SUKAN
LTdL jenama unggul sukan negara

KEJAYAAN penganjuran Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) sejak tahun 1996 bukan sahaja menarik perhatian pelumba terkemuka dunia malah berjaya meningkatkan sektor industri sukan dan pelancongan di Malaysia.
Sejak pelumba negara seperti Anuar Manan berjaya mencuri tumpuan dengan berada di podium kemenangan, ia secara tidak langsung turut menarik pelabur tempatan dan asing untuk menaja kejohanan berprestij itu.
"Secara peribadi, saya menjangkakan perlumbaan ini mampu berdiri dengan sendirinya dalam masa tiga tahun memandangkan penajaan berterusan yang diterima.
"Biarpun status kejohanan ini bukan ditahap Pro Tour, ia tetap berjaya menarik penyertaan pasukan terkemuka terutama dari Eropah dan Asia," jelas Ketua Pegawai Eksekutif LTdL, Emir Abdul Jalal.
"Tidak dinafikan ada gesaan agar kami menaikkan status kejohanan ini ke tahap Pro Tour, namun kami mempunyai sebab tersendiri untuk mengekalkannya begitu," tambahnya ketika ditemui pada Persidangan Bisnes Sukan Asia Pasifik 2012 yang berlangsung di ibu negara semalam.
Ekoran penganjuran tanpa gagal LTdL setiap tahun, Emir menjelaskan kerajaan juga harus memainkan peranan dalam menjayakan kejohanan ini sebagai sukan pelancongan biarpun LTdL mendapat penajaan daripada sumber luar.
Bukan hanya pelumba terkemuka yang memberi impak kepada kejohanan ini, siaran selama 10 jam oleh media elektronik antarabangsa berjaya mempromosi Malaysia di pentas dunia.
"Justeru, tanpa sokongan daripada pihak terbabit, kita bimbang penganjuran tersebut bakal terjejas kerana kejohanan itu sudah terbukti berjaya memajukan sukan berbasikal di Malaysia.
"Gaya penganjuran kita juga terbukti lebih bagus berbanding apa yang disediakan pada Jelajah Perancis, namun apa yang lebih penting, pelumba terkemuka dunia menjadikan LTdL sebagai rujukan mereka," ujar Emir.
Ini juga dapat dilihat dengan adanya beberapa firma asing yang berminat untuk mengambil alih penganjuran LTdL namun ditolak oleh pihak pengurusan LTdL.
"Ia membuktikan sukan ini amat bernilai dan kita perlu mengekalkannya sebagai jenama sukan negara," katanya.
Persidangan tersebut disertai 300 peserta yang terdiri daripada pelbagai sektor berkaitan industri sukan.



Kafe kedai hardware
Mudah dan senang di bawa ke mana-mana sahaja
Kebaikan anak dijaga kedua-dua ibu bapa

