkapkan keperluan sambutan Aidilfitri di bawah satu bumbung.

Seorang pengusaha pakaian, Suraya Zainal, 50, berkata, perniagaan yang dijalankan di bazar tersebut mendapat sambutan menggalakkan walaupun baru seminggu berniaga.

“Buat permulaan, orang ramai belum membuat persiapan raya apatah lagi baru seminggu berpuasa namun, mungkin pada saat-saat akhir nanti sambutan akan lebih hebat,” katanya.

Dia yang pertama kali membuka gerai jualan di pusat berkenaan memberitahu, kebanyakan baju raya yang ditawarkannya kepada pelanggan adalah baju kurung yang dijual pada harga RM130 hingga RM250 sepasang.


WANITA boleh melaram sakan sempena hari raya nanti kerana segala keperluan penampilan dijual di tapak gerai Aidilfitri di Viva Home.


“Warna baju kurung yang ditawarkan di sini adalah warna yang ceria dan sesuai untuk golongan remaja dan wanita yang berumur lingkungan 30 tahun ke atas,” katanya sambil memberitahu keseluruhan koleksi baju raya di situ diimport dari Vietnam.

Suraya menambah, gerainya turut menjual jubah pada harga RM130 sehingga RM230 memandangkan ramai muslimah kini dilihat lebih gemar memakai jubah.

Sementara itu, peniaga barangan aksesori, Rohani Harun memberitahu, bazar itu memberi peluang perniagaan yang baik untuknya.

“Walaupun belum menerima sambutan, tetapi saya yakin seminggu dua lagi orang ramai akan mula berkunjung ke sini untuk membuat persiapan raya,” ujarnya.

Menyentuh mengenai perniagaannya, Rohani berkata, terdapat pelbagai jenis aksesori seperti rantai leher, rantai tangan, cincin, anting-anting, gelang, pin tudung dan kerongsang.

“Kerongsang yang dijual ada yang berbentuk ringkas dan berangkai panjang. Kesemua aksesori yang dijual di sini sememangnya sesuai untuk pelbagai lapisan umur, tidak kira kanak-kanak, remaja mahupun dewasa,” tuturnya.


PASAR RAYA yang berkonsepkan pusat beli-belah sehenti bukan sahaja menawarkan perhiasan rumah malah turut menawarkan barangan keperluan diri dan perkhidmatan lain.


Aksesori yang berharga dari RM10 hingga RM250 berkenaan sesuai dipadankan dengan baju kebaya labuh, baju kurung dan tudung selain ia akan menaikkan seri busana pakaian itu.

Sementara itu, bagi seorang pengunjung, Sherena Mohd. Mokhtar, 27, dia tidak sangka terdapat gerai jualan sempena Hari Raya Aidilfitri di situ.

Ia berikutan Viva Mall lebih dikenali dengan perkakasan rumah. Walau bagaimanapun, kewujudan gerai-gerai ini memudahkan orang ramai terutamanya umat Islam yang mahu membuat persiapan raya.

“Di bawah satu bumbung, para pengunjung boleh mendapatkan apa sahaja untuk membuat persiapan raya yang bakal tiba,” jelasnya yang teruja dengan barangan yang dijual di situ.

Ketika ditanya mengenai harga, pelajar institusi pengajian tinggi awam itu mengakui bahawa ia amat berpatutan.

“Saya rasa ia setimpal dengan kualiti hasil barangan jualan di sini,” ujarnya.

Process time in ms: 0