TERKINI

UiTM tak pernah had jumlah pengambilan pelajar

UiTM tak pernah had jumlah pengambilan pelajar

06/06/2012 2:47am

SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) tidak pernah mengehadkan pengambilan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian dalam bidang asasi dan diploma di universiti itu.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, sebaliknya, universiti itu sentiasa menambah jumlah pengambilan pelajarnya mengikut keperluan semasa.

Beliau berkata, sebagai contoh, jumlah pengambilan pelajar UiTM bagi sesi pengajian Jun ditambah 20,000 tempat lagi dengan menjadikan kemasukan keseluruhan berjumlah 250,000 orang.

"Banyak pihak tidak tahu UiTM sebenarnya begitu prihatin untuk memastikan pelajar Melayu dan bumiputera dapat meneruskan pengajian sehingga ke peringkat tertinggi, dan pemilihan dilakukan secara telus oleh Unit Pusat Universiti (UPU),” katanya pada sidang akhbar semalam berhubung dakwaan sebuah laman blog kononnya universiti itu akan mengehadkan pengambilan pelajar bagi sesi akan datang.

Sahol berkata, selain itu, lepasan SPM yang gagal ke UiTM boleh memohon untuk mengikuti pengajian di 28 kolej bersekutu universiti itu di seluruh negara.

"Majoriti pelajar yang diterima untuk menyambung pengajian di UiTM adalah mereka yang mendapat keputusan 5A ke atas. Pelajar yang gagal menyambung pengajian memang kecewa.

“Tetapi mereka boleh menyambung pengajian di kolej bersekutu UiTM asalkan memenuhi syarat minimum program yang dipohon,” katanya. – BERNAMA

Process time in ms: 47