HIBURAN

Makin pantas berevolusi

Makin pantas berevolusi



PENGENALAN Hujan bermula sekitar tahun 2006 berbekalkan genre muzik alternatif. Mengorak langkah bermula dengan single Pagi Yang Gelap seterusnya Bila Aku Sudah Tiada, perjalanan kumpulan yang dianggotai Noh, Dimas, AG Coco dan Azham pada awalnya bertambah rancak.

Hujan kerap mendapat inspirasi daripada kumpulan The Strokes, Butterfingers dan Pot Amir Radiostaq (ROSIN) dalam menyampaikan lagu bermesejkan cinta, ketuhanan, kekeluargaan dan isu semasa.

Akhirnya, lewat tahun 2008, album sulung mereka yang diberi judul Hujan berjaya dilahirkan di bawah label Noh Phrofile Enterprise.

Kemudian, pada tahun 2009, album tujuh lagu, Mencari Konklusi berbekalkan genre rock alternatif pula muncul di bawah label yang serupa.

Album ketiga Hujan diberi nama Lonely Soldier Boy terbit tahun ketiga berturut-turut selepas album sulung mereka dan mempertaruhkan 14 buah lagu dalam genre yang sama.

Memperlahankan rentak, menarik nafas panjang, album keempat akhirnya berjaya diterbitkan pada tahun ini dengan judul Sang Enemy.

Mengulas perkembangan kumpulan Hujan, selaku pengurus kumpulan itu, Dimas Santoso, dia mengakui Hujan pernah ditolak suatu ketika dulu akibat wacana muzik yang dibawa yang berbeza daripada kebiasaan.

"Kami sentiasa berhadapan risiko dibenci dan muzik kami disisihkan ke tepi sama ada dari peminat atau pihak-pihak tertentu.

"Namun, kekuatan itu diperoleh dengan cara menggali muzik dan mencuba pendekatan berbeza. Syukur sekarang Hujan sudah berada di dalam aliran muzik semasa dan lebih diterima selain disokong kuat oleh kelab peminat kami, Raingers," katanya yang ditemani Noh, AG Coco, Izzat dan Azham.

Vokalis Hujan, Noh Salleh kemudian melanjutkan cerita tentang evolusi muzik mereka yang kini sudah melewati usia lima tahun. Kemunculan album Sang Enemy katanya, mentafsirkan makna sebenar kuasa dan penangan kumpulan indie itu.

Bukan bermakna mencipta sebuah perubahan, tapi mereka menjelaskan corak muzik yang sedikit berlainan daripada pengenalan Hujan yang sebagai sebuah kumpulan rock balada seperti mana album sebelumnya, Lonely Soldier Boy.


Selari dengan perkembang muzik mereka, Hujan turut tampil dengan imej mengikut aliran muzik yang dibawa.


Kali ini, Sang Enemy memaparkan sisi gelap Hujan yang memfokuskan muzik berentak heavy metal dan lebih underground.

"Unsur album ini berat dari segi muzik, aura dan penyampaian, tapi mesej yang ditampilkan ringkas saja iaitu patriotik dan menyebarkan konsep menjaga keamanan negara," cerita Noh.

Menegaskan mereka bukan kumpulan syok sendiri ekoran membuka langkah mencuba muzik yang berlainan daripada aliran biasa Hujan, kata Noh, mereka masih menjaga nilai seni yang dipertaruhkan selama ini.

"Kami main muzik sendiri, tapi tidak kucar-kacirkan elemen seni yang dimahukan. Melalui album ini, kami mahu memaparkan persinggahan jenis muzik yang mempengaruhi Hujan pada suatu ketika dulu," jelasnya yang berhasrat untuk mempertahankan 'muzik keras' yang turut memberi makna positif.

Tambahnya, langkah itu juga merupakan usaha untuk mengangkat taraf muzik heavy metal dan band-band indie yang sering diberi konotasi negatif.

