HIBURAN

Adrenalin Olivia terus menderu

Adrenalin Olivia terus menderu


PERNAH terlantar kerana penyakit kanser payudara tidak menghalang Olivia untuk terus bergelar penghibur.


NAMA Olivia Newton-John tidak pernah tenggelam populariti. Biarpun sudah menjangkau usia 64 tahun, anak kelahiran Cambridge, England itu masih lincah di atas pentas nyanyian.

Deruan hormon adrenalin Olivia dilihat masih rancak tatkala menghiburkan para peminatnya di Arena Of Stars, Genting Highlands, Pahang pada Jumaat lalu.

Pemenang anugerah Grammy sebanyak empat kali itu singgah di Kuala Lumpur sempena siri jelajah Asia. Selain Malaysia, Olivia turut menemui peminatnya di Jepun, Thailand, Singapura, Hong Kong, Filipina, Indonesia dan Sri Lanka.

Bertenaga persis anak muda, Olivia mengenepikan angka usianya demi menghiburkan para audiens. Nyata energi dan gaya bersahaja wanita yang pernah muncul dalam drama Glee itu tidak sedikitpun kalah sepanjang hampir dua jam melakukan persembahan.

Olivia sempat bergurau dengan penonton sambil memberitahu bahawa dia sebenarnya baru sahaja berusia 40 tahun.

"Saya sudah bergelar penghibur sejak empat dekad lalu. Ini bermakna saya mula menjadi penyanyi sejak berada di sekolah tadika lagi," gurau Olivia yang disambut tepukan dan sorakan oleh kira-kira 3,000 orang penonton.

Menyampaikan hampir 30 buah lagu popular, Olivia tampil dengan persalinan serba hitam dengan gaya tersendiri.

Antara lagu-lagu malar segar yang disampaikan termasuklah Physical, I Honestly Love You, Till You Say You'll Be Mine dan If Not For You yang merupakan lagu nyanyiannya semula daripada penyanyi asal Bob Dylan.

Mengembalikan nostalgia filem Grease yang popular pada tahun 1978, Olivia turut menyampaikan lagu-lagu hit daripada filem arahan Randal Kleiser itu.

Aura cinta Sandy Olsson lakonan Olivia dengan Danny Zuko (John Travolta) dalam filem tersebut dapat dirasai ketika dia melantunkan bait-bait lagu seperti You're The One That I Want, Summer Nights dan Hopelessly Devoted To You.

Selain lagu runut bunyi daripada filem tersebut, Olivia turut menyampaikan lagu-lagu yang dipetik daripada filem terbaharunya, A Few Best Men serta lagu-lagu daripada filem Xanadu yang popular pada 1980.

Para penonton turut terhibur dengan dendangan yang dipetik daripada album terbaharunya berjudul Grace And Gratitude Renewed.

Tidak keterlaluan jika Olivia digelarkan berlian yang tidak ditelan zaman. Glamor yang diraih tidak memakan diri walaupun pernah terhimpit oleh barah payudara 20 tahun lalu.

"Kira-kira 20 tahun lalu saya diserang kanser payudara sehingga memaksa saya berehat daripada menyanyi dan berlakon. Lagu-lagu sayalah menjadi sumber kekuatan apabila berdepan dengan rawatan yang menyakitkan itu," katanya yang dibalas tepukan penonton.

Sempena siri jelajah Asia itu, Olivia turut menyampaikan kempen kesedaran kanser payudara. Beliau juga mempromosikan buku masakan berjudul LiveWise: Easy Recipes For A Healthy, Happy Life.

Varia!»

Logo kuih baulu Politeknik Metro

PARA pelajar Diploma Pengurusan Hotel dan Katering, Politeknik Metro Kuala Lumpur menggunakan sistem giliran bertugas bagi menyiapkan kuih baulu.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15