HORIZON

Imbasan sejarah dari monumen lama

Imbasan sejarah dari monumen lama



MENJEJAK kota Klang buat pertama kalinya dengan tujuan menjelajah aspek pelancongannya memberikan pandangan baharu terhadap bandar yang berpopulasi agak padat itu.

Tatkala melihat banyak pendatang asing melatari pekarangan pusat beli-belah dan stesen bas dan teksi di sekitar pusat bandar berkenaan, pasti tergambar di fikiran akan laporan-laporan media cetak mengenai kota lama itu yang kini ibarat ‘dijajah’ pendatang asing.

Namun, sekiranya anda meluangkan sedikit masa menyusuri laluan di dua kawasan bertentangan yang dipisahkan sebuah jalan utama menuju ke Pelabuhan Klang, banyak penemuan pelancongan yang menjamu mata.

Klang sebenarnya memiliki pemandangan yang indah terutamanya di sekitar Istana Alam Shah yang dijaga rapi dan dihiasi dengan taman-taman indah untuk pelbagai aktiviti rekreasi.

Untuk mengenali dengan lebih dekat mengenai pembinaan istana berkenaan, Pengarah Jabatan Komunikasi dan Pengaduan Awam (JKPA), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Norfiza Mahfiz memberitahu, istana yang tersergam indah ibarat baharu itu sebenarnya dibina pada tahun 1905.

“Istana Alam Shah dibina sewaktu pemerintahan Sultan Alaiddin Sulaiman Shah, Sultan Selangor yang kelima.

“Bangunan yang mempunyai 15 buah bilik ini direka dengan menggunakan kayu dan marmar, manakala segala kos pembinaan dan reka bentuk istana telah ditanggung sendiri oleh baginda,” katanya.

Tambah Norfiza, Sultan Alaiddin Sulaiman Shah bersemayam di situ selama 35 tahun sehinggalah kemangkatan baginda pada tahun 1938. Di istana itu juga, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sultan Selangor yang ketujuh telah dilahirkan pada tahun 1926.


BANDAR Diraja Klang mempunyai banyak tarikan pelancongan yang jarang diterokai pelancong tempatan.


“Awal tahun 2000, istana ini telah dinaik taraf iaitu sewaktu pemerintahan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah,” katanya.

Pengunjung lazimnya datang beriadah di Taman Bandar Diraja yang terletak bersebelahan dengan Istana Alam Shah dan berdekatan dengan Bulatan Simpang Lima.

“Taman ini terletak di atas bukit yang mempunyai ketinggian 25 meter dari paras laut dan mempunyai keluasan 6.5 hektar serta merupakan mercu tanda Klang Bandar Diraja,” jelasnya.

Hadiah British

Dalam jarak kira-kira satu kilometer sahaja atau dua minit perjalanan memandu dari istana tersebut, terletaknya Masjid Diraja Sultan Suleiman yang kelihatan megah dengan kubah berwarna kuning diraja.

Menurut Norfiza, Masjid Diraja Sultan Suleiman pada mulanya diberi nama Masjid Suleiman Jamiur Rahman yang merupakan hadiah daripada kerajaan British kepada Sultan Suleiman pada abad ke-19.

“Kebiasaannya, Sultan Selangor akan datang bersembahyang bersama-sama rakyatnya pada hari Jumaat dan kemudiannya menziarahi pusara kerabat baginda yang bersemadi di situ.

“Masjid ini boleh memuatkan sekurang-kurangnya 1,000 orang dalam satu-satu masa,” terangnya lagi.

Selain Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang sebenarnya mempunyai beberapa masjid yang indah dan terletak berdekatan antara satu sama lain.

Contohnya, Masjid Bandar Diraja Klang terletak hanya kira-kira 2.5 kilometer dari Masjid Diraja Sultan Suleiman dan kira-kira dua kilometer dari Masjid India Muslim Tengku Kelana yang terletak di Jalan Tengku Kelana.

Jarak antara Masjid Bandar Diraja Klang yang terletak dekat dengan Majlis Perbandaran Klang (MPK) di pinggir Sungai Klang dengan Masjid India Muslim Tengku Kelana juga terletak dalam jarak dua kilometer sahaja.

Norfiza memberitahu, Masjid India Muslim Tengku Kelana yang terletak di Jalan Tengku Kelana merupakan kawasan popular dalam kalangan kaum India kerana di situlah terletaknya kawasan perniagaan kaum tersebut yang dikenali sebagai Little India.

“Jalan Tengku Kelana merupakan tempat tumpuan membeli-belah bagi masyarakat India kerana majoriti peniaga di situ terdiri daripada kaum tersebut yang menjual barangan import dari India.

“Kemeriahan Little India ini paling dirasai apabila tibanya perayaan Deepavali dan perayaan-perayaan lain yang disambut oleh kaum India,” ujarnya.

