PESONA

Segalanya tentang kecantikan

Segalanya tentang kecantikan


DARIPADA produk solekan, merias kuku sehinggalah tuala mandi semuanya dapat ditemui dalam pameran Beauty Professional 2012.


MEMANG sudah lumrah, kecantikan tidak boleh dipisahkan daripada dunia mana-mana wanita.

Setiap wanita inginkan kesempurnaan dalam berpenampilan baik untuk kepuasan diri mahupun orang tersayang.

Oleh kerana itu, bisnes kosmetik dan kecantikan tidak dapat dinafikan telah menjadi salah satu daripada penggerak ekonomi dalam kebanyakan negara.

Menyedari hakikat bahawa perniagaan mengenai kecantikan semakin berkembang, satu pameran perdagangan kecantikan Beauty Professional 2012 diadakan pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Kira-kira 100 pempamer dari 15 buah negara termasuk New Zealand, Kanada, Perancis, Itali, Switzerland, Belgium, Australia dan Jepun menyertai pameran itu untuk mempamerkan produk penjagaan kulit, kosmetik, rambut, kuku dan perkhidmatan kecantikan lain.

Pameran yang berlangsung selama empat hari itu memberi peluang kepada pemilik perniagaan kecantikan tempatan dan orang ramai memperoleh produk-produk kesihatan berteknologi tinggi serta terbaharu.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang pameran termasuklah seminar-seminar kecantikan dan demonstrasi solekan.

Sementara itu, jurucakap pameran Beauty Professional 2012, Selina Goh berkata, pameran tersebut diadakan buat julung-julung kalinya secara besar-besaran di Malaysia.

Katanya, segala-gala mengenai dunia kecantikan boleh didapati dalam pameran tersebut.

Platform untuk peniaga

“Pendek kata, daripada pengedar produk kepada syarikat farmaseutikal, institusi penyelidikan dan pembekal bahan semuanya di bawah satu bumbung PWTC,”katanya.

Mengulas lanjut mengenai pameran itu, beliau berkata, kebanyakan peserta pameran mencari rakan niaga yang sesuai atau pengedar bagi produk mereka.

“Jadi, jika anda mencari peluang tersebut, ini adalah platform yang terbaik. Para usahawan yang menceburi perniagaan dalam bidang itu boleh mengambil kesempatan tersebut untuk mendapatkan peralatan barangan.


HARGA yang berpatutan menyebabkan Beauty Professional 2012 menarik ribuan pengunjung ke pameran selama empat hari itu.


“Pelawat juga turut dialu-alukan kerana mereka boleh mengetahui lebih lanjut mengenai beberapa produk kecantikan terkini di pasaran,”katanya.

Antara label yang mengambil tempat dalam pameran itu ialah Alive, Helan, Wax Haven, Biossentials, Derma Floral, La’derm, BioVita dan pH formula.

Dalam pameran itu, turut diadakan ceramah Feng Shui bagi mengetahui bagaimana cara untuk berjaya dalam perniagaan mereka selain pertandingan seni merias kuku.

Sementara itu, rata-rata pengunjung yang membuka perniagaan kecantikan menyifatkan pameran itu sebagai satu platform yang memberi manfaat kepada mereka mengenai produk-produk tersebut.

Seorang pemilik kedai salun, Mei Ai Ling, 27, berkata, dia teruja dengan pameran tersebut kerana kesemua produk berkaitan kecantikan boleh didapati dalam pameran berkenaan.

Menurutnya, dia yang pertama kali menghadiri pameran tersebut menyifatkan ia wajar dilakukan pada masa akan datang.

“Produk-produk yang dijual di sini belum pernah dijumpai di mana-mana pasaran lagi. Malahan, harga kesemua produk juga berpatutan,”ujarnya.

Bagi Noramalina Hashim, 39, yang baru sahaja berniat membuka perniagaan berkata, dia teruja dengan jualan produk-produk tersebut.

“Menerusi pameran ini, kami dapat mengadakan perbincangan dengan pengusaha dari luar negara bagi mendapatkan bekalan bahan mentah,”ujarnya.

Process time in ms: 31