SUKAN
KOM tak berganjak
KERATAN Kosmo! semalam. |
PINTU bagi melakukan sebarang perubahan berhubung penyertaan atlet olahraga negara menerusi slot wild card ke temasya Sukan Olimpik 2012 di London sudah tertutup.
Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk R. Annamalai berkata, Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) telah pun memaklumkan mengenai perkara tersebut menerusi surat yang dihantar kepada badan induk sukan olahraga negara itu baru-baru ini.
“Dalam surat itu, IAAF memaklumkan kepada KOM bahawa penyertaan ke Sukan Olimpik 2012 menerusi slot wild card telah ditutup.
“Jadi, kami tidak boleh melakukan sebarang perubahan berhubung penyenaraian atlet ke sana. Kami perlu hormati arahan yang telah dikeluarkan IAAF itu,” kata Annamalai ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Annamalai berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim yang mendakwa KOM masih ada masa untuk melakukan perubahan terhadap senarai atlet yang benar-benar layak beraksi di London.
Karim berkata, IAAF kebiasaannya masih boleh menerima sebarang perubahan dua minggu sebelum acara olahraga membuka tirainya pada 3 Ogos depan.
Kosmo! semalam melaporkan Karim membidas keputusan KOM berhubung penyenaraian jaguh lompat tinggi, Lee Hup Wei dan ratu acara 400 meter lari berpagar, Noraseela Mohd. Khalid ke temasya Sukan Olimpik 2012 menerusi tiket wild card yang diberikan oleh IAAF.
![]() |
|
Annamalai |
Berdasarkan pungutan mata yang dikeluarkan IAAF, atlet 110 meter lari berpagar, Rayzam Shah Wan Sofian dan ratu lompat bergalah, Roslida Samsu lebih layak untuk beraksi pada temasya berprestij di dunia itu.
Bagaimanapun, Annamalai tampil mempertahankan dirinya apabila menegaskan bahawa penyertaan atlet olahraga negara ke Sukan Olimpik 2012 dibuat oleh panel jawatankuasa pemilihan yang diketuai oleh Mohamad Awang.
“Saya hanya dilantik sebagai pengurus skuad olahraga negara sahaja dan tidak ada kena mengena dalam hal pemilihan atlet ke Sukan Olimpik 2012. Jadi, mengapa mahu menyalahkan saya dalam hal ini.
“Lagipun, selepas jawatankuasa pemilihan membuat keputusan, perkara itu telah dibentangkan dalam mesyuarat ahli majlis KOM yang turut dihadiri oleh presiden (Datuk Seri Shahidan Kassim) dan Karim juga ada bersama sekali pada 15 Julai lalu.
“Ya, memang ada pihak membantah keputusan tersebut. Namun, majoriti ahli majlis telah bersetuju dengan keputusan yang telah dibuat oleh panel jawatankuasa pemilihan,” jelas Annamalai.
Varia!»

Ahli sejarah, arkeologi bertemu di Sarawak
PELBAGAI khazanah dipamerkan membabitkan 21 muzium di seluruh negara bermula esok hingga 26 Mei ini.





Kafe kedai hardware
Teknologi Motion Capture di Aswara
Kebaikan anak dijaga kedua-dua ibu bapa

