HIBURAN

Aura hitam permaisuri Ravenna

Aura hitam permaisuri Ravenna



LEGENDA Snow White sebelum ini pernah diterbitkan dalam beberapa judul naskhah filem dan yang terkini, Snow White and The Huntsman sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Kisah yang sama dinukilkan, pasti akan ada Snow White, si gadis jelita, suci dan teraniaya yang 'mati' selepas memakan sebiji epal beracun, namun sihir kematian itu berjaya dirungkai oleh jejaka yang dikatakan cinta sejati melalui satu ciuman.

Tulang belakang cerita klasik yang sama cuma digarap dengan lebih enak untuk dihadam bersama grafik yang mantap mempersembahkan hasil lumayan untuk ditonton kali ini.

Namun, paling mencuri perhatian adalah lakonan pemenang pelakon wanita terbaik Anugerah Oscar menerusi filem Monsters pada tahun 2003, Charlize Theron sebagai permaisuri sihir bernama Ravenna yang merampas takhta pemerintahan sebuah negara.

Aktres jelita kelahiran Afrika Selatan itu berkongsi pengalamannya beraksi penuh misteri dalam filem arahan Rupert Sanders itu.

"Banyak yang perlu saya kaji mengenai watak dalam filem ini (Snow White and The Huntsman). Pada mulanya saya perlu mencari kenapa Permaisuri Ravenna bertukar menjadi jahat!

"Kemudian, barulah saya faham bahawa dia perlu mencari Snow White untuk kekal hidup sepanjang hayat, namun pada masa yang sama dia tidak boleh meninggalkan istananya.

"Sudah pasti, jika saya berada di tempatnya, kegilaan yang sama dapat saya rasakan dan ia mengingatkan saya mengenai watak Jack Nicholson dalam filem The Shining yang dihasilkan pada tahun 1980," katanya ketika temu bual bersama media antarabangsa baru-baru ini.

Tambahnya, karakternya perlu mencari kekuatan tersendiri seperti memasuki bilik yang mempunyai unggun api dan terdapat sebiji cermin ajaib untuk memotivasikan diri dengan cara lebih kejam.


MEMBAWA karakter Permaisuri Ravenna, Theron perlu banyak menjerit untuk merealisasikan watak bengis tersebut.


Pembedahan plastik

Bercakap tentang kehidupannya sekarang, Theron yang kini menginjak usia 36 tahun memberitahu, dia enggan membenarkan dirinya melakukan pembedahan plastik semata-mata untuk menjaga raut wajahnya daripada dimamah usia.

Katanya, dia gembira melihat perubahan wajah dan sosok badannya ketika pertambahan usianya sekarang.

"Saya tidak boleh melihat diri saya dihiris pisau untuk kelihatan cantik tapi usia saya pun baru pertengahan 30-an, mungkin perspektif saya berbeza apabila melewati umur 60-an kelak," ujarnya yang mungkin mengubah fikiran untuk melakukan pembedahan plastik suatu ketika nanti.

Tambah Theron, mengubah wajahnya barangkali akan menyukarkan perjalanan kariernya yang sedang meraih populariti sekarang.

"Wajah anda berubah, segala benda dalam persekitaran anda juga akan turut berubah.

"Susah sebenarnya dalam industri ini kerana apabila kita menilai kedutan pada wajah kita, dan sedar akan kepentingannya, maka kita akan cuba untuk mengekal dan memperbaikinya.

"Cuma saya masih belum berani untuk melakukan apa-apa pada wajah saya, dan saya okey saja dengan setiap kedut pada wajah saya," ujarnya berterus-terang.

CHARLIZE THERON menolak untuk membuat pembedahan plastik bagi mengekalkan kejelitaan wajah. Dia selesa dengan perubahan yang berlaku mengikut usia.


Ibu segera

Pada lewat tahun 1990-an, Theron pernah menjalinkan hubungan selama dua tahun dengan aktor Craig Bierko dan setelah hubungan itu musnah, dia beralih cinta kepada orang kuat Third Eye Blind, Stephan Jenkins.

Umpama sering terjerat dengan cinta lokasi, ketika penggambaran filem Trapped, dia jatuh cinta pula dengan pelakon Ireland, Stuart Townsend, namun selepas sembilan tahun bersama mereka memutuskan untuk tinggal berasingan.

Barangkali kerana kesepian, Theron nekad membuat keputusan untuk mengambil seorang anak angkat lelaki bernama Jackson pada bulan Mac lalu.

"Menjadi seorang ibu adalah perkara terindah dalam hidup. Dahulu ibu saya pernah berkata, dia mengambil masa selama sembilan bulan untuk jatuh hati pada saya selama dalam kandungan.

"Tapi, saya mengambil masa dua tahun untuk jatuh cinta dengan bayi ini (Jackson).


GANDINGAN mantap. Dari kiri: Kristen Stewart sebagai Snow White dan Theron merupakan Permaisuri Ravenna dalam filem Snow White and The Huntsman.


"Ia perasaan yang sepatutnya dirasa, sukar sekali untuk mengungkapkan kata-kata itu," luahnya yang kini menetap di Los Angeles, Amerika Syarikat bersama anak angkatnya.

Theron mengakui Jackson kini menjadi prioritinya selain karier dan dia sudah membayangkan anak angkatnya itu menuju ke sekolah dan berjaya suatu hari nanti.

Cerita Theron lagi, dia betul-betul teruja menukarkan lampin pakai buang anaknya dan mampu melakukannya walau ketika sedang tidur.

"Saya sangat teruja dan saya kini ada banyak kelapangan untuk menyalin lampin pakai buang bayi-bayi lain, ketika tidur pun saya mampu buat!" kata Theron.

Varia!»

Ketokohan Bapa Perbankan Islam

YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (kanan) menyampaikan Anugerah Diraja Kewangan Islam kepada Abdul Halim di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 47