Bekas markas tentera

Seterusnya, bagi melihat tinggalan sejarah dan artifak yang masih dipelihara, kunjungan ke Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz (Galeri Diraja) Klang pasti memenuhi tuntutan pengisian pengetahuan.

Galeri berkenaan wujud hasil daripada buah fikiran Yang di-Pertuan Agong XI, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada tahun tahun 1988, dengan lokasi asalnya di Jalan Kota Raja, Syahbandaraya (Kampung Jawa) di Klang.

Bangunan kolonial klasik rekaan arkitek A.B. Hubback itu dibina pada tahun 1909. Ia pernah menempatkan pejabat pemerintah British, manakala pemerintah Jepun pernah menjadikannya sebagai markas tentera semasa Perang Dunia Kedua.


BANYAK acara komuniti dijalankan di Jambatan Kota Klang.


“Setelah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menaiki takhta pada tahun 2001, baginda telah menitahkan agar Bangunan Sultan Suleiman (yang dibina pada tahun 1909) dijadikan lokasi Galeri Diraja yang baharu.

“Pada 17 Oktober 2007, baginda telah merasmikan Galeri Diraja dan dibuka kepada umum pada 1 November tahun yang sama,” katanya.

Mereka yang pernah berkunjung ke pelbagai anjuran acara di atas Jambatan Kota Klang pasti mahu mengetahui sejarah pembinaan jambatan tersebut.

Ia telah dibina pada bulan Mei 1957 oleh sebuah Syarikat British, Dorman Long Bridge and Engineering Ltd.

Kisah jambatan

Jelas Norfiza, jambatan dua tingkat sepanjang 500 meter itu dibina dengan menggunakan struktur besi merentasi Sungai Klang bagi menjadi penghubung utama antara Bandar Klang Utara dan Klang Selatan. Ia pernah ditutup daripada digunakan orang ramai pada 21 Januari 1992.

“Jambatan Kota Lama diserahkan kepada MPK pada 1992. Pada tahun 1995 MPK telah membelanjakan sebanyak RM750,000 untuk menguatkan dan mengukuhkan struktur jambatan Kota Lama ini.

“Pada 20 November 1996, MPK telah membina 58 buah gerai cenderamata bagi menempatkan lebih ramai bumiputera berniaga di pusat bandar,” katanya sambil menambah pengubahsuaian itu siap sepenuhnya pada 17 Julai 1997 lantas menjadikan kewujudannya sebagai tarikan pelancongan di Klang.


TUGU Peringatan Jubli Perak yang berbentuk sebatang keris melambangkan kuasa dan kedaulatan raja-raja Melayu zaman silam.


Lokasi lawatan berikutnya adalah Tugu Peringatan Jubli Perak iaitu Taman Tugu Keris yang dibina di sempadan kawasan MPK. Ia dibina bagi memperingati sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

“Tugu yang dirasmikan pada 30 September 1985 ini berbentuk sebilah keris, satu alat senjata yang melambangkan kuasa dan kedaulatan raja-raja Melayu sejak zaman silam.

“Selain tugu, taman berkeluasan 0.6 hektar ini turut mempunyai kemudahan awam seperti gazebo, pancuran air, taman permainan kanak-kanak dan taman rekreasi untuk kegunaan pengunjung,” jelasnya.

Stesen kereta api

Dalam pada itu, salah satu tinggalan sejarah penting yang kian dilupakan di Klang ialah Stesen Kereta Api Port Swettenham yang kini merupakan Stesen Keretapi Pelabuhan Klang.

Menurut Norfiza, pelabuhan Port Swettenham telah wujud pada tahun 1900 dan dirasmikan setahun kemudian setelah selesainya pembinaan landasan kereta api dari Bandar Klang ke Kuala Lumpur.

“Dengan sebuah jeti penumpang dan tiga buah dermaga pelabuhan, Port Swettenham telah dirasmikan pada 15 September 1901 dan pentadbirannya diletakkan di bawah bidang kuasa Jabatan Kereta Api.

“Nama pelabuhan ini diambil sempena nama Frank Swettenham yang telah membuka pelabuhan ini. Peranan asal pelabuhan ini adalah untuk dijadikan tempat memunggah barangan seperti kayu, beras, tepung, gula dan lain-lain.

Katanya, kini pelabuhan Port Swettenham telah dikenali sebagai Pelabuhan Klang yang merupakan sebuah pelabuhan negara yang terkemuka.

“Pelabuhan Klang kini meliputi tiga kawasan iaitu Southport, Northport dan Westport,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Pelabuhan Klang yang terkenal dengan aktiviti perdagangan dan pelancongan turut memberi peluang kepada pelancong untuk mengunjungi dua buah pusat peranginan tempatan iaitu Pulau Ketam dan Tanjung Harapan.

Process time in ms: 47