RENCANA UTAMA

Bukan mudah menguasai petikan oud

Bukan mudah menguasai petikan oud


ABBAS Naji mula belajar bermain oud sejak berusia 10 tahun dan kini gigih menjadi tenaga pengajar dalam mengembangkan alat muzik itu.


DI atas pentas di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Kuala Lumpur baru-baru ini kelihatan seorang wanita warga Mesir sedang bersedia untuk mengalunkan sebuah lagu. Sambil duduk di atas kerusi, wanita berusia 34 tahun itu kelihatan sangat yakin dan bersemangat untuk menghiburkan khalayak dengan petikan alat muzik oud atau lebih dikenali gambus di Malaysia. Oud merupakan instrumen berbentuk buah pear dan bertali seperti gitar. Kebiasaanya ia digunakan dalam persembahan muzik di Asia Barat dan Afrika Utara.

Oud berkembang ke seluruh dunia termasuk Malaysia dan kemudiannya sedikit sebanyak diasimilasikan dengan budaya tempatan. Oud yang digunakan wanita dikenali sebagai Sherine Tohamy itu mempunyai tujuh tali, namun ia mudah menguasai alat terbabit. Lenggok kepalanya turut berubah-ubah seiring dengan nada muzik yang dimainkan, selain jari-jemarinya pantas bergerak bagi mencari ritma yang sesuai dengan lagu yang dialunkan.

Para penonton juga dapat merasai kehangatan dan keunikan muzik yang dipersembahkan wanita berkenaan. Mereka bagaikan tenggelam dengan keindahan irama muzik dari Asia Barat itu. “Saya sangat mencintai oud. Iramanya yang indah sangat dekat dengan hati saya,” kata Sherine ketika ditemui baru-baru ini sempena 1st International Music Conference & Festival 2012. Berlatih lapan jam sehari Pada festival yang berlangsung dari 6 hingga 8 Julai lalu, beliau yang juga guru muzik turut diundang mempersembahan muzik oud secara solo di Matic selama dua malam.

Tidak dapat dinafikan, Sherine mempunyai bakat dan semangat yang tinggi dalam memartabatkan aliran muzik berkenaan sama ada di negaranya atau di seluruh dunia. “Saya bermula agak lambat dalam permainan gambus iaitu ketika berusia 22 tahun. Permainan gambus agak sukar, namun ‘semangat’ muzik ini meresap dalam jiwa menyebabkan saya sanggup berkorban masa mempelajarinya. Saya berlatih lebih lapan jam sehari bagi memantapkan kemahiran selain mencari stail tersendiri.

“Dua tahun kemudian, saya tamat pengajian dan semakin menguasai petikan oud. Di pusat muzik berkenaan yang ditubuhkan pada tahun 2000, ia mempunyai kira-kira 150 pelajar. Namun, sehingga kini cuma 50 pelajar sahaja yang telah tamat pengajian. Begitulah sukarnya untuk memperoleh pengiktirafan dalam muzik oud ini,” katanya yang merupakan graduan wanita pertama pusat muzik itu.

Asimilasi dengan budaya tempatan


PEMAIN oud dari Asia Barat berasa gembira dapat berkongsi bakat dan kemahiran bermain oud dalam 1st International Music Conference & Festival 2012 di ibu negara baru-baru ini.


Bagi pemuzik Lebanon, Abbas Naji Kassamany, 36, oud memang sukar dimainkan kerana memerlukan ketajaman telinga untuk mengenal pasti not yang tepat. Jika tidak, katanya, muzik yang dihasilkan kedengaran sumbang. Meskipun mula mempelajari oud sejak berusia 10 tahun dan menjadi profesional lapan tahun kemudian, Abbas tetap merendah diri dan mengatakan masih banyak perlu dipelajarinya untuk menjadi seorang pemain oud terbaik.

“Ayah yang minat bermain oud merupakan guru pertama saya. Oud yang sentiasa berada di sekeliling rumah mendorong saya mempelajari alat ini. Kemudiannya saya menyambung pengajian di National Lebenase Concervatory bagi mendalami lagi instrumen ini. “Bunyi yang terhasil daripada petikan oud sangat indah dan dengan bermain alat ini saya dapat meluahkan perasaan melaluinya. Momen paling indah dalam hidup saya adalah dapat berkongsi muzik kegemaran saya ini dengan orang ramai. Saya sangat menikmati saat-saat itu,” katanya yang sudah 10 tahun menjadi guru oud.

Bagi penyelidik oud, Majid Nazampur, 40, beliau bukan hanya datang ke Kuala Lumpur untuk membuat persembahan, malah berkesempatan membentangkan kertas kerja pada festival itu. Beliau yang berasal dari Teheran, Iran mendapati permainan oud di Asia dan negara-negara Arab agak berbeza, namun percaya perbezaan itu berikutan muzik berkenaan telah diserapkan bersama budaya tempatan. Perbezaan itu dapat didengar daripada lenggok lagu yang berlainan. “Saya menyukai bunyi oud terutama mereka yang mampu menghasilkan kualiti bunyi yang tinggi. Saya pula suka memainkan oud dengan nada yang tinggi kerana ia memberikan satu kepuasan,” katanya.

Process time in ms: 32