Jika ditanya mengenai risiko mempertaruhkan genre yang sedemikian, ujar Noh, eksplorasi dan pengalaman muzik harus dibikin untuk mengetahui tahap mereka.

"Kami suka meneroka dan mencabar diri dengan sesuatu yang berbeza, risiko terpaksa diambil kerana kami adalah pemuzik.

"Hujan bukan artis yang perlu ada garis panduan sebab kami berkarya kerana minat dan suka menghiburkan orang ramai. Kami perlu puaskan diri dulu sebelum hidangkan sesuatu kepada peminat," tambahnya yang ditemui ketika sidang akhbar parti pra dengar album Sang Enemy di Publika Dutamas Kuala Lumpur baru-baru ini.

Yuna & Jerry Kamit

Album keempat ini dikatakan sangat unik, selain aliran muzik yang berlainan Hujan juga membuka ruang untuk kolaborasi dengan beberapa artis tempatan dan luar ne gara.

Terbukti menerusi beberapa buah lagu daripada tujuh lagu dalam album itu Hujan berhasil berpadu suara dengan Yuna contohnya menerusi lagu Janji Kita.


HUJAN dari arah putaran jam: Dimas, Am, AG Coco, Izatt dan Noh.


Malah, lagu yang dianggap istimewa bagi kumpulan itu memperkenalkan keseluruhan album Sang Enemy dan identiti Noh menerusi petikan alat muzik sape daripada Jerry Kamit.

Masih mengekalkan akar umbi tanah kelahirannya di Sarawak, lagu Janji Kita menyampaikan mesej perpaduan selain suara Yuna yang ditafsirkan menyuntik keindahan dalam kekerasan.

"Album Sang Enemy dirancang sejak bulan Ogos tahun lalu dan melibatkan banyak proses selain perlu menunggu untuk mendapatkan kata putus daripada salah seorang anggota kumpulan Incubus untuk berkolaborasi dalam lagu Ke Selatan.

"Oleh kerana terlalu lama mereka sukar memberikan kerjasama, kami memutuskan untuk memilih DJ Souljah dan DJ 1 2 sebagai pemuzik undangan serta Wise dan Tarantula sebagai penyanyi undangan dari Jepun," katanya yang mengakui proses penghasilan album Sang Enemy paling lama berbanding tiga album sebelumnya.

Burung kenyalang


IMEJ terkini Hujan tampil lebih kemas dan matang sesuai usia pembabitan mereka.


Hal yang perlu diakui, susunan lagu dari satu trek ke trek berikutnya mencirikan kesinambungan album Sang Enemy. Bermula dengan Janji Kita, DBS, Rumah Kita, Ke Selatan, Mana Mungkin, Kembara, Kuala Lumpur Oh Kuala Lumpur dan sebuah lagu tersembunyi, album ini berbaloi untuk dimiliki sebenarnya.

Menceritakan mengenai konsep album ini, judul Sang Enemy dipilih mewakili golongan yang tertindas dan bangkit menentang untuk hak hakiki.

Ujar Noh: "Hujan pernah dikritik sebelum ini dan album ini ditujukan kepada pihak yang anti kepada kumpulan Hujan. Kami memang musuh anda!"

Kulit album yang hanya bermain dengan warna hitam dan kelabu itu memaparkan logo burung kenyalang yang kata Noh melambangkan kekuatan dan simbol masyarakat Ma laysia.

Selain itu terdapat dua bilah keris terhunus di bawah nama Hujan mewakili nilai estetika bumiputera dan menampilkan sisi seni berbeza dalam kehidupan.

Lambang anak kunci pula ditafsirkan sebagai elemen perpaduan yang memegang erat masyarakat Malaysia.

Stailo!»

Mengangkat warisan Scotland

STOKING dipakai hingga mencecah paras lutut dalam gaya pemakaian kain tartan.

Varia!»

Nilai moral rakyat Malaysia mula terhakis

PERISTIWA model memakai pakaian dalam dan menjalani sesi fotografi di tempat awam di Ipoh telah mengejutkan rakyat Malaysia baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 0