INFINITI

Menang empat anugerah antarabangsa

Menang empat anugerah antarabangsa



TIGA tahun lalu, ketika mula-mula Pesuruhjaya Tinggi Kerajaan Lesotho di Malaysia, Ntsebe Kokome bertugas di Malaysia, beliau perlu mengeja nama negaranya kerana tidak ramai yang tahu kedudukannya.

Kemudian, beliau terpaksa meminta individu yang bertanya padanya itu melakukan pencarian dalam enjin carian Google agar lebih memahami mengenai Kerajaan Lesotho.

Beliau mengakui, informasi amat berkuasa dan kekurangan informasi merupakan suatu kejahilan. Jadi, Ntsebe bersetuju untuk membuat sebuah laman web bagi pejabat pesuruhjaya Lesotho di Malaysia bagi menghentikan kejahilan tersebut.

“Kini, saya dengan bangga berkata, anda boleh melawat laman web saya jika soalan ‘di mana Lesotho’ diajukan,” kata beliau baru-baru ini di Kuala Lumpur.

Ujarnya lagi, penubuhan laman web tersebut betul-betul memberi impak kepada negaranya dari segi carian maklumat sama ada oleh pelajar atau para pelabur.

Kingdom of Lesotho merupakan sebuah negara yang terletak di benua Afrika. Negara pergunungan tanpa memiliki sempadan laut itu dikelilingi oleh satu-satunya jirannya iaitu Republik Afrika Selatan.

Sejak laman web www.lesothokualalumpur.org itu dilancarkan pada April 2011, ia telah memenangi empat buah anugerah di peringkat global iaitu tiga Anugerah Davey dan satu daripada Persatuan Pemasaran Web di Amerika Syarikat.

Antara kategori yang dimenangi laman web pesuruhjaya tinggi Lesotho itu adalah pelancongan, laman web paling praktikal dan laman web terbaik secara keseluruhan. Ketiga-tiga kategori dimenangi untuk anugerah perak.


PENGATURCARAAN JQuery memudahkan pelayar Internet melakukan pencarian dalam enjin carian seperti Google dan Yahoo!.


Dibangunkan pelajar

Dari saat ia dilancarkan pada pertengahan tahun lalu sehingga kini, laman web tersebut telah dilayari oleh pelayar Internet seramai 3,398 orang dari 106 buah negara di seluruh dunia.

Menariknya, laman web tersebut telah direka oleh sekumpulan anak muda dari Universiti Limkokwing, Cyberjaya yang dianggotai tiga orang pelajar Malaysia, seorang dari Mauritius dan seorang pelajar Lesotho yang menuntut di universiti itu.

Mereka terdiri daripada ahli-ahli yang berkemahiran dalam bidang masing-masing seperti teknologi maklumat, pengurusan, mereka bentuk laman web dan penulis kandungan.

Pengarah bersekutu, Pusat Ciptaan Kandungan, Universiti Limkokwing, Michael Pan Sin berkata, pasukannya mengambil masa selama dua bulan untuk menyiapkan laman web tersebut sebaik sahaja diarahkan.

Cabaran pertama bagi mereka laman web itu adalah informasi yang amat sedikit selain kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai apa-apa pengetahuan mengenai negara yang dikenali sebagai Lesotho. Perkara itu itu diakui sendiri oleh Michael.

“Hasil kajian kami juga menunjukkan kebanyakan laman web kedutaan atau pejabat pesuruhjaya tinggi dipersembah dengan cara yang amat membosankan,” ujar lelaki dari Mauritius itu.

Jadi, pasukan Michael mengambil keputusan untuk menggunakan foto-foto amatur sama ada menggunakan pemandangan atau pengalaman melancong di Lesotho yang dimuat naik oleh pelayar Internet.

Antara sumber gambar yang didapati ialah laman sosial Facebook, Flicker, Twitter dan blog. Kebanyakan foto-foto adalah kepunyaan pelajar dan rakyat Lesotho selain para pelancong yang pernah ke negara itu.

Kata Michael, keputusan untuk menggunakan gambar-gambar tersebut adalah ia lebih bersifat jujur berbanding laman web lain yang pasti menyiarkan gambar berdasarkan imej yang mahu dipaparkan sahaja.

“Gambar-gambar pemandangan tersebut akan sentiasa dikemas kini bagi memberi imej segar dalam laman web,” terang lelaki yang berumur awal 30-an itu.

Misi Michael dan pasukannya ketika itu adalah untuk menghasilkan sebuah laman web yang interaktif. Selain mengemas kini foto terbaharu, informasi semasa di Lesotho seperti cuaca dan masa turut dipaparkan.


