HORIZON

Penerokaan ekstrem Gua Batu Maloi

Penerokaan ekstrem Gua Batu Maloi


PENULIS (kiri) bersama-sama anggota ekspedisi sempat melepaskan lelah ketika tiba di dalam perut gua.


GUA Batu Maloi yang terletak di kawasan Hutan Lipur Gua Batu Maloi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan menawarkan banyak tarikan yang istimewa.

Tidak seperti gua-gua yang lain di Malaysia, Gua Batu Maloi terbentuk daripada formasi batuan granit putih yang timbul daripada kerak bumi kira-kira 100 juta tahun dahulu.

Terletak di kawasan lembah di pertengahan dua buah gunung di penghujung Banjaran Titiwangsa iaitu Gunung Datok dan Gunung Tampin, gua batu itu sememangnya menjanjikan pelbagai cabaran yang tidak kurang hebatnya.

Justeru, tidak hairanlah saban minggu ada sahaja kumpulan pengembara yang datang dari segenap pelosok tanah air semata-mata mahu menerokai keindahan dan keunikan yang terdapat di dalamnya.

Baru-baru ini penulis berpeluang menyertai ekspedisi meneroka gua itu bersama-sama 28 orang peserta diketuai oleh Zainul Fikri Mohd Idris, 33.

Kehadiran kami disambut oleh ketua jurupandu arah, Nazri Mohd. Bellango bersama dua orang pembantunya.

Seperti biasa, Nazri memberikan taklimat ringkas mengenai perjalanan ekspedisi yang memakan masa antara tiga hingga empat jam itu.

"Pastikan anda menyimpan semua barang-barang keperluan di dalam beg plastik. Ini kerana lebih 80 peratus laluan kita nanti terdiri daripada kawasan berair dan sungai kecil," ujar lelaki berusia 55 tahun itu.

Kesemua peserta kelihatan bersemangat. Dari riak wajah, masing-masing seakan-akan tidak sabar untuk menikmati keistimewaan Gua Batu Maloi dengan lebih dekat.

Menurut Nasri, terdapat 24 kawasan tempat rujuk atau check point (CP) di dalam gua sepanjang 980 meter itu.

Katanya, ia terbahagi kepada sembilan jenis laluan yang berbeza bermula di peringkat santai sehingga ke peringkat paling ekstrem, bergantung kepada keupayaan peserta.

Laluan ekstrem

Usai membaca doa, kami memulakan perjalanan ke CP1. Memandangkan sebahagian besar peserta berpengalaman luas dalam sukan mendaki dan pelbagai aktiviti lasak sebelum ini, kami sepakat untuk memilih laluan tujuh yang lebih ekstrem.

Pada mulanya, perjalanan dirasakan agak mudah. Kami berjalan dan merangkak di bawah bongkah-bongkah batu besar menuju ke CP2.

Nah, cabaran sebenarnya sudah bermula. Di laluan itu peserta perlu menggunakan tali dan meniti pada lereng batu yang licin.

"Hati-hati semua, jangan sampai jatuh, air di bawah itu agak dalam," laung Nazri menyebabkan jantung kami semua berdegup agak kencang.

Setibanya di C3, ketahanan mental dan fizikal peserta diuji sekali lagi. Kali ini kami perlu meredah air sungai yang mencecah sehingga ke paras pinggang.

Malah ada ketikanya, kami perlu merangkak, mengiring termasuk berpaut kepada tali keselamatan untuk melepasi bongkah batu-batu besar di sepanjang laluan.

Semakin jauh penerokaan ke dalam gua, perjalanan menjadi semakin sukar berikutan keadaan laluan yang sempit dan gelap.


MERANGKAK di dalam air sejuk dan dingin antara cabaran yang menanti setiap anggota ekspedisi.


Cabaran di laluan antara CP4 dan CP5 juga tidak kurang hebatnya. Untuk melepasi halangan di situ, peserta perlu berjalan sambil menyelam di dalam air selama beberapa saat sebelum tiba ke ruang seterusnya.

Ternyata, ia tidak semudah yang disangkakan. Penulis sendiri terpaksa bergelut menahan nafas ketika meredah laluan yang sama. Mujurlah, bantuan daripada jurupandu arah berpengalaman membantu setiap peserta melepasi halangan dengan jayanya.

Selang beberapa minit berjalan, kami akhirnya tiba di sebuah kawasan lapang yang agak kering.

Menurut Nazri, di situ peserta berpeluang melihat pelbagai haiwan eksotik seperti katak gergasi, katak puru hijau dan koloni kelawar yang tinggal serta bersarang di bumbung gua.

