TERKINI
Teknikal, vokasional kerjaya penting
KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, pemikiran mengenai kerjaya dalam bidang teknikal dan vokasional yang sering menjadi pilihan terakhir oleh graduan perlu diubah.
Beliau berkata, menjelang tahun 2020, negara akan menjana 3.3 juta peluang pekerjaan dengan 40 peratus daripadanya adalah dalam bidang teknikal dan vokasional.
Katanya, bidang berkenaan yang sentiasa diberi penambahbaikan oleh kerajaan seiring dengan perkembangan teknologi tidak sepatutnya dianggap kurang penting hanya kerana dilabel sebagai kerjaya tidak terkenal.
"Cabaran kini adalah untuk mengubah corak berfikir rakyat Malaysia yang masih meletakkan bidang kemahiran ini sebagai pilihan terakhir untuk anak-anak mereka.
"Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi sedang berusaha menarik minat graduan untuk menceburi kerjaya dalam bidang teknikal dan vokasional," katanya ketika berucap merasmikan pameran kerjaya "Graduan Aspire 2012" di sini hari ini.
Pameran dua hari bermula semalam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu dijangka menarik lebih 15,000 graduan di seluruh negara. - BERNAMA




Rumah ibarat ruang pameran
Mudah dan senang di bawa ke mana-mana sahaja
Saluran darah retina mudah pecah

