INFINITI

Tuah cipta roket air botol minuman 1.5 liter

Tuah cipta roket air botol minuman 1.5 liter



KELEWATAN untuk mendaftar pada masa yang ditetapkan mungkin boleh menyebabkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Tun Ahmad Shah dari Kota Kinabalu, Sabah tersingkir daripada Pertandingan Teknologi Pelancaran Roket Kebangsaan (PTPR) 2012 yang berlangsung minggu lalu.

Namun, walaupun menjadi peserta terakhir yang mendaftar, mereka berjaya mengungguli program tahunan Agensi Angkasa Negara (Angkasa) yang sudah pun memasuki tempoh sedekad penganjurannya.

Ibarat kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu, begitulah yang boleh digambarkan terhadap kejayaan yang dicapai wakil dari negeri di bawah bayu itu.

Salah seorang peserta, Suhardi Hablee, 16, mengakui kemenangan tersebut merupakan satu anugerah Allah yang tidak ternilai buat mereka.

“Pasukan kami lewat sampai untuk mendaftar disebabkan beberapa masalah teknikal. Malah, ketika melancarkan model roket air yang telah dicipta, kami tidak sempat memakai baju rasmi pertandingan.

“Sebaliknya, kami yang tiba di sini dengan lengkap berbaju Melayu terus menuju ke padang kerana nama pasukan telah dipanggil untuk mempamerkan hasil ciptaan kami. Tetapi, Alhamdulillah, hasilnya amat membanggakan,” jelas Suhardi ketika ditemui Kosmo! selepas tamat pertandingan.

Wakili negara


PERSIAPAN yang teliti diperlukan sebelum sesebuah roket itu dilancarkan ke ruang udara.


Kejayaan Suhardi dan rakannya membolehkan mereka mewakili Malaysia dalam pertandingan roket air peringkat Asia Pasifik ke-19 di Kuala Lumpur yang bakal berlangsung Disember ini.

Acara itu diadakan sempena Forum Agensi Angkasa Serantau Asia Pasifik (APRSAF) yang menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah selepas diadakan di Singapura tahun lalu.

Sementara itu, guru pengiring SMK Agama Tun Ahmad Shah, Hartini Asimin melahirkan rasa bangga kerana prestasi yang dipamerkan anak didiknya dalam pertandingan tersebut.

“Sekolah kami sudah menyertai PTPR sejak tahun 2004, namun tidak pernah sekali pun bergelar juara. Bagaimanapun, usaha gigih para pelajar yang sentiasa melakukan latihan akhirnya membuahkan hasil.

“Diharap kami mampu menjulang nama negara pada pertandingan di peringkat Asia Pasifik hujung tahun ini. Insya-Allah, banyak yang perlu dilakukan sebagai persediaan kami kelak,” kata Hartini.

Sebagai johan keseluruhan, pasukan SMK Agama Tun Ahmad Shah membawa pulang hadiah utama berupa Piala Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, teleskop Meade DS2102 102mm Maksutov Cassegrain, piala, pingat, kit pendidikan, sijil kecemerlangan dan sijil penghargaan.

Tempat kedua pula dimenangi SMK Tunku Abdul Rahman Putra, Sabak Bernam, Selangor yang menerima teleskop Celestron Nextstar 90SLT 90mm Maksutov Cassegrain, pingat, kit pendidikan, sijil kecemerlangan dan sijil penghargaan.

Projek perintis


SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Tun Ahmad Shah dari Kota Kinabalu, Sabah muncul juara tahun ini.


Sementara itu, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang menduduki tempat ketiga menerima teleskop Astro Master 90EQ Refractor, pingat, kit pendidikan, sijil kecemerlangan dan sijil penghargaan.

PTPR merupakan satu program tahunan Angkasa yang dianjurkan dengan kerjasama Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Universiti Malaya.

Ia mula dianjurkan sejak tahun 2003 sebagai projek perintis bagi program pendidikan sains yang terbuka kepada semua pelajar sekolah menengah di seluruh negara.

Menurut Program Koordinator PTPR 2012, Jong Tze Kian, 35, pertandingan ini memerlukan para peserta berfikir secara kreatif dan menyusun pelbagai strategi untuk mereka bentuk dan membina roket.

“Semua peserta dikehendaki mereka cipta model roket air menggunakan botol minuman berkarbonat 1.5 liter. Model ini kemudian akan digunakan untuk melakukan beberapa misi pelancaran ke udara.

“Bagi melancarkan roket, peserta hanya dibenarkan mengguna alatan pelancar, tekanan air dan udara. Justeru, pemahaman mengenai konsep dan aplikasi sains amat penting untuk diadaptasi ketika menghasilkan roket air tersebut,” ujar Tze Kian.


KETEPATAN sasaran roket juga dinilai dalam pertandingan.


Apa yang pasti, program ini merupakan pendekatan terbaik yang menggabungkan kepakaran dan inovasi pelajar sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai pakar yang berkemahiran tinggi, berpengetahuan, dinamik serta mampu bersaing dalam bidang industri sains dan teknologi angkasa yang semakin berkembang.

Berlangsung pada 13 hingga 15 Julai lalu di padang sukaneka Universiti Malaya, PTPR tahun ini disertai 26 peserta daripada 13 buah pasukan. Ia terbahagi kepada empat kategori iaitu ketepatan sasaran, payung terjun, pembentangan projek dan terbuka.

Mengulas pencapaian keseluruhan peserta tahun ini, ketua panel hakim, Prof. Datuk Dr. Mohd. Zambri Zainuddin memberitahu, terdapat peningkatan ketara dalam setiap kategori yang dipertandingkan.

“Kebanyakan peserta dilihat begitu yakin ketika sesi pembentangan dan mereka memahami konsep fizik yang diguna pakai untuk melancarkan roket seperti momentum dan daya.

“Begitu juga dalam kategori ketepatan sasaran, daripada 13 pasukan yang bertanding lapan daripadanya berjaya menghampiri sasaran. Tidak ketinggalan kategori payung terjun turut mencatat keputusan membanggakan bagi setiap pasukan,” ungkap Mohd. Zambri sambil menambah bahawa pasukan yang dinobatkan sebagai juara memang cukup bersedia dan mereka tahu apa yang ingin dilakukan.

Varia!»

Ketokohan Bapa Perbankan Islam

YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (kanan) menyampaikan Anugerah Diraja Kewangan Islam kepada Abdul Halim di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 0