RENCANA UTAMA

Salasilah Kesultanan Kedah

Salasilah Kesultanan Kedah



MENGIKUT Hikayat Merong Maha Wangsa, Kedah diasaskan oleh Merong Maha Wangsa dengan gelaran Sultan Mudzaffar Shah. Baginda memerintah dari tahun 1136 hingga 1179. Apabila menyentuh sejarah kesultanan yang panjang, ia pasti berkait rapat dengan salasilah keturunan diraja itu hingga ke hari ini.

Setelah dihitung dari kurun ke-11 hingga abad ke-20, Kedah mempunyai 28 Sultan dengan pemerintah ketika ini ialah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 13 Disember lalu.

Sebelum keberangkatan Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda berkenan melantik Jemaah Pemangku Sultan yang terdiri daripada adinda dan anakanda baginda.

Jemaah itu dipengerusikan oleh adinda baginda Tunku Bendahara, Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah.

Tiga lagi ahli jemaah ialah adinda baginda, Tunku Temenggong, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, Tunku Laksamana, Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan anakanda baginda, Tunku Panglima Besar, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.

Seri Paduka ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 11 April lalu secara gilang-gemilang di Istana Negara yang baharu di Jalan Duta, Kuala Lumpur manakala hari ini, 2 Jun, merupakan tarikh sambutan rasmi keputeraan Seri Paduka. Tuanku Abdul Halim dilahirkan pada 28 November 1927 di Istana Anak Bukit, Alor Setar.

Tuanku Abdul Halim bertemu jodoh dengan Almarhumah Tuanku Sultanah Bahiyah pada Mac 1956 dan istiadat perkahwinan berlangsung di Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan.

Almarhumah merupakan puteri sulung Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman Muhammad yang juga Yang di-Pertuan Agong pertama Persekutuan Tanah Melayu.


TUANKU Abdul Halim (dua dari kiri) bersama ayahanda dan bonda serta adik-beradik. Foto ini dirakam pada tahun 1930-an.


Baginda berangkat ke England pada bulan Februari 1949 hingga 1955 bagi melanjutkan pelajaran di Wadham College, Oxford dalam bidang Sains Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam.

Menurut tokoh sejarah Kedah, Datuk Wan Shamsuddin Mohd. Yusof, baginda berkenalan dengan Almarhumah ketika belajar di England.

Katanya, proses perkahwinan baginda berdua mengikut adat istiadat silam yang dimulai dengan majlis merisik, meminang, hantar belanja dan mas kahwin, akad nikah seterusnya kenduri kahwin.

“Proses itu sama seperti kebiasaan yang dibuat rakyat dengan menghantar rombongan meminang. Seperti lazimnya, beberapa barang hantaran berupa cenderamata termasuk cincin dan tepak sirih berisi buah pinang melambangkan majlis meminang,” katanya.

Wan Shamsuddin memberitahu, kemuncak istiadat ialah pada hari ketiga apabila berlangsung upacara mandi-manda iaitu aktiviti simbah-menyimbah air. Acara diadakan di pentas khas yang dipanggil Panca Persada.

“Pada istiadat itu, baginda berdua saling menyiram air antara mereka selain turut dimeriahkan dengan kehadiran pembesar negeri dan rakyat jelata,” ujarnya membuat kajian tentang sejarah Kesultanan Kedah mulai tahun 1956.

Hasil perkahwinan diraja ini, Tuanku berdua dikurniakan tiga puteri iaitu Tunku Soraya, Tunku Sarina (mangkat) dan Tunku Puteri Intan Safinaz.

Pada 26 Ogos 2003, Tuanku Sultanah Bahiyah mangkat di Istana Kuala Chegar, Anak Bukit.

Istiadat perkahwinan

Pada 9 Januari 2004 telah berlangsung satu istiadat gilang-gemilang permasyhuran Che Puan Haminah Hamidun pula sebagai Sultanah Kedah yang baru dengan gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah Kedah.

Tuanku Sultanah Haminah dilahirkan di Bagan Serai, Perak dan berkahwin dengan Tuanku Sultan Abdul Halim pada 25 Disember 1975.

