HIBURAN

Sepakat memilih tarikh perkahwinan 4 Mei 2012

Sepakat memilih tarikh perkahwinan 4 Mei 2012



AIR MATA lelaki pemilik nama Ahmad Awaluddin Ashaari atau Awal Ashaari, 31, tumpah jua tatkala video dia melutut melamar kekasihnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya atau Scha Al-Yahya, 29, dalam program Propanganza ditayangkan pada sidang akhbar pengumuman tarikh perkahwinan mereka di Ampwalk, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Sambil menyapu air mata di pipinya, Awal memberitahu, dia menangis ekoran melihat reaksi Scha yang terkejut sehingga menangis ketika dia melamar kekasihnya itu.

"Scha tak pernah menangis depan saya. Bagi saya dialah perempuan paling macho pernah saya jumpa. Tapi, apabila Scha menangis sewaktu saya melamarnya, saya berasa sungguh terharu," tutur Awal mengenai video lamaran yang disiarkan menerusi Propaganza secara langsung pada 25 Mac lalu.

Celah Scha, dia menangis ketika lamaran itu kerana dia tidak menyangka kekasihnya itu akan melamarnya ketika mengacarakan program tersebut.

Katanya, jika dia tahu Awal ingin melamarnya di situ, dia tidak akan mengacarakan program tersebut pada hari itu.

Risau disalah tafsir oleh sesetengah pihak, ujar Awal, lamaran tersebut dilakukan bukan kerana ingin mengikut budaya Barat tetapi sekadar mahu menunaikan permintaan Scha yang pernah bertanya kepadanya tentang tarikh dia akan membuat lamaran secara terbuka seperti yang pernah dilakukan oleh kebanyakan orang.

"Kerana rasa tercabar dia cakap saya tak pernah mahu melamar dia seperti mana dalam babak-babak filem cinta, saya lantas nekad melamarnya secara terbuka. Sebenarnya pasang niat mahu melamarnya secara terbuka sudah lama dirancang. Namun, semuanya gagal.

"Pertama kali saya pasang niat mahu melamar Scha sewaktu Anugerah Industri Muzik tahun lalu tetapi tak berjaya kerana wujud beberapa halangan.

"Selepas itu saya pasang niat mahu melamarnya dengan meletakkan cincin di dalam kek cawan tapi niat itu tak dilaksanakan takut dia tertelan cincin tersebut pula. Akhirnya, selepas sepakat dengan kru Propaganza saya dibenarkan melakukan lamaran secara langsung dalam program tersebut," ujarnya lega.

Pasangan merpati dua sejoli ini akhirnya membuka mulut dan sepakat memilih tarikh 4 Mei ini untuk melangsungkan pernikahan.

Memilih Hotel Pullman, Putrajaya untuk melangsungkan akad nikah, Awal dan Scha seterusnya memilih tarikh 6 Mei untuk majlis resepsi perkahwinan mereka yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Ungkap Awal, bukan niat untuk berteka-teki mengenai tarikh perkahwinan mereka walaupun sudah membuat keputusan untuk berkahwin pada bulan yang sama dengan pasangan Lisa Surihani dan Yusri Abdul Halim berkahwin iaitu Februari lalu.


AWAL dan Scha kini sepakat untuk melayari bahtera rumah tangga.


"Selama ini ramai orang kata kami berteka-teki mengenai tarikh perkahwinan tetapi sebenarnya saya dan Scha terlalu sibuk dengan kerja. Malah, akibat kesukaran untuk menempah dewan membuatkan kami melewatkan sedikit tarikh perkahwinan," jelas Awal.

Awal juga melahirkan rasa syukur kerana ramai pihak yang sudi menaja perkahwinannya bersama Scha itu.

Bekas pengacara Fuhh! itu juga telah memilih saluran Astro untuk bertindak sebagai penyiar rasmi majlis pernikahan dan resepsi mereka.

Pertemuan pertama

Menceritakan detik perkenalan mereka, dedah Awal, dia terpikat dengan Scha sejak pelakon utama Awan Dania itu menyertai pertandingan Dewi Remaja pada tahun 2007.

"Ketika itu saya ditugaskan mengacarakan program tersebut dan dia menjadi peserta pertandingan itu. Saya terpikat dengan Scha pertama kali melihat dia dan menjangkakan kemenangannya pada pertandingan itu.

