HIBURAN

Ayu Nazirah penyatu cinta Nurul-Depp

Ayu Nazirah penyatu cinta Nurul-Depp



ATMOSFERA Duchess Place, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada pagi hari Rabu lalu penuh romantis. Tatkala kaki melangkah masuk ke ruang khas menyambut momen terindah pasangan Nurul Huda Abdul Wahab, 35, dan Eric Daniel Depp, 47, terasa bagai berada di Perancis.

Mana tidaknya, ruang yang dihias indah oleh lokasi yang menaja perkahwinan pasangan itu turut disempurnakan oleh perancang perkahwinan, Zaha yang merupakan teman Nurul selain menggunakan bahasa Malaysia, Inggeris dan Perancis sebagai perantara.

Meneliti satu persatu ruang indah berkonsepkan perkahwinan dalam taman itu, tiada cela yang bertandang. Saling tak tumpah seperti perkahwinan idaman setiap wanita.

Hal itu diakui sendiri oleh Nurul yang ditemui selepas majlis akad nikah dan resepsi yang dijalankan serentak pada tarikh 6 Jun lalu.

"Perkahwinan ini seperti perkahwinan pertama saya, perasaan gemuruh itu lebih kuat daripada sebelum ini.

"Syukur Alhamdulillah semua yang dirancang berjalan seperti yang dimahukan dan paling penting kami sudah bergelar pasangan suami isteri," singkap Nurul bersulam nada sebak.

Air mata gembira

Sepanjang majlis, air mata kegembiraan sentiasa mengiringi penyanyi lagu Kerana Terluka itu. Sejak diijabkabulkan, ketika menyampaikan ucapan sehinggalah mengiringi tetamu pulang.

Nurul dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Azizan Othman kira-kira pukul 12.20 tengah hari berwalikan abang Nurul, Mohamad Rizal Abdul Wahab dengan hanya sekali lafaz.

Malah, Nurul juga kelihatan menawan dalam gaun pengantin berona putih rekaan Rizman Ruzaini selain disolek oleh jurusolek Deqsha. Eric pula mengenakan sepasang sut hitam rekaan pereka fesyen terkenal Bon Zainal.


AYU NAZIRAH (tengah) teruja dengan pernikahan ibunya, Nurul bersama Eric Daniel Depp.


Pihak lelaki menghantar lima dulang hantaran berupa barangan penjagaan diri Skinz Infinate, minyak wangi jenama Cartier, jam tangan Korloff Paris, seutas rantai mutiara serta wang hantaran bernilai 5,000 euro (RM20,000).

Nurul pula membalas dengan tujuh dulang hantaran iaitu tepak sireh, manisan, produk kecantikan, senaskhah al-Quran lengkap dengan terjemahan, sepasang kasut Pedro, songket dan sejadah.

Saling melengkapi

Menceritakan semula kisah bertaut kasih antara Nurul dan Eric, katanya mereka diperkenalkan melalui kawan karib Nurul iaitu pelakon Zahida Rafik.

"Bukan senang untuk menjadi diri saya terutama beberapa tahun kebelakang, banyak pancaroba yang perlu saya tempuh selama menjadi seorang ibu tunggal.

"Saya pun pada mulanya tidak percaya masih ada lelaki seperti Eric wujud di dunia ini dan saya panjatkan sepenuh kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana menemukan saya dengan beliau.

"Zahida perkenalkan saya dengan Eric yang merupakan seorang pengedar produk kesihatan Herbalife dan kata Zahida, lelaki ini (Eric) bakal membahagiakan saya suatu hari nanti. Katanya benar!" ucap Nurul.

Kriteria seorang lelaki yang berterus-terang dan memberikan refleks diri yang begitu meyakinkan membuatkan kasih dan sayang Nurul terhadap Eric menjadi teguh.

"Dia kekuatan saya dan saya boleh melihat diri saya melalui dirinya. Eric bukan seorang yang cerewet dan menerima saya seadanya," jelas Nurul.

Bagi Eric pula, pertemuan dirinya dan Nurul yang bermula dengan usikan sama ada percaya atau tidak dengan produk yang dijualnya sebaliknya mencambahkan bibit-bibit cinta antara mereka.

"Saya merupakan seorang lelaki Perancis yang tipikal dan penuh ego. Ketika diperkenalkan dengan Nurul saya tidak melihat kariernya sebagai penyanyi sebagai penghalang untuk mengenalinya.


PASANGAN Nurul dan Eric serta Ayu Nazirah bergambar kenangan bersama keluarga Eric.


"Sejak itu hubungan kami bertambah erat dan tidak salah lagi dia adalah teman jiwa saya dan melengkapi diri saya," katanya yang telah melamar Nurul ketika menikmati makan malam romantis beberapa bulan lalu.

Sesuai dengan jiwa seorang lelaki kelahiran sebuah kota indah yang bersemarak rasa cinta itu, Eric menyifatkan setiap hari merupakan saat untuknya berbulan madu bersama Nurul.

"Kami ada merancang untuk ke Bali, Hong Kong, Macau dan negara Eropah sepanjang tahun ini, tapi bagi saya setiap hari merupakan detik indah yang perlu diluangkan bersama pasangan kita," ujarnya.

Process time in ms: 47