HIBURAN

Konsert mega Zaiton Sameon

Konsert mega Zaiton Sameon


ZAITON bersama Freddie (tiga dari kanan) dan Azmi (kanan) pada sidang akhbar Konsert Amal Tabung Kebajikan Zaiton Sameon baru-baru ini.


SELEPAS terlibat dalam kemalangan ngeri yang meragut nyawa anak tunggal kesayangannya, Azirwan Abu Bakar yang ketika itu berusia 19 tahun, pada 21 Februari 1990 di Batang Kali, Selangor, penyanyi popular lagu Menaruh Harapan Zaiton Sameon mula hilang punca pendapatan.

Vokal penyanyi yang kini berusia 55 tahun itu dikatakan tidak lagi hebat selepas terlibat dalam kemalangan.

Malah, ada pihak dikatakan telah menutup pintu rezeki penyanyi itu dengan mengatakan Zaiton atau lebih mesra dipanggil Kak Eton tidak lagi waras untuk menyanyi.

Kesan daripada itu, dia tidak lagi dipanggil untuk menyanyi di mana-mana persembahan nyanyian. Jika adapun Zaiton sekadar menyanyi untuk majlis-majlis perkahwinan sehingga kini.

“Saya terpaksa buang rasa malu menyanyi di majlis-majlis orang kahwin demi menampung kehidupan saya. Itupun jarang-jarang dipanggil dan saya cuma dibayar sekitar RM100 ke RM200 sahaja.

“Memang sejak terlibat dengan kemalangan saya tidak lagi mendapat kepercayaan pihak penganjur untuk menyanyi,” ujarnya dalam kesedihan kepada pihak media ketika ditemui pada sidang akhbar Konsert Amal Tabung Kebajikan Zaiton Sameon di Hotel Adamson, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Peluang yang diberikan oleh pihak Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) untuk Zaiton mengadakan konsert pertamanya selepas 22 tahun terlibat dalam kemalangan yang bakal berlangsung pada 7 April ini di Dataran Sungai Kerang, Pantai Remis, Perak. Ia akan menjadi bukti Zaiton kepada peminat-peminatnya dan masyarakat bahawa vokalnya masih hebat dan dia masih waras untuk menyanyi.

“Saya sangat teruja untuk menyanyi semula. Alhamdulillah dan terima kasih banyak-banyak buat persatuan Karyawan yang memberi peluang kepada saya untuk mengadakan konsert amal tabung kebajikan Zaiton Sameon,” tuturnya yang akan membawakan 10 buah lagu termasuk Menaruh Harapan, Kabut Serangkai Mawar, Black Magic Women, My Way, Perigi Biru dan Siti Payung.

Sementara itu, menurut Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, Karyawan terpanggil untuk membela nasib Zaiton bukan kerana untuk mengaut publisiti sebaliknya sekadar membantunya memperoleh pendapatan daripada sumbangan orang ramai.

“Konsert Amal Tabung Kebajikan Zaiton Sameon itu diadakan secara percuma kepada orang ramai dan mereka boleh memberi sumbangan atau derma kepada Zaiton menerusi tabung yang disediakan.

“Bukan tujuan Karyawan untuk mengadakan konsert amal ini untuk mengaut publisiti tetapi ia adalah tugas dan tanggungjawab sebuah persatuan untuk membela nasib golongan artis di Malaysia,” ujarnya.

Jelas Freddie lagi, idea asal untuk mengadakan konsert ini adalah daripada ahli aktif Karyawan sendiri iaitu Azmi Zahari yang merupakan satu ikhtiar alternatif bagi membantu para ahli Karyawan yang kurang bernasib baik seperti Zaiton.

Kehadiran orang ramai pada konsert yang bakal berlangsung pada pukul 8.30 malam itu nanti sangat digalakkan kerana inilah masanya mereka dapat melihat Zaiton kembali menyanyi secara langsung selepas terlibat dalam kemalangan.

Tambah Freddie, selain Zaiton terdapat artis lain juga membuat persembahan seperti Ali Terrarosa, Baggio Damasutra dan Farhana Jalil.

Dalam pada itu, Azmi memberitahu, selain Pantai Remis, Perak, konsert berterusan buat Zaiton akan turut diadakan di beberapa buah negeri terpilih seperti Dataran Raub Pahang; Tanjung Karang, Selangor; Rembau, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Bagaimanapun tarikh dan lokasi tetap konsert-konsert tersebut belum lagi ditetapkan.

Kepada peminat-peminat Zaiton dan orang ramai yang ingin membantu Zaiton boleh hubungi Azmi 012-2280479) atau Ahmad (014-7176276).

Varia!»

Kumpul wang terbit novel

Novel cinta sangat sinonim dengan kaum wanita sama ada pembaca atau penulis.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 47