PASUKAN Pusat Ciptaan Kandungan, Universiti Limkokwing terdiri daripada pelbagai kepakaran seperti pakar teknologi maklumat, pengurusan dan pereka bentuk laman web.


Laman blog mikro Twitter turut dipautkan bagi membolehkan para pengunjung berkongsi idea dan maklumat dengan lebih pantas di laman web tersebut.

Maklumat mengenai sejarah, pelaburan perniagaan, misi dan visi juga dipaparkan dengan rekaan antara muka yang mudah. Ia berfungsi dengan hanya satu klik pada butang berkenaan.

Pengaturcaraan

Bagi pelayar Internet bukan warganegara Lesotho, pengalaman melayari www.lesothokualalumpur.com umpama menjelajah sendiri negara itu.

Laman web pesuruhjaya tinggi Lesotho menggunakan bahasa pengaturcaraan HDM HTMLS CSS3 dan JQuery. CSS3 ialah akronim bagi Cascading Style Sheets versi ketiga dan paling terkini dalam pembuatan laman web.

Ia memudahkan sesuatu laman web direka dengan bahasa pengaturcaraan yang ringkas dan pendek. CSS3 juga boleh menghasilkan dekorasi pada laman web seperti imej sempadan, berbilang imej latar belakang dan imej kotak.

Ia juga sesuai dengan pelayar web Internet Explorer Versi 6 hingga 8 yang mampu menterjemah (rendering) kebanyakan ciri-ciri dekorasi yang ada pada CSS3.

Pengaturcaraan CSS3 juga membolehkan laman web yang menggunakannya dicapai oleh semua peringkat pelayar Internet terutamanya laman-laman yang mempunyai potensi didatangi pelawat orang kurang upaya.

Prestasi muat turun gambar ketika sesuatu laman web dilayari juga meningkat kerana apabila HTTP kurang digunakan, proses muat turun data seperti foto boleh berlaku lebih pantas.

JQuery pula adalah sebuah lagi bahasa pengacaraan yang digunakan dalam pembikinan www.lesothokualalumpur.com.

Ia membolehkan pelayar Internet membuat pencarian mengenai sesebuah laman web dalam enjin carian dengan lebih mudah.

Pengaturcaraan itu akan melaksanakan permintaan pelayar Internet dengan memberi beberapa perincian pada pelbagai tahap mengikut setiap perkataan yang ditaip pada kotak carian.

Kebanyakan laman web menggunakan pelayan web (web server) tempatan yang berada di tempat laman web itu dibangunkan. Maka, apabila pelayar Internet berada di bahagian lain, masa muat turun menjadi lambat.


DENGAN meletakkan replika perisian di semua sistem pengkomputeran awan di dunia, laman web tersebut boleh diakses dengan cepat di mana-mana sahaja.


Bagi mengatasi masalah tersebut, laman web www.lesothokualalumpur.com menggunakan teknologi pengkomputeran awan (cloud computing).

Teknologi terkini itu membolehkan pelayar Internet yang mahu membuka laman web pesuruhjaya tinggi Lesotho boleh berbuat demikian di seluruh dunia dan pada masa yang sama, ia pantas dicapai.

“Kami membuat beberapa replika pengaturcaraan laman web Lesotho dan letakkan pada cloud computing yang terdapat di seluruh dunia. Jadi, ia boleh diakses di mana-mana sahaja dengan pantas dan cepat,” terang Michael yang sudah hampir 10 tahun tinggal di Malaysia.

Paling penting, setiap maklumat yang disampaikan dalam laman web tersebut jujur dan tepat. Ia terbukti apabila penulis kandungan laman web Lesotho itu juga merupakan rakyat negara tersebut, Motloang Jacob Matabane, 24.

Terang Michael, pembabitan Motloang dalam pasukan pereka laman web Lesotho adalah secara kebetulan kerana dia sudah lama berada dalam kumpulan itu.

Lelaki yang berasal dari Maseru, Lesotho itu merupakan rakyat Lesotho pertama yang mendapat ijazah sarjana muda dalam bidang ekonomi dan telah berada di Malaysia sejak empat tahun lalu.

Rencana Utama!»

'Obama Indonesia' berjiwa rakyat

JOKOWI(kiri) bersama isterinya, Iriana (kanan) selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia.

Pesona!»

Jalani hidup sebagai penghidap kanser

ujian mamogram perlu dilakukan golongan wanita setahun sekali terutama yang berumur 40 tahun ke atas. – Gambar hiasan

Varia!»

Promosi produk Negeri Sembilan

Noorshila (kiri) dan Nurrul Nadia menunjukkan produknya pada Pameran Keusahawan Negeri Sembilan baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 47