SUKAN

Higuaín jadi sasaran City

Higuaín jadi sasaran City

LONDON - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini mahu menambah bisa di bahagian serangan kelab itu apabila dilaporkan membida penyerang Real Madrid, Gonzalo Higuaín dengan yuran perpindahan berjumlah £35 juta (RM157 juta).

City sebelum ini bersaing dengan Manchester United dan Juventus untuk mendapatkan khidmat penyerang Arsenal, Robin van Persie.

Bagaimanapun, kelab itu kini mengalihkan perhatian mereka apabila cuba memikat penyerang Argentina itu pula.

Higuaín juga menarik minat Chelsea dan Tottenham, namun dengan sumber kewangan yang besar, City ternyata mempunyai kelebihan berbanding kelab-kelab tersebut.

Mancini dikatakan mahukan van Persie tetapi penyerang Belanda itu difahamkan enggan menyertai beberapa bekas pemain The Gunners di Etihad.

Musim lalu, Higuain terpaksa bekerja keras untuk membarisi kesebelasan utama Madrid kerana José Mourinho lebih gemar menggunakan Karim Benzema, walaupun dalam masa yang sama dia enggan menjual Higuaín.

Sekiranya City ingin mendapatkan khidmat pemain itu, kelab berkenaan perlu menjual beberapa penyerang mereka yang bergaji lumayan.

Emmanuel Adebayor dijangka berhijrah ke Tottenham tetapi ia terhalang oleh tuntutan gaji tinggi pemain itu yang mencecah £150,000 (RM675,000) seminggu.

Dua lagi penggempur kelab itu, Carlos Tévez dan Roque Santa Cruz yang dibeli oleh City dengan harga £17 juta (RM76.5 juta) juga sedia untuk dijual. - Agensi

Process time in ms: 0