HORIZON

Calet atas sawah

Calet atas sawah


* Kadar penginapan di calet milik Mohd. Yatim: RM110 semalam
* Web: doranihomestay.blogspot.com
* Tel: 013-607 7025
* E-mel: doranihomestay@yahoo.com


HIRUK-PIKUK kota sering mengganggu ketenteraman jiwa. Lampu-lampu silau jalanan yang tanpa henti mengiringi deruman enjin kenderaan yang bertali arus 24 jam mungkin hanya menyesakkan fikiran. Suasana di bandar raya lazimnya sukar memberikan ketenangan.

Apabila hujung minggu tiba, ramai penduduk kota pulang ke kampung halaman yang berdekatan ataupun mencari lokasi desa dan alam semula jadi yang mampu memberi kedamaian.

Bagi para pelancong asing yang ingin merasai kehidupan tradisional di negara ini mahupun segelintir warga kota yang merindui suasana kampung tentu sekali akan merencana percutian homestay.

Untuk tujuan itu, usah ragu-ragu memilih Homestay Sungai Haji Dorani yang terletak di Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor. Warga kampung di situ pasti akan menyambut kehadiran anda dengan senyuman dan layanan mesra.

Mengambil masa kira-kira 2 jam perjalanan dari pusat bandar raya Kuala Lumpur, keletihan memandu pasti terubat selepas mata dijamu dengan kehijauan bendang sawah yang luas.

Inisiatif sendiri

Seorang penduduk kampung itu, Mohd. Yatim Basri, 59, ialah antara yang aktif menghidupkan program inap desa yang dilaksanakan di kampung itu. Atas inisiatif sendiri, Yatim turut mendirikan dua buah rumah berfungsi sebagai calet di tengah-tengah sebuah petak sawah.

Di atas tapak berkeluasan 20x20 meter, calet yang dibina sejak lebih setahun lalu itu sengaja didirikan di atas sawah agar ia mendapat ilusi terapung’. Setiap calet pula mempunyai dua buah bilik yang dihias cara kampung.


KERINGKASAN gaya di ruang tidur yang menggamit nostalgia kampung.


Apabila jendela kayu dikuak, terbentang pemandangan indah alam ciptaan Tuhan. Waktu senja adalah momen paling indah apabila penghuni calet itu berpeluang menyaksikan latar langit jingga, kawanan burung berterbangan rendah pulang ke sarang dan dendangan serangga malam yang mula berkumandang.

“Calet ini dibuat menggunakan modal saya sendiri. Ia bukan sebahagian daripada perancangan komuniti homestay tetapi pada saya, ini antara peluang bagi menarik minat orang untuk datang bertandang ke kampung kami.

“Alhamdulillah, setakat ini calet ini tidak pernah kosong untuk tempoh yang lama. Dalam sebulan, pasti ada dua atau tiga pelawat yang tidur di sini. Kebiasaannya, ia menjadi pilihan keluarga besar atau kumpulan pelancong yang kecil.

“Penuntut kolej dan universiti juga sangat tertarik dengan konsep calet ini. Pada mereka, ia satu tempat sempurna bagi menyudahkan tugasan dan mencari idea bagi bahan-bahan berkaitan,” tutur lelaki yang hayatnya mahu diabdikan di kampung itu sahaja.

Bunga-bungaan

Menyusuri jambatan kecil menuju ke calet itu, pandangan pasti tertambat pada bunga-bunga pelbagai warna yang mengelilingi rumah kayu tersebut. Biarpun tidak begitu besar, namun pengalaman yang ditawarkan sudah mampu menandingi kehebatan tinggal di hotel-hotel mewah.

Bagi mengisi masa lapang sepanjang berada di homestay itu, pengunjung boleh menyertai pelbagai aktiviti yang ditawarkan berdasarkan pakej yang disediakan.

Alang-alang bertandang ke kampung orang, apa salahnya merasai budaya yang ditawarkan.


BUNGA-BUNGAAN yang berwarna-warni menghiasi halaman calet.


Berjalan malam di bendang diterangi obor sudah tentu memberi perasaan berbeza. Jika dahulu, ramai yang berasa takut untuk keluar malam di desa, di homestay itu, ia mengajar pengunjung untuk menikmati kesegaran angin malam yang tidak terdapat di bandar-bandar besar.

Pada waktu petang, siapkan diri untuk menjejakkan kaki ke dalam sawah. Ikan haruan menjadi habuan buat mereka yang menyertai cabaran menggagau ikan. Tiada tangguk atau pancing disediakan, hanya tangan diperlukan bagi menjayakan aktiviti menarik itu.

Perut pula tidak akan kosong dengan sajian masakan kampung yang menyelerakan. Memandangkan majoriti warga desa itu ialah orang Melayu berketurunan Jawa, buat saja permintaan istimewa dengan memesan nasi ambeng. Menu tersebut melengkapkan pengalaman anda di homestay yang didiami lebih 30 buah keluarga itu.

Rencana Utama!»

Dreadnoughtus terbesar di dunia

PELAJAR Universiti Drexel, Alison Moyer teruja dengan penemuan fosil Dreadnoughtus di Argentina pada 4 September lalu.

Varia!»

Sinar baharu kanak-kanak Myanmar

DARI kiri, Mohd. Azhari, Myint Lwin dan Tengku Zafrul bergambar pada majlis penyerahan tajaan oleh CIMB Bank dan IJN di Hospital Kanak-kanak Yankin, Myanmar.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 0