SUKAN

Arsenal bawa semua pemain utama

Arsenal bawa semua pemain utama


ARSENE WENGER


WALAUPUN masih ramai pemain yang terlibat dalam kempen Euro 2012 masih bercuti, namun jurulatih Arsenal, Arsene Wenger berjanji akan membawa kesemua pemain utama dalam penerbangan ke Kuala Lumpur bagi siri Jelajah Asia 2012, minggu hadapan.

Menurut Wenger, antara mereka yang masih mengambil cuti rehat adalah Tomas Rosicky, Theo Walcott dan Alex Oxlade-Chamberlain serta pemain baharu The Gunners, Lukas Podolski dan Giroud Olivier.

“Pemain kami kini bebas daripada sebarang kecederaan dan apa yang menjadi fokus kami kini adalah untuk tampil dengan kesebelasan terbaik menentang pasukan Malaysia XI di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Julai ini,” kata Wenger yang sudah tiga kali membawa Arsenal ke Kuala Lumpur sebagai pengurus.

Katanya lagi, peminat di Malaysia cukup bertuah kerana Arsenal akan hadir dengan kesemua pemain kegemaran peminat dan paling penting peminat di Malaysia juga akan menjadi yang pertama di dunia untuk menonton pemain baharu seperti Podolski dan Giroud menyarung jersi Arsenal.

Tambah Wenger, dia secara peribadi tidak sabar untuk tiba ke Malaysia kerana sebelum ini, mereka telah mendapat layanan yang terbaik dan sambutan terbesar.

“Saya suka bercakap dengan peminat Malaysia dan seluruh rakyat Malaysia secara amnya kerana mereka tidak hanya ghairah tentang kelab Arsenal, tetapi mereka sangat berpengetahuan tentang bola sepak terutama Liga Perdana England, dan saya pasti kali ini akan menjadi satu lagi siri lawatan yang berjaya,” kata Wenger dalam satu sidang akhbar khas di ibu negara semalam.

Tiket untuk menyaksikan perlawanan itu berharga RM58, RM68, RM108 dan tiket VIP pula berharga RM388 dan ia adalah terhad.

Semua tiket boleh didapati di semua cawangan Ticketpro di seluruh negara.

Untuk maklumat lanjut, peminat boleh menghubungi Ticketpro di talian, 03-7880-7999 serta melayari laman web, www.ticketpro.com.my.

Pada 23 Julai, bermula 8.30 malam, pasukan Arsenal akan turun untuk sesi latihan pemanas badan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Process time in ms: 0