HIBURAN

Halal haram Bawaku Pergi

Halal haram Bawaku Pergi


ZIZAN dan Kaka turut terhimpit oleh isu gesaan pengharaman lagu dendangan mereka, Bawaku Pergi.


ATAS lesen kreatif, penggiat seni sering mendambakan kebebasan berkarya yang tiada sekatan. Bagaimanapun, kebebasan secara total sudah tentu tidak praktikal dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Jika sesebuah karya itu dirasakan melanggar batas sosial, agama, bangsa serta menimbulkan ketidakpuasan banyak pihak, pengharaman oleh pihak berkuasa menjadi jalan terakhir.

Pengharaman karya seni bukan sesuatu tindakan asing malah sejak 1980-an lagi, sudah banyak lagu diharamkan atas pelbagai faktor termasuk melanggar aspek sosial, agama, bangsa dan teknikal.

Terbaru, kontroversi pengharaman karya muzik berlaku terhadap lagu berjudul Bawaku Pergi nyanyian Zizan Raja Lawak bersama pendatang baharu, Kaka. Lagu ciptaan Malique (Too Phat) disifatkan terpesong daripada budaya apabila lirik-liriknya didakwa mengajak remaja lari daripada rumah seterusnya mengundang gejala sosial seperti hamil luar nikah.

Rungutan paling besar dikeluarkan oleh Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Ali Hassan yang meminta lagu tersebut diharamkan kerana membawa unsur negatif serta boleh mendorong remaja lari dari rumah.

Berikutan rungutan itu, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menentukan sama ada lagu tersebut wajar diharamkan ataupun sebaliknya.

Malique rasa tertindas

Di sebalik isu pengharaman lagu Bawaku Pergi, pihak yang paling teruk terpukul pastinya Malique sendiri. Lebih mengeruhkan keadaan, Malique secara tegas mengecam pihak yang membuat gesaan pengharaman lagu ciptaannya itu sebagai tidak adil dan dibuat untuk berkepentingan politik

"Saya tiada ruang untuk membela diri. Tindakan menggesa pengharaman lagu itu tidak adil yang dilakukan oleh pihak tertentu yang bermotifkan politik," kata Malique dalam satu kenyataannya.

Menurut Malique, lirik lagu itu tidak langsung berkaitan dengan isu remaja lari dari rumah. Dia menjelaskan, lagu itu sekadar bercerita mengenai isterinya, Melissa Maureen Rizal untuk pergi bercuti ke Bali.

Dakwa Malique, pihak yang mencetuskan isu berkenaan gagal mentafsir lirik yang ditulisnya. Kata Malique, dia juga memasukkan keinginannya untuk mengembara sehingga ke Indo-China melalui jalan darat. Perkara itu ditulis sebagai 'pergi lebih lama, pergi lebih jauh' dalam bait lagu Bawaku Pergi.

"Saya tiada masa untuk meletakkan diri saya dalam fikiran seorang remaja kerana zaman itu telah lama saya tinggalkan. Saya menulis sebagai seorang dewasa dan jika pihak yang kurang matang yang mendengar lagu saya bertindak bodoh, itu bukan masalah saya," beritahu Malique berhubung lagu yang asalnya dicipta untuk dinyanyikan bersama Ella itu.

Lagu Bawaku Pergi akhirnya beralih tangan menjadi single terbaharu buat Zizan dan Kaka atas permintaan Zizan sendiri.

Jelas Malique, tidak semua perkara dalam dunia ini mempunyai niat yang tidak baik dan sekiranya tindakan mengharamkan lagu dilaksanakan, ia seumpama menutup periuk nasinya.

Bawaku Pergi belum diharamkan

Kekecohan yang timbul gara-gara kontroversi lagu Bawaku Pergi bagaimanapun belum berakhir. Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim sendiri baru-baru ini menegaskan, keputusan pengharaman lagu berkenaan tidak akan dibuat sewenang-wenangnya.

Rais menafikan lagu itu sudah diharamkan kerana sebelum sesebuah lagu dikenakan sekatan penyiaran, pelbagai langkah perlu diambil terlebih dahulu.

Jelas beliau, pihak yang mengadu dan menggesa pengharaman lagu perlu memberikan alasan yang kukuh dari sudut sosial, agama dan kepercayaan atau lain-lain aspek yang mereka rasakan wajar.

"Sesebuah lagu itu perlu diteliti terlebih dahulu oleh jawatankuasa panel penilai sebelum tindakan pengharaman penyiaran diambil," katanya.

Lagu Bawaku Pergi ciptaan Malique itu sepatutnya dinyanyikan olehnya sendiri bersama Ella, namun diberikan kepada Zizan dan seorang penyanyi baru, Kaka, yang bernaung di bawah syarikat pelawak itu, Wire Fame Entertainment Sdn. Bhd.

Kata Zizan, dia langsung tidak terfikir bahawa lagu berkenaan begitu besar impaknya sehingga boleh mempengaruhi seseorang untuk lari dari rumah seperti yang didakwa segelintir pihak.

Varia!»

Baju baharu pada 1 Syawal

JASLEEN dan Kirpal (berdiri belakang dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Julaina dan Bob Komando serta anak-anak mereka di Gulati's, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 32