HORIZON

Dicabar arus deras Sungai Kampar

Dicabar arus deras Sungai Kampar



PERJALANAN menaiki lori yang mengambil masa kira-kira 20 minit melalui laluan berliku sejauh 10 kilometer menjadi titik mula keseronokan kunjungan ke My Gopeng Resort, Perak pada minggu lalu.

Seramai kira-kira 50 peserta dalam kalangan petugas media dan blogger kelihatan begitu teruja. Bukan sahaja kerana pertama kali menaiki lori dan melalui kawasan perkampungan yang mendamaikan, malah rata-rata peserta begitu berdebar untuk mencuba untuk aktiviti white water rafting atau mengharung jeram

Dari Gaharu Technologies Sdn. Bhd. atau turut dikenali sebagai Gaharu Tea Valley, kesemua peserta dibawa ke My Gopeng Resort menaiki dua buah lori yang diiringi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Kunjungan tersebut adalah bersempena Kembara Cuti-cuti Satu Malaysia (KCC1M) Jom Terokai Perak! anjuran Tourism Perak dan majalah Gaya Travel.

Sebaik sahaja tiba di My Gopeng Resort, rombongan disambut Pengarahnya, Oii Beng Yeaw dan Pengurus Resort, Shawn Low.

Menurut Beng Yeaw, aktiviti mengharung jeram di My Gopeng Resort menuntut para peserta menyusuri Sungai Kampar sejauh 10 kilometer (km) yang mengambil masa kira-kira satu jam setengah.

“Paras air ketika ini adalah sederhana dan tidak membahayakan iaitu di paras dua. Lebih tinggi paras air, lebih mencabar sebenarnya,” katanya.

Beng Yeaw memberitahu, sepanjang 10km berkenaan, peserta akan mengharungi 10 hingga 15 gred jeram yang mendebarkan dan kerjasama setiap peserta diperlukan untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Perjalanan yang mencabar ini tidak membahayakan peserta sekiranya mereka mematuhi peraturan sebagaimana yang telah diajar oleh jurupandu sungai sebelum aktiviti dimulakan.

“Ia penting bagi memastikan setiap peserta bersedia bertindak terhadap sebarang kemungkinan, daripada cara mendayung dengan betul, latihan terbalik, arahan berkayuh, kaedah menyelamat dan banyak lagi teknik mengikut situasi,” jelasnya.

Jurupandu berpengalaman


PARA peserta aktiviti ekstrem sempat merakamkan gambar kenangan di atas lori.


Menurut Beng Yeaw, jurupandu sungai yang disediakan bagi setiap rakit angin adalah mereka yang berpengalaman luas dalam bidang berkenaan dan pernah melalui aktiviti harung jeram pada paras bahaya.

“Kesemua jurupandu kami yang dibawa khas dari Sabah berpengalaman mengendalikan aktiviti ini pada paras air merbahaya iaitu paras lima.

“Bagaimanapun, sejak My Gopeng Resort ditubuhkan, belum pernah sebarang kemalangan dicatatkan,” katanya yang mahu rekod itu kekal sedemikian.

Sementara itu, Shawn pula memberitahu, setiap peserta yang mengikuti aktiviti arung jeram mestilah meletakkan kepercayaan penuh kepada jurupandu terutama apabila berlaku kejadian seperti rakit terbalik atau hanyut di jeram.

“Peserta juga boleh bertanya apa sahaja mengenai sukan ekstrem ini kepada jurupandu sepanjang aktiviti ini berlangsung.

“Jurupandu akan sentiasa mengutamakan keselamatan peserta dan memastikan peserta bersedia sebelum cabaran diteruskan,” katanya.

Dalam pada itu, sebaik sahaja sesi taklimat dengan para peserta berakhir, peserta dibawa ke lokasi permulaan yang terletak dalam jarak berjalan kaki kira-kira lima minit sahaja.

Peserta yang lengkap dengan jaket dan topi keselamatan dihanyutkan mengikut arus sejauh kira-kira 20 meter terlebih dahulu bagi menguji kepekaan mereka dengan teknik menyelamat menggunakan tali.

Bagaimanapun, dalam latihan cabaran tersebut, terdapat peserta yang menarik diri kerana tidak yakin dengan kebolehan meredah jeram. Kira-kira 20 orang peserta meneruskan aktiviti itu, manakala selebihnya dibawa menaiki lori ke lokasi air terjun berhampiran.

Suka aktiviti air


PAKAIAN yang sesuai dan kelengkapan yang sempurna menjadi syarat utama sukan air ini.


Selepas berjaya menempuh jarak 10km yang paling seronok dan mendebarkan, para peserta harung jeram kembali ke resort kira-kira dua jam kemudian untuk menikmati makan tengah hari yang disediakan pihak resort.

Salah seorang peserta yang juga penulis blog pengembaraan sixthseal.com, Poh Huai Bin, 31, memberitahu, sebab utamanya menyertai KCC1M adalah kerana teruja untuk mengikuti aktiviti harung jeram di My Gopeng Resort.

“Saya sangat menggemari aktiviti sukan air yang mendebarkan. Antara pengalaman saya adalah berkayak di laut di Australia dan berkayak di jeram di Palagus, Sarawak.

“Para jurupandu sungai di sini amat mementingkan keselamatan peserta. Peserta perlu merasai pengalaman dibawa arus deras terlebih dahulu sebagai persediaan mengikuti aktiviti ini,” katanya.

Dalam aktiviti berkenaan katanya, dia duduk di bahagian hadapan rakit dan berasa amat teruja apabila ia bergerak laju mengikut arus.

“Saya juga belajar memusingkan pendayung dengan tangan seperti watak Darth Maul dalam filem Star Wars. Saya belajar melakukannya daripada salah seorang jurupandu sungai.

“Bagaimanapun, saya telah terjatuh sekali tetapi berjaya naik semula ke dalam rakit tanpa bantuan sesiapa. Ia pengalaman yang amat menyeronokkan,” katanya penuh semangat.


TAKLIMAT mengenai aktiviti menyelamat disampaikan oleh jurupandu berpengalaman yang dibawakan khas dari Sabah.


Menarik tentang aktiviti itu katanya, ia sesuai untuk semua lapisan umur termasuk mereka yang tidak tahu berenang.

“Semua peserta memakai jaket keselamatan yang akan memastikan mereka timbul di permukaan air dan tidak akan lemas.

“Aktiviti ini dijalankan pada waktu tengah hari. Saya difahamkan, kalau dilakukan pada waktu petang, arusnya lebih deras dan lebih mencabar,” katanya yang bercadang untuk membawa rakan-rakannya datang ke My Gopeng Resort pada masa akan datang.

Rencana Utama!»

Tagih kehidupan baharu

Awal Muharam dijadikan titik permulaan kepada penghuni rumah pemulihan Perkid untuk mengubah kehidupan mereka.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 0