SUKAN

Wiggins merendah diri

Wiggins merendah diri


WIGGINS sudah mengumpul keseluruhan tujuh pingat pada Sukan Olimpik.


LONDON - Pelumba basikal Britain, Bradley Wiggins tetap merendah diri meskipun memegang status selaku atlet paling berjaya pada Sukan Olimpik.

Wiggins dilabel sebagai atlet paling berjaya selepas mempamerkan kayuhan bertenaga untuk memenangi pingat emas dalam acara ujian masa pada te- masya kali ini.

Pingat perak dimenangi pelumba Jerman, Tony Martin manakala seorang lagi pelumba Britain, Christopher Froome meraih gangsa.

Kejayaan itu membolehkan Wiggins mengumpul keseluruhan tujuh pingat sepanjang penglibatannya pada temasya terbesar dunia itu, sekali gus mengatasi rekod bekas pendayung Britain, Steve Redgrave yang mengutip enam pingat.

Bagaimanapun, Redgrave masih boleh mendabik dada kerana rekodnya memenangi lima pingat emas pada Sukan Olimpik masih belum dapat diatasi oleh atlet-atlet Britain yang lain.

Ditanya sejauh mana kejayaan tersebut memberi makna buat dirinya, Wiggins berkata: "Tidak banyak yang saya boleh katakan.

"Berjaya menyamai rekod milik Red- grave atau Chris Hoy (pelumba basikal trek Britain) adalah satu penghormatan. Namun, segala-galanya adalah tentang pingat emas.

"Apabila kamu berjaya menjadi juara Olimpik, orang pasti akan bertanya sudah berapa kali kamu memenanginya? Sudah pasti kamu akan menjawab tiga pingat emas, kamu tidak akan kata dua pingat perak dan satu gangsa."

Setakat ini, Wiggins telah memenangi empat pingat emas termasuk ketika meraih tiga pingat emas pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China.

Pada temasya 2000 di Sydney, Australia, Wiggins berjaya memenangi dua pingat gangsa manakala empat tahun kemudian di Athens dia membawa pulang satu pingat perak.

Bulan lalu, Wiggins, 32, cemerlang apabila menjadi pelumba Britain pertama yang menjuarai Jelajah Perancis.

Sementara itu, pelumba Amerika Syarikat, Kristin Armstrong mengungguli saingan dalam acara ujian masa wanita apabila memenangi pingat emas dengan catatan masa 37 minit 34 saat.

Pelumba Jerman, Judith Arndt membawa pulang pingat perak manakala Olga Zabelinskaya dari Rusia meraih pingat gangsa. - Reuters

Process time in ms: 16