"Eii, geli-geleman aku. Jom jalan cepat sikit," spontan salah seorang peserta wanita dalam kumpulan kami bersuara sebaik sahaja mendegar bunyi sahutan katak yang bergema di sekeliling gua.

Penulis sempat memegang seekor katak gergasi yang ditemui. Ternyata spesies katak itu agak pendiam dan mudah didekati mungkin disebabkan saiznya yang agak besar.

Bentuk perahu

Perjalanan kami kemudian diteruskan ke CP6. Menariknya di situ terdapat sebuah batu besar menyerupai bentuk sebuah perahu. Seterusnya, kami tiba di kawasan yang agak lapang seperti sebuah bilik seminar kecil.

Kawasan sekitarnya dipenuhi akar-akar pokok yang tumbuh meliar menembusi dinding gua sehingga ke bahagian lantainya.

"Sekarang kita berada kira-kira 150 meter di bawah tanah. Akar-akar yang dilihat tadi merupakan akar pokok kayu meranti dan cengal yang tumbuh di kawasan hutan simpan di permukaan atas gua ini," jelas Nazri.

Berhampiran kawasan CP7 pula, kami menemui bongkah batu yang menyerupai ukiran patung Buddha atau lebih dikenali sebagai Batu Buddha.

Perjalanan diteruskan sehinggalah ke CP12. Di situ, kami menemui aliran air yang agak deras keluar daripada celahan batu yang agak tinggi dan curam umpama sebuah 'air terjun'.

Maka, sekali lagi kami terpaksa mengharung dan melawan arus sungai untuk tiba ke bahagian permukaan gua.

Puas menjelajah di dalam kami gua, kami mengambil kesempatan untuk berehat sambil menikmati makan tengah hari.

Penerokaan selanjutnya ke CP13 sehingga CP24 dengan mendaki dan menuruni sebuah bongkah batu sungai sebelum memasuki pintu gua, bagaimanapun, lebih mudah. Kami hanya perlu merangkak untuk melepasi bongkah-bongkah batu di sepanjang laluan tersebut.

Kami akhirnya selamat keluar dari Gua Batu Maloi yang berakhir di CP24. Di situ terdapat tulisan di atas sebuah bongkah batu yang tertera ungkapan: 'Tahniah, anda telah berjaya'.

Orang Asli

Akhirnya, tibalah masa untuk kami kembali semula ke kawasan permulaan di CP1 dengan melalui denai hutan berhampiran dengan penempatan Orang Asli suku kaum Temuan.

Sebelum itu, kami dibawa berhampiran lokasi yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Gua Batu Maloi.

"Inilah dia Batu Maloi," kata salah seorang pembantu Nazri, dikenali sebagai Ujang.

Sambil menunjukkan bongkah batu setinggi 8 meter itu, Ujang memberitahu ia dinamakan Malai sempena nama seorang penduduk Orang Asli di kampung itu. Malai dikatakan pernah bermain-main di sekitar bongkah batu itu sebelum hilang secara misteri.


PISANG Telunjuk Langit yang unik dan penuh misteri boleh dilihat ketika berada di puncak Batu Maloi.


"Perubahan zaman menyebabkan menukar nama Batu Malai kepada Batu Maloi oleh masyarakat setempat," kata Ujang yang memberitahu Batu Maloi juga turut dikaitkan dengan kisah mistik termasuk alam bunian.

Struktur bongkah Batu Maloi mempunyai lilitan akar-akar pokok yang agak besar yang tumbuh meliar di atasnya.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya penulis untuk melihat permukaan batu itu dengan lebih dekat. Di atasnya, terdapat pokok hutan yang unik dan misteri dikenali sebagai pisang telunjuk langit oleh penduduk tempatan.

Tidak seperti pisang biasa, pisang itu hanya tumbuh melalui sebatang tangkai yang muncul daripada permukaan batu dan buahnya mempunyai tiga warna iaitu warna merah, kuning dan hijau.

Menjelang petang, kami selamat kembali ke tapak permulaan di CP1. Biarpun keletihan, namun pengalaman yang cukup berharga dan sukar diluputkan daripada ingatan.

Rencana Utama!»

Saat manis bersama Kanang

KANANG kelihatan ceria sambil menunjukkan Pingat Jasa Malaysia yang diterimanya.

Varia!»

Lensa patriotik empat jurufoto

TIEW KIM HU, 65, menghayati kemerdekaan dengan menghias basikalnya dengan Jalur Gemilang.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15