RENCANA UTAMA

Aksi seks atas padang

Aksi seks atas padang


SEKS bukan perkara asing dalam segelintir pelajar sekolah. - Gambar hiasan


RAMAI pihak mengerutkan dahi gara-gara sepasang pelajar Tingkatan Satu ditangkap kerana melakukan hubungan seks di padang sekolah.

Lebih menyedihkan, aksi zina selama 10 minit itu bukan sahaja ditonton oleh tiga pelajar lelaki lain malah ia turut dirakam menggunakan kamera telefon bimbit.

Kes-kes keruntuhan moral seperti ini sememangnya mengejutkan apatah lagi ia melibatkan perlakuan seks oleh remaja yang baru sahaja berumur 13 tahun.

“Sebelum ini kita selalu dengar kes-kes ponteng, mencuri, bergaduh, buli, merokok atau melawan guru di sekolah.

“Tetapi apabila ada pelajar Tingkatan Satu sudah berani berzina di padang sekolah sambil ditonton oleh rakan-rakan, maka ini kes yang mengejutkan.

“Ia juga memberi gambaran bahawa golongan remaja pada hari semakin berdepan dengan ancaman keruntuhan moral malah sudah berani melakukan hubungan seks dalam usia yang cukup mentah,” ujar pakar kriminologi, Datuk Akhbar Satar.

Biarpun pada tahun 2010, statistik jenayah remaja yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia mencatatkan penurunan sebanyak 15 peratus, kebimbangan orang ramai terutamanya terhadap keselamatan anak gadis semakin meningkat.

Apatah lagi jika anak mereka keluar bersekolah di bandar dan berpotensi untuk bercampur dengan rakan-rakan yang lebih dewasa di luar sekolah.

Kebimbangan ini bagaimanapun sering dianggap sebagai pemikiran yang merimaskan buat golongan remaja terutamanya yang mula seronok untuk menghabiskan masa dengan rakan-rakan.

“Naluri remaja memang suka mencuba. Bagi yang sudah baligh, mereka mula terdorong untuk mengetahui rahsia di sebalik pakaian rakan berlainan jantina.

“Apabila bersama rakan-rakan, mereka berkongsi cerita dan mula bertukar bahan lucah seperti video dan manga yang mudah diperolehi.

“Bila sudah berkali-kali melihat, mereka terdorong pula untuk mencuba bersama rakan-rakan. Malah, ada yang berasa bangga kerana telah mencubanya dan dianggap telah dewasa.

“Ibu bapa merupakan individu yang paling rapat dan paling penting untuk membentuk peribadi dan sahsiah anak-anak.

“Jangan sesekali jadikan kesibukan bekerja sebagai alasan untuk kita serahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik kepada guru-guru di sekolah sedangkan kita tahu kemajuan Internet yang mudah dan murah diakses pada hari ini membuka 1001 pengaruh serta ancaman kepada anak kita,” ujar Akhbar.

Begitu pun, menurutnya lagi, masalah keruntuhan akhlak seperti ini boleh dibendung jika ibu bapa memberikan perhatian yang lebih kepada anak-anak ketika di rumah kerana segalanya bermula di rumah.

“Pendidikan agama dan nilai-nilai murni mestilah diterapkan supaya anak-anak dapat menilai antara perkara baik dan buruk. Anak-anak juga perlu dididik untuk memilih rakan-rakan yang baik,” kata Akhbar yang mengesyorkan golongan remaja harus didedahkan dengan isu-isu semasa.

Seks bukan baharu

Mendapatkan pandangan daripada beberapa guru di sekolah-sekolah menengah sama ada swasta mahupun bantuan penuh kerajaan, kebanyakannya mengakui seks di sekolah bukan perkara baharu.

“Dalam tempoh dua ke tiga bulan sekali, mesti ada kes-kes baharu melibatkan perlakuan sumbang atau pun seks dalam kalangan pelajar.

“Sampai ke satu tahap, kami sudah tepu dengan masalah disiplin yang dicetuskan pelajar, baik dari ponteng sekolah, melawan guru, merokok, pil khayal ataupun mengadakan hubungan seks.

“Jika di sekolah, memang kami akan kenakan tindakan. Kami akan panggil pelajar tersebut sama ada secara individu atau pun bersama ibu bapa. Kami beri nasihat dan kaunseling. Hendak disebat, ia dilarang sama sekali.

“Ada sesetengah ibu bapa sedar tentang kurangnya perhatian yang mereka berikan kepada anak-anak dan boleh ditegur, tetapi ada juga ibu bapa yang mempertahankan anak mereka malah ada yang mendakwa anak mereka tidak pernah berperangai buruk di rumah,” keluh seorang guru.

Seiring dengan matlamat untuk membanteras masalah moral di sekolah, Kementerian Pelajaran baru-baru ini mengumumkan bakal menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau semua aktiviti jenayah dan disiplin di setiap sekolah di seluruh negara.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata, masalah sosial melibatkan pelajar seperti ponteng sekolah, buli dan mencuri walaupun dikategorikan sebagai kes terpencil perlu ditangani segera supaya tidak merebak.

“Secara keseluruhan, pada tahun lalu kes disiplin yang direkodkan sebanyak 1.43 peratus, tetapi kes yang berunsur jenayah seperti mencuri dan bergaduh masih wujud dan mencatatkan 0.32 peratus.

Jenayah pelajar

“Walaupun angka itu menunjukkan penurunan berbanding tahun 2008 iaitu 0.2 peratus tetapi jumlahnya masih sama pada tahun lepas iaitu 0.32 peratus,” katanya.

Sementara itu, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) akan terus bekerjasama dengan pihak sekolah bagi mengaktifkan Kelab Pencegahan Jenayah (KPJ) dalam mencapai matlamat sifar jenayah dalam kalangan pelajar sekolah dan remaja.

Naib Pengerusi MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sifar jenayah perlu dijadikan matlamat sekolah-sekolah di negara ini kerana sekolah merupakan institusi awal yang mendidik generasi muda menjadi seorang yang lebih berwibawa dan berintegriti pada masa hadapan.

“Kami di MCPF telah memutuskan untuk membantu KPJ yang kurang aktif dengan memberi garis panduan bagaimana menangani masalah jenayah di kalangan pelajar dan berbincang dengan guru penasihat kelab bagaimana untuk mencergaskan lagi kelab tersebut,” katanya.

Menurutnya, menerusi maklum balas diterima daripada pihak sekolah yang mempunyai KPJ, kes-kes disiplin dalam kalangan pelajarnya semakin berkurang.

“Ini adalah satu perkembangan positif,” katanya sambil menyatakan 70 peratus daripada 484 buah KPJ di sekolah menengah dan rendah seluruh negara kini adalah aktif.

Varia!»

Ketokohan Bapa Perbankan Islam

YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (kanan) menyampaikan Anugerah Diraja Kewangan Islam kepada Abdul Halim di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 0