TERKINI

Bayi kepala besar perlukan bantuan

Bayi kepala besar perlukan bantuan

24/04/2012 6:32pm

ALOR SETAR — Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah nasib seorang bayi berusia setahun, Nurul Huda Jannati Abdullah yang mengalami masalah kepala besar.

Nurul Huda Jannati disyaki mengalami penyakit “bilateral open lip schizencephaly” iaitu masalah perkembangan mental tidak normal atau otak tidak normal sejak lahir dan semua perkembangan mental terbantut serta perlu sentiasa mendapatkan rawatan.

Bapanya, Zaini Tajuddin, 36, berkata, anaknya perlu mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah di sini setiap bulan dan doktor memberitahu kepala anaknya mempunyai banyak air dan otaknya hanya sedikit.

"Saya tidak tahu berapa kos rawatan yang dikenakan. Menurut doktor, anak saya tidak boleh melakukan pembedahan segera kerana ia akan mengancam nyawanya.

"Saya tidak mampu untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta kerana kosnya sudah tentu tinggi dan tidak mampu untuk saya tanggung,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Mergong di sini.

Dia berkata Nurul Huda Jannati mula dikesan mempunyai penyakit itu ketika umurnya lima bulan semasa dia membawa anaknya ke klinik untuk disuntik.

Selain mengalami masalah kepala besar, anak saya juga tidak boleh meniarap dan tidak tumbuh gigi,” katanya yang bekerja sebagai pembantu penjual ikan di pasar borong di sini.

Zaini berkata sehingga sekarang anaknya hanya terbaring dan mempunyai sebatang gigi sahaja selain kerap menangis.

"Saya hanya memperoleh kira-kira RM35 sehari dan pendapatan itu tidak cukup untuk saya membeli susu dan lampin pakai buang Nurul Huda Jannati selain perlu membayar sewa rumah sebanyak RM200 sebulan. Saya sangat berharap agar ada yang sudi membantu anak saya,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan untuk meringankan bebanan keluarga itu boleh menghubungi Zaini di talian 017-5408179 atau melalui akaun Bank Islam milik ibunya (Azimah Ahmad) bernombor 02011020683926. — BERNAMA

Process time in ms: 31