URBAN

Nilai Ramadan lahirkan pekerja berkualiti

Nilai Ramadan lahirkan pekerja berkualiti




HARI ini masuk hari ke-17 umat Islam berpuasa. Ini bermakna tinggal dua minggu sahaja lagi umat Islam akan menyambut Aidilfitri.

Masa berlalu begitu pantas tanpa kita sedari. Ramadan juga semakin meninggalkan kita. Namun, dalam kesibukan membuat persiapan menyambut Aidilfitri, jangan lupa merebut kelebihan sepuluh malam terakhir Ramadan yang datang setahun sekali.

Sepanjang 17 hari menjalani ibadah puasa, berapa ramaikah antara kita yang benar-benar menghayati roh Ramadan? Pernahkah kita meletakkan sasaran supaya setiap kali kedatangan Ramadan menjadikan kita seseorang yang baharu dan lebih baik dari segi spiritual mahupun fizikal? Adakah kita telah memberi mesej yang betul melalui ibadah puasa kepada orang lain yang kurang faham berhubung rukun Islam ketiga itu? Atau adakah kita tetap sama baik sebelum kedatangan Ramadan, sepanjang Ramadan dan selepas berlalunya bulan yang mulia ini?

Sebagai seorang Islam, kita wajib bersyukur kerana Allah menghadiahkan kita bulan yang cukup istimewa. Ramadan bukan sekadar bulan untuk melengkapi kitaran tahun sebaliknya ia mengandungi mesej tersirat untuk menyucikan jiwa manusia.

Hakikatnya, Ramadan ialah bulan tarbiyah. Sebagai bulan yang sinonim dengan bulan pesta ibadah, Ramadan merupakan bulan latihan.

Jika selama ini kita lalai, inilah masa dan peluang untuk kita memperbaiki diri. Alangkah baiknya jika nilai-nilai yang diterapkan pada Ramadan ini kita serap dalam kehidupan harian, hatta ketika bekerja. Tidak kira apa pun kedudukan individu dalam sesebuah organisasi, dia adalah seorang pekerja.

Ramadan membentuk kita menjadi seorang pekerja yang berdisiplin terutamanya dari segi masa. Lihat bagaimana Ramadan mendidik kita bahawa masa sesuatu yang sangat berharga.

Sebagai contoh, kita berbuka tepat pada masanya apabila masuk waktu Maghrib dan bersahur sebelum waktu imsak atau Subuh menjelma. Bahkan kita juga perlu merancang masa makan ketika berbuka supaya dapat menunaikan solat Maghrib tanpa melengah-lengahkannya.

Pada bulan lain, mungkin ramai yang tidak sedar 'mencuri waktu bekerja' apabila lebih banyak masa dihabiskan dengan berbual kosong berjam-jam lamanya ketika waktu makan. Mencuri masa bekerja menyebabkan banyak kerja yang sepatutnya boleh disiapkan tepat pada masanya tergendala. Bahkan, ia menjadikan seseorang pekerja kurang efisien.

Sebaliknya, isilah masa rehat pada bulan Ramadan dengan aktiviti yang berfaedah seperti membaca al-Quran, melakukan solat sunat tarawih pada waktu malam atau qiamullail pada sepertiga malam. Saya percaya untuk melakukan semua itu memerlukan mujahadah yang tinggi. Hanya keikhlasan yang menjadi pendorong.

Kita tidak perlu disuruh untuk melakukan semua amalan tambahan itu andai kita mempunyai matlamat untuk berjaya di akhirat tanpa mengabaikan tuntutan dunia.

Kejujuran

Sehubungan itu, jadikan amalan sunat ini sebagai analogi ketika bekerja. Saya percaya seseorang pekerja itu lebih disayangi majikan jika dia menghasilkan kerja tanpa perlu disuruh, tepat pada masanya, sedia menerima arahan, berdisiplin dan melakukan kerja-kerja tambahan selain tugasan sedia ada. Lazimnya, individu seperti ini mampu pergi jauh dan menjadi contoh berbanding mereka yang berkira, tidak produktif, suka mengeluh dan tidak berdisiplin.

Berpuasa dengan menahan seseorang daripada makan minum dan melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa tanpa disedari menjadi landasan untuk mengukur tahap kejujuran setiap individu.

Jujur kepada diri sendiri dan kepada Yang Maha Esa. Tiada siapa yang tahu jika kita menipu dengan mengatakan kita berpuasa, sedangkan di rumah mungkin kita makan minum kerana tiada manusia yang melihat. Hamba Allah yang jujur pasti tidak akan melakukan perkara sedemikian kerana keimanannya pada Allah.

Begitu juga halnya dengan pekerja yang jujur. Dia akan melakukan kerja-kerja yang diamanahkan dengan telus meskipun ketika ketiadaan majikannya. Pekerja yang jujur ialah pekerja yang bertanggungjawab tanpa perlu dipantau 24 jam tetapi masih mampu melaksanakan tugas dengan baik.

Mengata, mengumpat atau hasad dengki sesama rakan sepejabat sama ada daripada mulut ke mulut atau melalui platform maya seperti Facebook atau Twitter misalnya adalah perbuatan yang ditegah lebih-lebih lagi pada bulan yang mulia ini.

Budaya itu membunuh nilai-nilai kasih sayang sesama rakan di pejabat. Alangkah baiknya jika kita meninggalkan budaya negatif itu kerana Ramadan menggalakkan kita memelihara ukhuwah daripada bermusuh sesama sendiri.

Didikan Ramadan seharusnya menjadi teras apabila Syawal menjelma diikuti bulan-bulan seterusnya. Ramadan harus dijadikan titik tolak untuk kita berubah. Perubahan tidak perlu dilakukan secara drastik memadai jika kita berusaha ke arah itu walaupun sedikit.

Ramadan mendidik kita supaya menjadi hamba Allah yang bertaqwa dan berkualiti dari aspek kerohanian, lalu apa salahnya kita menterjemahkannya dengan menghasilkan kerja yang berkualiti.

Refleksi dan baikilah diri serta jadikan Ramadan untuk kita menjadi lebih baik daripada kita yang sebelum ini.

Varia!»

Logo kuih baulu Politeknik Metro

PARA pelajar Diploma Pengurusan Hotel dan Katering, Politeknik Metro Kuala Lumpur menggunakan sistem giliran bertugas bagi menyiapkan kuih baulu.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 46