URBAN

Asah kreativiti dalam seni

Asah kreativiti dalam seni



SUASANA Galeri Petronas, KLCC baru-baru ini tidak seperti biasa. Selalunya, pengunjung di ruang apresiasi seni itu terdiri daripada golongan dewasa yang teliti menyaksikan bahan pameran, tetapi petang itu khalayaknya didominasi kanak-kanak.

Kumpulan cilik itu masing-masing sibuk di sebuah bilik bercermin sambil memegang sebuah telefon bimbit pintar dan tidak kurang juga yang menggunakan gajet iPad.

Ada pula yang khusyuk berbincang sesama ahli kumpulan. Musim cuti sekolah mereka telah diisi dengan sesuatu yang berfaedah dan menyeronokkan

“Bengkel ini sangat bagus. Sebagai seorang yang menyukai subjek seni khususnya lukisan, saya teruja dengan setiap sesi pembelajaran di sini,” kata Rifiqah Mohamed Fairuz, 10.

Rifiqah merupakan salah seorang daripada 22 orang kanak-kanak yang menyertai Program Menghasilkan Komik Digital Menggunakan Album Foto Bimbit anjuran Galeri Petronas sempena musim cuti sekolah.

Kata kanak-kanak itu lagi, bengkel tersebut menambahkan lagi pengetahuannya dari segi teknikal untuk menghasilkan komik. Tunjuk cara penggunaan telefon bimbit berkamera dan komputer juga diajar untuk kerja-kerja mengambil serta menyunting gambar.

“Saya pernah menyertai program cuti sekolah Galeri Petronas dan saya akui ia banyak memberi manfaat. Sebab itulah saya tidak mahu melepaskan peluang kali ini,” ujar Rifiqah lagi.


RONALDI memberi tunjuk ajar kepada kanak-kanak mengenai pembikinan komik digital di Galeri Petronas KLCC baru-baru ini.


Bengkel yang berlangsung pada 15 Mac lalu bermula pukul 10 pagi hingga 4 petang itu dipatenkan supaya seiring dengan tema pameran semasa di Galeri Petronas iaitu Capturing Malaysia Thru The Years.

Muat naik

Dalam bengkel itu, kanak-kanak diajar cara mengambil gambar menggunakan telefon bimbit pintar untuk dimuat naik ke dalam enjin web menggunakan talian Internet.

Gambar yang telah disunting itu seterusnya disusun mengikut jalan cerita masing-masing. Persembahan bingkai-bingkai plot yang menarik dalam jalan cerita itu juga bergantung kepada rakaman gaya dan ekspresi yang dibuat semasa foto itu diambil.

“Mereka perlu mengatur dan menyunting gambar dan menulis skrip untuk komik. Hasil kerja terakhir mereka ialah untuk menyampaikan sebuah komik digital,” kata fasilitator bengkel tersebut, Ronaldi Saleh, 38.

Pendidik kreatif dengan latar belakang lulusan sarjana seni dan reka bentuk itu banyak berkongsi ilmu dengan mengajar di institusi seni kreatif terkemuka.

Selain itu, Ronaldi juga merupakan pemenang anugerah reka bentuk tempatan dan antarabangsa dan kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang teknologi pendidikan.

Menurut Ronaldi, komik digital adalah platform kreatif untuk mempamer idea, kandungan, mesej dan maklumat.


MEMIKIRKAN jalan cerita yang sesuai adalah antara perkara asas yang perlu diketahui agar komik yang dihasilkan boleh menarik minat orang ramai.


“Bengkel ini memberikan tunjuk ajar tentang teknik-teknik kreatif yang berguna dalam menghasilkan komik digital menggunakan album foto telefon bimbit.

Kanak-kanak yang menyertai bengkel tersebut telah didedahkan dengan tip dan teknik profesional untuk menghasilkan siri gambar dan filem secara digital.

Bertambah minat

Bagi Lee Jia Ling, 11, dari Rawang, dia berasa amat gembira dapat berjumpa dengan ramai rakan baharu selain mempelajari sesuatu yang berguna.

Bagaikan seorang pengkarya dewasa dalam syarikat pembikin komik digital, Jia Ling telah memberi perhatian yang serius. Setiap aktiviti yang dibimbing Ronaldi disertainya dengan penuh minat, sama seperti para peserta bengkel yang lain.

“Bapa saya bekerja di sini (KLCC). Dia menghantar saya menyertai bengkel ini kerana percaya ia memberi banyak faedah kepada saya,” ujarnya.

Selain itu, sekumpulan kanak-kanak perempuan yang sibuk mencari idea untuk kisah komik mereka kelihatan teruja untuk mengambil gambar.

“Kisah kami adalah mengenai hantu di galeri seni. Ia mengisahkan sekumpulan kanak-kanak seperti kami terserempak dengan hantu ketika melawat sebuah galeri seni.

“Di sini kami sedang mencari satu ruang yang sesuai untuk mengambil gambar untuk diselitkan ke dalam komik kelak,” kata seorang peserta, Nurfatihah Yunus, 11, dari Gombak.


SEKUMPULAN kanak-kanak sedang khusyuk mendengar tip daripada Ronaldi tentang penghasilan karya komik digital.


Sementara itu, bagi remaja dari Bandar Baru Bangi, Imran Iskandar, 14, minat membuat komik dan pengalaman melakar komik untuk majalah sekolah telah menarik minatnya untuk menyertai bengkel tersebut.

“Saya gemarkan komik. Saya melukis sendiri dan membuatnya untuk majalah sekolah. Di bengkel ini, saya bukan sahaja dapat menambah ilmu mengenai prosedur membuat komik, malah dibimbing menggunakan elemen digital,” ujarnya.

Rencana Utama!»

Saat manis bersama Kanang

KANANG kelihatan ceria sambil menunjukkan Pingat Jasa Malaysia yang diterimanya.

Varia!»

Lensa patriotik empat jurufoto

TIEW KIM HU, 65, menghayati kemerdekaan dengan menghias basikalnya dengan Jalur Gemilang.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16