"Namun, perkenalan kami bukan terjalin sewaktu itu. Selepas setahun tidak bertemu dia, pada tahun 2008 ketika sesi fotografi saya meminta sebuah majalah untuk digandingkan bersama Scha. Bermula sesi fotografi tersebut kami mula bertukar nombor telefon namun hubungan kami sekadar teman kerana Scha sudah memiliki teman lelaki," ujarnya.


RESTU. Pasangan Awal dan Scha diapit oleh ahli keluarga masing-masing.


Sudah jodoh, akhirnya Awal bertemu semula dengan Scha ketika sama-sama mengacarakan pertandingan Sehati Berdansa. Mengetahui Scha masih belum berpunya, Awal lantas segera memulakan langkah untuk menambat hati Scha. Namun, ia bukan mudah kerana Scha ketika itu baru patah hati selepas putus cinta dengan pelakon kacak, Fahrin Ahmad.

Tahu selera wanita idaman hati, Awal setiap hari menghantar kek cawan ke rumah Scha. Akhirnya, Scha terbuka hati lalu menerima Awal sebagai kekasih.

"Awal hadir dalam hidup saya ketika saya patah semangat dan menghadapi kesulitan selepas putus cinta. Dia banyak memberi kata-kata semangat dan dia jugalah tempat saya mengadu dan menangis. Melihatkan kesungguhan dia saya terbuka hati menerimanya," ujar Scha.

Syarat Awal kepada Scha

Ditebak dengan persoalan apakah syarat yang dikemukakannya kepada Scha selepas berkahwin nanti, Awal tanpa berselindung memberitahu, dia tidak mengizinkan Scha memeluk mana-mana lelaki dalam apa juga babak dalam drama mahupun filem selepas bergelar isteri kelak.

Bukan cemburu tetapi menurut Awal, syarat tersebut dikenakan untuk memastikan rumah tangga mereka kekal harmoni tanpa sebarang pergaduhan.

Selain syarat tidak memeluk lelaki, Awal juga meminta bakal isterinya itu pulang ke rumah sebelum pukul 12 tengah malam dan tidur bersama dirinya dalam apa jua keadaan.

"Apabila bergelar isteri kelak, saya harap Scha tidak menerima tawaran lakonan yang memerlukannya memeluk lelaki. Ia perlu bagi menjaga nama baik suami dan keluarga kedua-dua belah pihak. Biarlah tawaran watak yang diterima sesuai dengan status isteri yang dibawanya.


TIDAK dapat menahan emosi, Awal mengalirkan air matanya sambil diperhati Scha setia di sisinya.


"Selain itu, Scha juga kena pulang rumah sebelum pukul 12 tengah malam. Tapi, kalau sudah tak dapat dielakkan mahu buat macam mana. Saya juga mengikut nasihat ibu saya bahawa walau apa jua keadaan sama ada bergaduh sekalipun, suami isteri tetap kena tidur bersama dan bukan berasingan.

"Berdasarkan pesanan-pesanan daripada rakan-rakan yang sudah berumah tangga dan orang tua-tua, mereka memberitahu, jika suami isteri tidur bersama akan menguatkan lagi keutuhan mahligai perkahwinan," ungkap Awal.

Scha yang tidak mengetahui permintaan Awal terkejut dengan syarat-syarat tersebut. Bagaimanapun, dia tidak kisah dengan syarat tersebut memandangkan sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mematuhi arahan suami.

Scha yang baru sahaja mengetahui tentang syarat Awal itu agak terkejut selepas ditanya oleh pihak media.

"Saya pun tak tahu ada syarat selepas kahwin. Tapi, saya tiada masalah dengan syarat-syarat dia. Sebagai isteri, saya perlu mengikut kata-katanya," ujarnya ketawa.

Permintaan Scha terhadap Awal pula tidak melebihi sekadar mahu bakal suaminya itu menjaganya seperti mana dia menjaga ibu dan keluarganya.

Infiniti!»

Beli tiket dengan mudah dan cepat

KAKITANGAN CatchThatBus, Nadiah Syazana Abdullah menunjukkan cara pembelian tiket menggunakan aplikasi di telefon pintar.

Varia!»

Rawatan bekam ketika berpuasa

BERBEKAM ketika berpuasa paling sesuai dilakukan antara pukul 7 pagi hingga 11 pagi.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15