Mengimbas perkahwinan ayahanda Tuanku Abdul Halim, Sultan Badlishah Sultan Abdul Hamid pula, baginda menikahi Tunku Sofiah Tunku Mahmud pada tahun 1943 di Istana Anak Bukit.

Menurut Wan Shamsuddin, istiadat perkahwinan baginda berdua berlangsung penuh meriah selama tiga hari dengan dihadiri pembesar negeri dan rakyat jelata.


AYAHANDA bonda Tuanku Abdul Halim, Sultan Badlishah dan Tunku Sofiah.


“Istiadat perkahwinan baginda mengikut adat resam dan turun-temurun sejak Sultan Abdul Hamid. Upacara mandi-manda ini turut dibuat pada istiadat perkahwinan baginda berdua,” kata pengkaji sejarah berusia 79 tahun ini.

Hasil perkahwinan Sultan Badlishah dan Tunku Sofiah, baginda dikurniakan tiga putera, Tunku Abdul Hamid, Tunku Abdul Halim dan Tunku Mansor selain dua puteri Tunku Hamidah dan Tunku Sakinah.

Menurut salasilah Kesultanan Kedah, Tunku Sofiah adalah anak saudara Tunku Abdul Hamid kerana Tunku Mahmud merupakan adinda Tunku Abdul Hamid.

Bagi Wan Shamsuddin, perkahwinan Tunku Sofiah dan Sultan Badlishah yang merupakan sepupu adalah bagi mengukuhkan hubungan dalam kalangan institusi kekeluargaan kerabat diraja Kedah.

Sultan Badlishah juga pernah berkahwin dengan Tunku Asma Sultan Sulaiman iaitu kerabat diraja Terengganu dan dikurniakan tujuh anak iaitu Tunku Husna, Tunku Kamariah, Tunku Anuar, Tunku Bishariah, Tunku Badriyatul Jamil, Tunku Abdul Hamid Thani dan Tunku Salehuddin.

Lapan kali kahwin

Berlainan pula bagi nenda Tuanku Abdul Halim, Tuanku Abdul Hamid Halim Shah yang merupakan Sultan Kedah Ke-26 dalam institusi beraja Kedah yang memerintah dari tahun 1882 hingga 1943.

Baginda adalah anakanda Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah atau Halim Shah yang merupakan Sultan Kedah Ke-24 yang memerintah dari tahun 1854 hingga 1879.

Sultan Ahmad Tajuddin dicatatkan dalam salasilah mempunyai dua orang isteri iaitu Wan Jah Long Nik Abidin dan Wan Hajar Wan Ismail. Sultan Abdul Hamid adalah anak kepada Wan Hajar manakala Sultan Kedah yang Ke-25 ialah Sultan Zainal Rashid Muadzam Shah II (1879 hingga 1881) pula adalah anak Wan Jah.

Menurut salasilah Kesultanan Kedah, Sultan Abdul Hamid berkahwin sebanyak lapan kali dengan menikahi wanita Siam dan keturunan Sharifah selain wanita bernama Che Sofiah.


TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah bersama Tuanku Haminah Hamidun ketika berangkat pulang selepas sambutan penuh istiadat di Dataran Parlimen tahun lalu.


Isteri baginda ialah Che Spachendra, Che Laraseh, Che Samanirat, Che Manjalara, Sharifah Meriam, Sharifah Seha, Sharifah Fatimah dan Che Sofiah.

Menurut Wan Shamsuddin, perkahwinan dengan wanita keturunan Siam merupakan perkahwinan politik bagi mengeratkan hubungan antara kerajaan Kedah dan Siam.

Katanya, Sultan Abdul Hamid mempunyai 45 anak iaitu 23 putera dan 22 puteri. Sultan Badlishah merupakan anak daripada isteri baginda bernama Che Sofiah.

“Menariknya dalam salasilah ini ialah Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang merupakan Perdana Menteri Malaysia pertama adalah adik-beradik Sultan Badlishah dan bapa saudara kepada Tuanku Abdul Halim sekarang.

“Tunku Abdul Rahman merupakan anak Sultan Abdul Hamid daripada isteri baginda, Che Manjalara,” katanya.

Varia!»

Baju baharu pada 1 Syawal

JASLEEN dan Kirpal (berdiri belakang dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Julaina dan Bob Komando serta anak-anak mereka di Gulati's, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15