TERKINI

Dua lelaki cedera ditembak ketika cuba lari

Dua lelaki cedera ditembak ketika cuba lari

20/07/2012 11:50am

KUALA LUMPUR – Dua lelaki cedera ditembak apabila cuba melarikan diri daripada ditahan polis di Plaza Tol Sunway dari arah Puchong, dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli berkata, polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan selepas mereka dan seorang lagi rakan yang menaiki kereta Honda Civic bertindak mengundurkan kereta sehingga merempuh kenderaan yang dinaiki anggota polis.

Beliau berkata, dua daripada tembakan terkena cermin hadapan, mencederakan bahu kiri pemandu, manakala satu lagi tembakan yang mengenai pintu depan turut mencederakan bahagian pinggang penumpang di sebelahnya.

"Ketika kejadian, anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang sedang melakukan rondaan dan terlihat sebuah kereta Honda Civic berwarna hitam dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan di Bandar Kinrara.

"Polis mengekori kereta itu sehingga ke Plaza Tol Sunway. Bila terlihat sebuah lagi kereta peronda polis cuba menghalang, suspek bertindak merempuh kenderaan di hadapan sebelum berundur dan menghentam kenderaan anggota kami, menyebabkan tembakan terpaksa dilepaskan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Yahaya berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki ketiga-tiga suspek berumur antara 16 dan 24 tahun itu dipercayai dicuri di Kelana Jaya pada 4 Jun lalu berdasarkan nombor pendaftaran palsu yang digunakan, manakala pemandunya mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan samun dan curi kereta. – BERNAMA

Process time in ms: 16