PESONA

Tasputra Perkim beri sinar baharu

Tasputra Perkim beri sinar baharu



HATI sebak dan pilu saat melihat anak-anak kecil seawal usia dua tahun menjalani latihan fisioterapi ketika penulis menjejakkan kaki ke taman asuhan harian untuk kanak-kanak cacat, Tasputra Perkim (Tasputra), Jalan Ampang Hilir, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebak bukan kerana mereka tidak dijaga dengan baik, tetapi mengenangkan bagaimana mereka melalui hari-hari mendatang dengan fizikal yang kurang sempurna seperti kanak-kanak normal lain.

Kebanyakan kanak-kanak istimewa yang dihantar ke pusat asuhan harian yang dibuka setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 7.30 pagi hingga 5 petang itu menghidap penyakit palsi serebrum, hiperaktif dan sindrom Down.

Tidak seperti pusat jagaan harian lain, Tasputra bukan sekadar memberikan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak istimewa, malah menyediakan pelbagai jenis terapi yang dilakukan oleh ahli fisioterapi yang terlatih.

“Pusat ini merupakan pusat latihan harian untuk kanak-kanak yang menghidap kecacatan pelbagai yang memerlukan keperluan istimewa.

“Kanak-kanak di sini terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, India, Cina dan beberapa kanak-kanak dari Thailand, Indonesia dan Nigeria. Sesiapa yang memerlukan bantuan, kami sedia membantu,” kata Pengerusi Tasputra, Elahe Norman.

Wanita kelahiran Iran yang sudah mendapat kerakyatan Malaysia itu memberitahu, pusat asuhan harian tersebut boleh menampung hingga 52 kanak-kanak iaitu jumlah yang dibenarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat berdasarkan ruang yang ada.

Buat masa ini, jumlah kanak-kanak yang diasuh di Tasputra kurang daripada 50 orang dan masih ada ruang untuk beberapa kanak-kanak bagi mencukupkan kuota sehingga 52 orang.


KANAK-KANAK palsi serebrum perlu menjalani fisioterapi bagi mengelakkan otot-otot pada kaki dan tangan mereka mengecut hingga menyebabkan kaku.


Pelbagai terapi

Ketika sedang asyik melihat kanak-kanak di Tasputra menjalani fisioterapi, kelihatan seorang kanak-kanak lelaki memakai baju berona merah, Amry Daniel Azman, 15, tersenyum sambil menunjuk ke arah lensa kamera jurufoto Mohd. Farizwan Hasbullah apabila keletahnya dirakamkan.

Di sudut lain pula kelihatan Izz Raimi Hakim Mohd. Izham, 6, sedang dipakaikan alat bantuan persis kerusi roda untuk memulakan sesi terapi.

“Kanak-kanak yang dihantar ke sini menjalani rawatan fisioterapi dan terapi cara kerja bagi mengajar mereka kemahiran asas harian supaya boleh berdikari kelak.

“Pusat ini juga menyediakan terapi aroma, terapi akua, hippotherapy, terapi urut, terapi muzik, snoezelen dan terapi pertuturan,” ujarnya.

Dengan menawarkan pelbagai jenis terapi, kakitangan di situ dapat mengesan potensi dalam diri kanak-kanak istimewa berkenaan.

Hippotherapy misalnya membolehkan kanak-kanak istimewa itu mengendalikan kuda dengan bantuan tenaga pengajar. Ia mengajar supaya kanak-kanak duduk dengan postur yang betul bagi mengelakkan mereka jatuh, mendengar arahan dan pada masa yang sama membina keyakinan dalam diri.

Dalam pada itu, bagi memberikan pendidikan terbaik untuk kanak-kanak tersebut, Elahe bercadang mengadakan sistem pendidikan baharu dengan menggunakan satu kaedah dari Amerika Syarikat yang dibangunkan selepas penyelidikan selama 30 tahun.

“Kaedah pendidikan tersebut mampu mengajar kanak-kanak ini dari segi pembangunan karakter yang sangat penting buat mereka.

“Ia bukan sahaja penting kepada golongan kanak-kanak istimewa sahaja, malah turut memberikan manfaat kepada kita yang normal,” katanya yang mempunyai pengalaman selama 25 tahun menguruskan pusat tersebut.

Bagi menguruskan pusat asuhan khusus untuk kanak-kanak istimewa itu, Elahe memberitau, pihaknya memerlukan sehingga RM45,000 sebulan yang digunakan untuk membayar segala perbelanjaan termasuk gaji kakitangan, petrol, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Socso), tunai runcit (petty cash) dan penyediaan makanan.

Menjamin kelangsungan operasi pusat asuhan tersebut, Tasputra mengenakan sedikit bayaran kepada ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke situ pada bayaran RM350 sebulan.


TASPUTRA juga menyediakan terapi cara kerja bagi membolehkan kanak-kanak istimewa itu berdikari apabila dewasa kelak.


“Apa yang membuatkan Tasputra istimewa apabila kami menawarkan pelbagai jenis terapi untuk pelbagai jenis kecacatan yang dialami oleh kanak-kanak.

