URBAN

Pameran buku Islam terbesar

Pameran buku Islam terbesar




LAZIMNYA pada sesuatu pesta atau ekspo buku, suasana hingar-bingar sememangnya sudah menjadi lumrah. Namun, kunjungan pada Ekspo Buku Islam yang berlangsung di Dewan Cempaka Sari, Bangunan Perbadanan Putrajaya, Presint 3, Putrajaya, lain pula senarionya.

Keadaan di ekspo yang kali kedua dianjurkan itu lebih tenteram meskipun pada satu-satu masa, dewan itu dipenuhi ribuan pengunjung. Masing-masing begitu tertib mengunjungi dari satu tapak gerai ke tapak gerai. Kebanyakan yang bertandang juga khusyuk menyelak helaian demi helaian bahan bacaan.

Ternyata, ekspo yang dianjurkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Sinergi Ilmu Resources Sdn. Bhd. yang menerapkan 100 peratus naskhah-naskhah berunsur Islamik sememangnya dinanti-nanti oleh masyarakat Islam di negara ini.

Bukan itu sahaja, penyertaan hampir 40 penerbit buku-buku Islam dengan lebih 100 gerai dari seluruh negara itu secara tidak langsung membantu menerapkan budaya membaca dalam kalangan rakyat tempatan.

Penganjuran pertama ekspo itu sebenarnya dilakukan pada tahun lalu di KL Sentral. Ia mencatatkan rekod kunjungan kira-kira 80,000 orang.

Sememangnya Ekspo Buku Islam itu telah melakar sejarahnya tersendiri apabila ia disifatkan sebagai pameran buku Islam yang terbesar di negara ini.

Reaksi

Seorang pengunjung yang juga pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Sharifah Syuhadah Syed Dahlan, 27, berkata, ekspo sebegitu sememangnya sudah lama didambakan olehnya dan rakan-rakan seuniversiti.

“Di kebanyakan pesta buku sebelum ini, agak sukar untuk kami mencari buku-buku agama. Akhirnya, suara kami yang mahu sebuah ekspo yang menjual bahan bacaan agama seperti didengari, alhamdullillah,” katanya yang ditemani enam rakan sekuliahnya.

Bagi seorang ibu kepada tiga cahaya mata, Roziah Maslan, 37, dia yang sangat mementingkan didikan agama kepada anak-anaknya berasa lega kerana berupaya mendapatkan bahan rujukan agama yang bersesuaian untuk bacaan kanak-kanak.

“Saya sudah belanjakan kira-kira RM300 untuk memborong buku tentang bayi dan dua lagi anak saya yang masing-masing berumur lima dan tujuh tahun,” katanya.


EKSPO Buku Islam kedua yang diadakan baru-baru ini menjual pelbagai jenis buku yang bertemakan Islamik sepenuhnya.


Selain bahan bacaan untuk prasekolah, novel sejarah Islam seperti Khalid Al-Walid dan Abu Ubaidah, buku motivasi dari penceramah terkemuka negara seperti Ustaz Azhar Idrus boleh didapatkan dengan mudah. Seperti pesta-pesta buku yang lain, diskaun harga turut ditawarkan.

Tambah menarik, terdapat banyak judul buku bahasa Inggeris terkenal seperti Leaving Microsoft To Change The World dan The Presentations Secrets Of Steve Jobs telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Pendekatan itu sekali gus memudahkan pengunjung untuk menghadam cerita personaliti tersohor tersebut dengan mudah.

Besar hati

Dalam pada itu, salah seorang wakil penerbit, Emedia Publication Sdn. Bhd., Syukri Mohd. berbesar hati apabila ensiklopedia bertemakan Islamik keluaran syarikat itu dapat diketengahkan kepada khalayak.

“Pendekatan ensiklopedia kami lebih terarah kepada golongan kanak-kanak. Kami mahu golongan ini mendekati agama dengan cara yang lebih kontemporari. Syukur, ramai yang menaruh minat terhadapnya,” kata Syukri.

Seperti Syukri, penerbit-penerbit lain berharap ekspo seumpama itu akan terus berkembang dan dapat dijadikan acara tahunan yang wajib kepada semua penerbit buku Islam.

Varia!»

Muzikal hidup Sesame Street

HARPER (dua dari kiri) dan Kevin (tiga dari kanan) pada majlis penampilan khas Elmo daripada Sesame Street di pusat beli-belah 1Utama, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16