SUKAN

Woods kembali singgah Malaysia

Woods kembali singgah Malaysia

SELEPAS 13 tahun, bintang Amerika Syarikat (AS), Tiger Woods akan kembali ke Malaysia apabila disahkan beraksi pada Kejohanan Golf CIMB Classic 2012 di The Mines Resort & Golf Club, Seri Kembangan, Selangor bermula 25 hingga 28 Oktober depan.

Woods yang juga bekas pemain No. 1 dunia, mengesahkan penyertaannya pada kejohanan tersebut dalam mesejnya yang disiarkan menerusi rakaman video pada majlis pelancaran rasmi CIMB Clas- sic 2012 di Putrajaya semalam.

"Saya tidak sabar untuk datang ke Malaysia pada penghujung Oktober depan.

"Saya bermain dalam Piala Dunia pada 1999 dan mempunyai kenangan indah mengenai negara ini (Malaysia).

"Ia secara tradisi mengetengahkan barisan pemain terkemuka dan saya tidak sabar untuk menjadi sebahagian daripada kejohanan tahun ini," katanya.

Selain Woods, turut kembali beraksi dalam kejohanan berprestij di rantau Asia itu ialah juara bertahan, Bo Van Pelt.

CIMB Classic 2012 yang sebelum ini dikenali sebagai CIMB Asia Pacific Classic, dilancarkan dengan rasminya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya semalam.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen dan Pesuruhjaya Jelajah PGA, Tim Finchem.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak pada sidang akhbar selepas itu berkata, CIMB Classic 2012 akan menjadi kejohanan penuh Jelajah PGA dan akan menjadi sebahagian Piala FedEx mulai tahun depan.

Beliau berkata, selaras dengan statusnya yang telah dinaikkan, kejohanan bagi edisi 2013 akan disertai 78 pemain berbanding 48 pemain ketika ini dan hadiah wang tunai juga akan ditambah daripada AS$6.1 juta kepada AS$7 juta.

"Perancangan sebelum ini memang untuk menjadikan CIMB Classic 2012 sebagai kejo- hanan penuh Jelajah PGA, jadi ini merupakan berita baik bagi kami, bagi Malaysia dan bagi rantau ini," kata Nazir.

Beliau menambah, CIMB telah menandata- ngani perjanjian baharu lima tahun bermula 2012 hingga 2016 dengan Jelajah PGA.

Bagi saingan kali ini, seramai 48 pemain ber- aksi dengan menampilkan 30 pemain daripada senarai pemenang terbaik dalam FedEx, 10 (Order of Merit Jelajah Asia) dan lapan pemain yang mendapat tajaan.

Dua tempat daripada pemain yang mendapat tajaan akan diberikan kepada pemain golf profesional Malaysia dengan seorang berdasarkan ranking dunia dan seorang lagi menerusi kelayakan kebangsaan.

Tahun lalu, Malaysia diwakili Shaaban Hussin yang layak menerusi sesi kelayakan kebangsaan dan pemain profesional terbaik Malaysia, Danny Chia.

Process time in ms: 15