INFINITI

Generator tanpa lepaskan karbon

Generator tanpa lepaskan karbon



KEJADIAN yang berlaku pada Februari 2010 tatkala membawa rombongan peserta persidangan teknologi dari Korea Selatan ke bandar raya Shah Alam benar-benar berbekas di hati Azhar Ngah, 40.

Cuaca panas pada pukul 12 tengah hari itu mencetuskan idea dalam fikiran lelaki tersebut. Dia mahu mengajak mereka menikmati cendol yang terkenal di Seksyen 16, Shah Alam, Selangor.

Tujuannya hanya satu, sebagai tuan rumah yang menunjukkan semangat hospitaliti Malaysia, dia mahu memperkenalkan hidangan istimewa itu kepada mereka sekali gus membasahkan tekak yang dahaga.

Setibanya di lokasi, mesin pengisar ais dan keenakan cendol di gerai tersebut bukan satu-satunya yang mencuri perhatian. Bunyi daripada mesin generator rupa-rupanya telah menjadi tumpuan, seolah-olah mesin berkenaan terlalu asing bagi ahli rombongan Korea Selatan itu.

“Di negara kami, generator tersebut sudah lama tidak digunakan,” ujar Azhar, mengajuk cara bercakap orang Korea itu.

Tambah lelaki yang ditemui di Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2012 itu, kata-kata mereka sangat berasas kerana generator berenjin diesel mengeluarkan bunyi yang bising dan asap yang tebal.

Ciri-ciri tersebut mampu menyumbang pada penambahan kadar pencemaran alam sekitar dan penggunaannya sudah lama diharamkan di Korea Selatan.

Terkesan di hatinya, Azhar selaku pengarah urusan dan rakan-rakan melalui syarikat H2E Power Sdn. Bhd. (anak syarikat H2E Technologies Sdn. Bhd.) mula menjana idea untuk menghasilkan sebuah generator yang mesra alam.


PIHAK H2E kini dalam proses mereka bentuk ALAM generasi ketiga supaya boleh digunakan pelbagai peringkat masyarakat.


Tempat pertama yang menjadi kajian tinjauan mereka adalah di kawasan pasar malam. Banyak perkara yang dipertimbang terutama bunyi bingit yang keluar dan cara para peniaga mengendali generator mereka.

Menurut Azhar, sebab utama peniaga masih lagi menggunakan generator sebagai perkakas utama membekal elektrik adalah mereka tidak mempunyai pilihan lain.

Tahan lasak

Rata-rata para peniaga pula agak kasar dalam menggunakan generator termasuk menjadikan alat tersebut sebagai tempat meletakkan barang-barang.

“Jadi, kami perlu menghasilkan rekaan yang bentuknya sangat ringkas, kukuh dan tahan lasak,” kata Azhar merujuk kepada sebuah alat seperti kotak yang dipanggil ALAM.

Berbeza dengan generator biasa, ALAM atau Advance Lighting Application Module adalah pembekal elektrik mudah alih yang berfungsi seperti sebuah bateri caj semula.

Berkuasa 300 watt, pengguna hanya perlu mengecaj ALAM dalam tempoh lima hingga enam jam di mana-mana pada plug tiga pin.

Tempoh masa yang dapat digunakan untuk sekali caj adalah antara tiga hingga 12 jam bergantung pada bilangan penggunaan mentol.

Ia senyap, tidak mengeluarkan asap malah, penggunanya tidak lagi perlu membeli minyak petrol setiap hari seperti penggunaan generator model lama.

ALAM yang berada di pasaran sekarang adalah generasi kedua. ALAM generasi pertama atau ALAM 1 tidak dipasarkan kerana ia kurang praktikal.

Model awal itu menggunakan bateri asid plumbum yang seakan-akan bateri kereta yang memerlukan penyelenggaraan secara berkala iaitu dengan mengisi air bateri.

Begitupun, ketika Azhar menghadiri Pameran dan Persidangan Produk Eko dan Teknologi Hijau Antarabangsa (IGEM) pada tahun 2010, dia menemui sebuah produk yang dikenali sebagai Inverter Charger (pengecas pembalik).


GENERATOR terbukti mencemarkan alam melalui pengeluaran asap dan bunyi.


Dengan menerapkan fungsi alat tersebut ke dalam rekaan generator terbaharu itu, ALAM bersifat mudah digunakan dan penyelenggaraannya pula lebih ringkas. Ia mula diperkenal pada pasaran di Sungai Petani, Kedah dalam tempoh lima bulan selepas itu iaitu pada Februari 2011.

Inverter Charger adalah alat dalam pengurusan tenaga yang menukar arus terus (DC) pada arus ulang-alik (AC). Ia boleh digunakan pada pelbagai voltan dan frekuensi serta banyak digunakan pada panel solar atau bateri.

Kini, pihak H2E Power dengan kerjasama bahagian penyelidikan dan Inovatif, Universiti Teknologi Petronas, Tronoh, Perak sedang membangunkan ALAM 3 untuk pasaran yang lebih luas.

Perubahan ALAM 3

Menurut ketua pengurus H2E Power, Mohd. Shahir Azali, 37, ALAM 3 akan lebih ringan dengan perubahan bahan mentah selain penambahan aksesori pada badannya seperti port USB.

“Prototaip sudah dibuat dan perlu kemasan pada reka bentuk manakala paten untuk produk ALAM sedang dalam proses,” terang Shahir lagi.

ALAM 3 sama seperti ALAM yang bersifat mesra alam dan murah, cuma sasaran pasarannya lebih menyeluruh. Ia merangkumi keperluan orang ramai untuk pelbagai kegunaan dan boleh dibawa dengan mudah.

Selorohnya, selepas ini, kaki-kaki pancing yang membawa ALAM 3 ke lubuk-lubuk pancing tidak lagi perlu menyalakan unggun api atau memancing dalam gelap.

Selain mendapat bantuan teknikal dan nasihat dari UTP dalam mereka bentuk ALAM, H2E Power dengan UTP kini sedang mencipta Inverter Charger buatan tempatan supaya ALAM 3 dapat direka lebih murah dan ringan.

Kerjasama dengan pihak UTP itu dilihat sangat baik terutama apabila Timbalan Naib Canselor bahagian penyelidikan dan Inovatif, Prof. Madya Dr. Abd. Rashid Abd. Aziz menyokong usaha untuk mengurangkan pelepasan karbon ke alam sekitar.


ALAM turut menyertai pameran MTE 2012 baru-baru ini di PWTC, Kuala Lumpur.


Hasrat itu sebagai menyahut iltizam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berikrar untuk mengurangkan pencemaran karbon sebanyak 40 peratus di Malaysia.

Ikrar itu disampaikan ketika beliau berucap sempena Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Copenhagen, Denmark pada Disember 2009.

Tambah Abd. Rashid, usaha-usaha sebegitu adalah baik dan sokongan daripada badan-badan pendidikan amat diperlukan dan umum mengetahui bahawa generator adalah antara penyebab utama berlaku pencemaran.

Mungkin selepas ini, lebih ramai peniaga pasar malam, penjaja gerai pinggir jalan, kontraktor dan pasukan keselamatan akan beralih kepada inovasi terbaharu ini demi kesejahteraan orang ramai dan juga alam sekitar.

Process time in ms: 63