RENCANA UTAMA

Etnik 'buangan' terus tertindas

Etnik 'buangan' terus tertindas



SAAT 29 orang etnik Rohingya di Arakan, Myanmar terbunuh manakala 30,000 yang lain memperjudikan nyawa menyeberang sempadan ke Bangladesh semata-mata mahu menyelamatkan diri, Zafar Ahmad Abdul Ghani bersyukur kerana dia berada dalam keadaan selamat di Malaysia.

Lelaki yang berusia 42 tahun itu juga sudah berkahwin dengan wanita tempatan dan memiliki tiga orang anak. Zafar Ahmad boleh memilih untuk duduk berehat di rumah dan bekerja untuk meningkatkan taraf hidup tanpa mempedulikan mereka yang masih terkandas di negara asalnya.

Namun, hanya individu yang pernah mengalami keperitan hidup akibat ditindas memahami ketakutan menjadi orang yang tidak dikehendaki. Melalui kebolehannya menggunakan teknologi maklumat, dia bersuara dan membongkar kesengsaraan etnik dalam blog selain memperjuangkan hak-hak asasi dari jauh.

Setiap hari tanpa jemu, Presiden Organisasi Hak-Hak Asasi Etnik Rohingya Myanmar di Malaysia (Merhrom) itu memuat naik artikel selain perkembangan-perkembangan terkini sama ada di Bangladesh atau Myanmar.

Dia berani bersumpah semua informasi yang dipaparkan dalam blognya yang beralamat merhrom.wordpress.com termasuk koleksi foto yang tidak pernah dipaparkan di media, adalah betul dan tepat.

Laporan tidak adil

"Rohingya tidak pernah dibenarkan keluar dari kawasan tersebut malah orang luar juga tidak pernah dibawa masuk ke Arakan.

"Hanya wartawan agensi berita Myanmar dibenarkan masuk. Jadi, laporan yang sama disiarkan berulang-ulang kali memberi impak bahawa orang Rohingya yang bersalah atas rusuhan terbaharu," bentak Zafar Ahmad ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Hampir seluruh dunia menyiarkan berita bahawa hubungan antara kedua-dua komuniti kembali bergolak pada akhir bulan lalu berikutan kejadian rogol dan bunuh seorang wanita Rankine.

Terbaharu, media tempatan Myanmar melaporkan mahkamah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap dua lelaki Rohingya atas kesalahan merogol dan membunuh wanita berusia 27 tahun itu.

Zafar Ahmad pula mendapat berita terkini dari Arakan dan Bangladesh melalui kiriman pesanan pendek yang dihantar secara senyap-senyap kepadanya.

Semakin lama temu bual Kosmo! melalui telefon berlangsung, kedengaran semakin keras nada yang dilontarkan oleh Zafar Ahmad. Katanya, Akta Kewarganegaraan Burma pada tahun 1982 benar-benar menjadikan mereka sebuah kelompok etnik yang tidak memiliki negara.


KELUARGA Abul Foyaz Abdul Hakim ini adalah antara kelompok etnik Rohingya yang tinggal di Malaysia.


"Terdapat 137 etnik di Myanmar dan hanya 135 diterima sebagai warganegara. Selain itu, bukan warganegara termasuk Rohingya," terang lelaki yang berpusat di Cheras Baru, Kuala Lumpur.

Sejak itu, semua hal-hal yang berkaitan Rohingya dipadamkan dalam buku sejarah Myanmar oleh pihak pemerintah termasuk subjek yang diajar di sekolah.

Sedangkan menurutnya, Rohingya sudah lama berada di tanah itu dan turut memiliki raja-raja beragama Islam yang menjadi pemerintah.

Dia yang tiba di Malaysia pada tahun 1988 turut mengadakan bantahan berdekatan Kedutaan Myanmar bersama lebih 3,000 orang. Ia bertujuan untuk menarik perhatian seluruh dunia bagi menghentikan keganasan terhadap komuniti mereka di Myanmar.

Sambil memegang sepanduk tertulis Stop Genocide (Hentikan Pembunuhan Etnik), Stop Religious Violence (Hentikan Keganasan Agama) dan lain-lain, mereka mendesak campur tangan antarabangsa bagi menghalang keganasan terhadap orang Rohingya.

"Walaupun junta menyatakan bahawa situasi semakin baik tetapi informasi yang diterima dari kampung adalah berbeza. Situasi semakin teruk dan keganasan semakin meningkat," ujar Zafar Ahmad.

Bantahan keganasan

Di negara yang menerima pelarian Rohingya seperti Australia, turut memperlihatkan usaha-usaha etnik tersebut dalam menyedarkan penduduk dunia mengenai kesengsaraan mereka.

Pada 14 Jun lalu, satu tunjuk perasaan yang disertai lebih 100 orang Rohingya diadakan di bangunan parlimen di Canberra berdekatan dengan kedutaan Burma.

Aktivis yang berada dalam buangan, Dr. Hla Myint mendakwa kerajaan Burma cuba menghapuskan etnik Rohingya melalui banci kebangsaan pada tahun 2001.

Selain itu, seorang lagi aktivis daripada Komuniti Burma Rohingya di Australia (BRCA), Aman Ullah ketika ditemu ramah oleh media ABC Australia Radio juga menekankan perkara yang sama.