“Jika anda pergi untuk menjalani fisioterapi di tempat lain, anda akan dikenakan caj sehingga RM100 untuk tempoh 45 minit atau satu jam tetapi di sini, dalam satu hari sahaja pelbagai jenis terapi dilakukan,” jelasnya.

Kanak-kanak yang menghidap palsi serebrum amat memerlukan fisioterapi. Pengabaian fisioterapi akan menyebabkan otot kanak-kanak tersebut mengecut mengakibatkan kaki dan tangan mereka kaku.

Jangan simpan anak di rumah

Bayangkan jika Tasputra dikomersialkan, berapa kos yang perlu ditanggung oleh ibu bapa bagi membolehkan anak-anak istimewa mereka mendapatkan terapi sedemikian.

Dengan usaha keras yang telah dicurahkan selama 25 tahun itu, Elahe berharap ibu bapa dapat memahami betapa pentingnya pendidikan dan penjagaan rapi buat anak-anak istimewa mereka.

“Ada segelintir ibu bapa tidak menghantar anak-anak istimewa mereka ke sini walaupun telah membayarnya kerana mahu anak-anak mereka berada di rumah. Ada juga antara ibu bapa yang tidak lagi datang menghantar anak-anak mereka tanpa memberitahu kami terlebih dahulu.

“Keadaan ini amat menyedihkan. Di sini, segala keperluan untuk mereka menjalani terapi disediakan. Jadi, gunakanlah ia sepenuhnya. Jika anak-anak ini di rumah, tiada banyak benda yang boleh dilakukan mereka,” katanya.

Ujar Elahe lagi, Tasputra menyediakan kenderaan untuk mengambil kanak-kanak tersebut di rumah dan menghantar mereka ke klinik untuk mendapatkan rawatan tanpa dikenakan bayaran.

Ia tidak memerlukan ibu bapa mengambil cuti semata-mata untuk membawa anak mereka ke klinik berjumpa dengan doktor.

“Tasputra mempunyai dua orang ahli fisioterapi dan dua orang jurupulih pekerjaan.

“Kami mahu mendedahkan kanak-kanak ini dengan aktiviti yang menyeronokkan dalam masa yang sama memberi manfaat kepada mereka iaitu mengajar mereka melukis, mewarna, membuat kraf, menanam bunga dan memasak dengan seliaan kakitangan di sini,” ujarnya.

Menurutnya, Tasputra sudah banyak kehilangan kakitangan berpengalaman menjaga kanak-kanak istimewa kerana tidak mampu memberikan gaji yang besar dan apa yang lebih menyedihkan, mereka terpaksa bekerja sebagai tukang cuci kerana bayarannya lebih tinggi.

Elahe tidak menafikan bahawa ada penderma yang bermurah hati mahu mendermakan beberapa peralatan keperluan namun itu bukan perkara utama.

“Bagaimana untuk menggunakan segala peralatan yang diberikan jika kakitangan tidak mencukupi. Mereka ini perlukan belaian dan sentuhan. Alatan tidak boleh menjaga mereka.

“Melihat kanak-kanak ini membesar dan menunjukkan perkembangan positif setiap hari sudah membuatkan saya puas dan gembira,” katanya sambil memberitahu Tasputra turut mengadakan jualan lambak setiap bulan untuk mendapatkan wang.

Sudah menjadi rutin Elahe setiap hari melayani dan bermesra dengan kanak-kanak Tasputra persis seorang nenek melayan kerenah cucu.

Dalam pada itu, seorang bapa, Mohd. Izham Ismail, 33, memberitahu, dia mula menghantar anaknya, Izz Raimi Hakim yang mengalami palsi serebrum sejak berusia dua tahun lagi.

“Di sini Raimi boleh mendapatkan pelbagai jenis terapi di bawah satu bumbung setiap hari yang tidak dapat ditawarkan di tempat lain.

“Selama berada di sini, anak saya menunjukkan perkembangan yang positif. Dia sudah boleh duduk sendiri dan melutut. Rasa tidak risau untuk menempatkannya di sini kerana kakitangan Tasputra terlatih untuk menjaga kanak-kanak istimewa seperti anak saya,” ujarnya.

Zakiah Wandi, 49, yang bertugas sebagai penolong penyelia di Tasputra sudah menabur bakti selama 23 tahun.

Baginya, menguruskan kanak-kanak istimewa perlu mempunyai kesabaran yang tinggi kerana mereka memerlukan lebih perhatian.

“Kita perlu tahu bagaimana untuk berinteraksi dengan kanak-kanak ini. Selagi terdaya saya akan terus berkhidmat di Tasputra ini,” katanya.

Rencana Utama!»

Kehamilan berakhir dengan pengguguran

KLINIK swasta di Hanoi menyediakan perkhidmatan menggugurkan bayi secara terbuka di premis mereka.

Pesona!»

Senaman tingkat stamina kanak-kanak

Persekitaran, susun atur dan peralatan yang digunakan dalam gimnasium Zac & Zibbo direka khas untuk keselesaan kanak-kanak.

Varia!»

Jutawan bumiputera Phyto Science

NUR FAZLIN FAHSYA (dua dari kanan) bersama rangkaiannya, Mkrich88 menjana pendapatan menerusi produk keluaran Pyhto Science.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16