Dalam kejadian rusuhan di Sittwe, Presiden Myanmar, Thein Sein telah menguatkuasakan perintah darurat di negeri terbabit dengan menempatkan tentera bagi melegakan tekanan.


SEKUMPULAN etnik Rohingya mengadakan demonstrasi bantahan di Kuala Lumpur pada 17 Jun lalu bagi memprotes keganasan agama yang berlaku di Arakan, Myanmar selain mendesak campur tangan PBB.


Dalam laporan agensi berita Associated Press (AP), pihak polis terpaksa melepaskan tembakan amaran ke udara bagi menyuraikan sekumpulan etnik Rohingya yang membakar rumah penduduk.

Kebanyakan tempat di ibu negeri Sittwe dilaporkan masih tegang dengan sekolah-sekolah dan premis perniagaan ditutup.

"Ketegangan kini berada pada tahap tinggi dan situasi masih berbahaya," kata seorang etnik Rakhine dalam laporan yang dikeluarkan pada 12 Jun lalu.

Kenyataan Menteri Luar Myanmar, Wunna Maung Lwin kepada pemberita Reuters pula berbunyi, 'semua tindakan yang perlu diambil bagi mengembalikan kestabilan awam telah dilakukan oleh pihak pemerintah'.

"Kami menjaga semua perkara, kami beri keutamaan pada kestabilan negeri. Sittwe sudah kembali normal," ujarnya dalam sebuah lawatan ke Filipina.

Bagaimanapun, Aman Ullah dalam temu bual yang diadakan dengan media Australia mendakwa sebaliknya. Dia yang mendapat informasi dengan cara sama seperti Zafar Ahmad dengan tegas berkata, etnik Rankine yang menyerang Rohingya.

Ujarnya, polis tempatan yang digelar oleh etnik Rankine sebagai hloohtein, kebanyakannya terdiri daripada etnik Rankine. Dengan 'kelebihan' yang ada, etnik tersebut pergi ke kawasan kediaman Muslim untuk menjarah dan membunuh.

"Sepatutnya mereka melindungi, bukannya menjarah orang Muslim," tegasnya dalam wawancara itu.

Hak Rohingya dirampas

Aman Ullah mengakui bahawa masalah itu berpunca daripada tindakan orang Rohingya, namun sentimen yang tidak boleh dibendung telah memuncakkan perkara tersebut.

"Perintah berkurung menyebabkan Rohingya tidak boleh keluar rumah dan catuan makanan dilakukan. Jadi, tiada beras, makanan kering dan komoditi di rumah.

"Semua makanan hanya ada di pasar dan telah dirampas oleh orang Rankine tanpa meninggalkan walau sedikit beras sekalipun," luah Aman sambil menambah bahawa perintah darurat dikenakan kepada orang Muslim dan tidak kepada Rankine jadi mereka bebas melakukan apa-apa sahaja.


PARA pekerja penyelamat membersihkan kawasan kejiranan Sittwe yang terbakar akibat perbalahan antara Muslim Rohingya dengan Muslims dan etnik Buddha Rakhine.


BRCA ditubuhkan pada tahun 1999 oleh penduduk Rohingya yang menetap di Australia. Ia merupakan sebuah badan tidak berkepentingan tetapi sering menjalankan kerjasama dengan organisasi luar bagi mengembalikan demokrasi selain mahu meningkatkan hak-hak asasi di Myanmar.

Tindakan pemerintah Myanmar dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Aman Ullah sangat bercanggah antara satu sama lain kerana kedua-dua pihak seakan-akan menuding jari sesama sendiri.

Sehingga kini, kebanyakan negeri di utara Rakhine masih lagi tidak membenarkan wartawan dan pemerhati bebas memasukinya. Mustahil untuk mengesahkan versi laporan yang dikeluarkan oleh kerajaan tempatan.

Sementara itu, agensi makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, seramai 90,000 orang yang lari daripada keganasan etnik memerlukan bantuan.

Program Makanan Dunia (WFP) telah menyalurkan bekalan makanan kepada 66,000 orang sejak minggu lalu dan kini sedang mengedar stok tambahan ke bahagian barat Rankhine.

Jurucakap Agensi Pelarian PBB (UNHCR), Adrian Edwards pula berkata, bot-bot yang dipenuhi oleh orang Rohingya masih lagi menghala ke Bangladesh.

Namun, negara itu menolak untuk membenarkan pelarian memasuki Bangladesh dan telah menghantar pulang seramai 139 orang pada Ahad lalu.

Bangladesh kini berdepan dengan tekanan antarabangsa supaya membuka pintu negaranya untuk kemasukan pelarian Rohingya tetapi setakat ini masih menolak untuk melakukannya.

Rencana Utama!»

Koleksi berjenama, vintaj resipi kejayaan Buntil

kedai Buntil yang diusahakan oleh Sting dan Adnan ini terletak di Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor.

Varia!»

Yoga gaya hidup baharu di Myanmar

THU ZAR sanggup meninggalkan kerjaya sebagai peguam demi kecintaannya terhadap senaman yoga.

Process time in ms: 47