RENCANA UTAMA

Cabaran sukar uji ketahanan wanita

Cabaran sukar uji ketahanan wanita



NATASHA Mohd. Yusof, 27, bukan seorang atlet yang begitu tegar dalam sukan. Dia merupakan individu biasa yang mempunyai pekerjaan tetap sebagai perunding sumber manusia. Namun, Natasha gemar menyertai acara maraton.

Segalanya bermula dua tahun lalu apabila salah seorang teman rapat Natasha mengajaknya menyertai sebuah acara maraton anjuran Standard Chartered. Walaupun berasa skeptikal kerana menganggap sukan tersebut lebih sesuai untuk golongan profesional, tetapi dia tetap mengikut kehendak sahabatnya itu.

Seawal pukul 6 pagi pada hari acara itu dilangsungkan, dia sudah berkumpul di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Ketika itu, hanya perkataan pelik yang bermain dalam kotak fikirannya kerana cuti hujung minggu sepatutnya adalah masa untuk dia berehat.

Bagaimanapun, saat-saat sebelum memulakan acara larian sejauh lima kilometer itu, timbul perasaan teruja dalam diri Natasha apabila melihat semangat para peserta lain yang bersedia untuk memulakan larian.

Didorong sifat bersaing dan desakan adrenalin, Natasha sama sekali tidak menyangka bahawa dia berjaya menamatkan maraton tersebut dalam tempoh 25 minit sahaja. Sejak itu, dia menjadikan maraton sebagai salah satu hobinya yang tidak boleh ditinggalkan.

"Bagi saya, sukan maraton merupakan saat untuk melupakan setiap masalah yang dihadapi. Seperti sebuah terapi, kita hanya akan memikirkan untuk sampai ke garisan penamat.

"Saya tidak pernah menyasarkan untuk menang memandangkan pesaing dalam sukan ini ialah diri sendiri.

"Saya percaya 40 peratus bergantung pada fizikal, manakala 60 peratus lagi adalah ketahanan mental untuk menamatkan larian," kata Natasha ketika ditemui di Taman Rimba Kiara, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

Sejak itu, dia telah menyertai pelbagai acara maraton dan yang paling mencabar dan terjauh adalah di Jambatan Pulau Pinang iaitu pada jarak 21 kilometer.

Begitupun, dalam dua kali penyertaan di jambatan ikonik negara itu, dia kurang bernasib baik. Pada kali pertama, kakinya tidak kuat berlari kerana mengalami kecederaan, manakala cubaan kedua pula dia terpaksa menghentikan larian berikutan cuaca yang sangat buruk.

Sejak kecil, dia sememangnya tidak pandai duduk diam kerana aktif mengikut ibunya menari. Minatnya itu diteruskan hingga dewasa hingga melayakkannnya menjadi tenaga pengajar di kelas tarian ibunya.


BAGI Natasha, bersukan bukan untuk mengejar kemenangan, tetapi demi kesihatan badan dan merehatkan minda.


Pada masa yang sama, dia menjana kecergasan dan stamina di kelas gimnasium setiap minggu.

Disebabkan waktu kerja yang padat, Natasha terpaksa berhenti daripada terus mengajar. Dua bulan selepas itu barulah dia menemui cinta baharu iaitu maraton.

Pada September 2012 nanti, dia meletakkan sasaran untuk menyertai maraton di Perth, Australia. Jarak larian yang bakal dibuat adalah sejauh 42 kilometer.

Jika dalam dekad-dekad lalu, jarang kita mendengar kaum wanita menjadi begitu tegar menyertai sukan lasak walaupun hanya sebagai hobi.

Sukan-sukan seperti maraton, Ironman atau pendaki hanya dikaitkan dengan golongan profesional. Namun kini, sudah ramai wanita yang tertarik dengan sukan begitu dengan pelbagai sebab.

Panjat dinding

Seorang lagi wanita yang menjadikan sukan lasak sebagai hobi, Salfarina Mohd. Drus, 29, pula sanggup berkorban wang ringgit untuk memenuhi minatnya dalam sukan memanjat dinding.

Memandangkan sukan tersebut termasuk dalam kategori B oleh Majlis Olimpik Malaysia, Salfarina dan ahli kumpulannya terpaksa mengeluarkan belanja sendiri dalam menjalani latihan bagi menyertai Sukan SEA Palembang, Indonesia pada November 2011 lalu.

Pertama kali menyertai Sukan SEA, dia telah berlatih sejak bulan Julai dengan perbelanjaan sebanyak RM28 untuk sekali latihan. Dalam seminggu, Salfarina berlatih sebanyak empat kali.

Percanggahan informasi mengenai pengesahan penyertaan skuad memanjat dinding ke temasya itu hingga ke saat akhir membuatkan dia berdepan dengan tempoh waktu latihan yang suntuk.

Cuma sebulan sebelum pertandingan, barulah kumpulannya mendapat tempat berlatih secara percuma di Putrajaya Challenge Park (PCP), Putrajaya.

"Sayangnya, ketika pertandingan, penyertaan saya telah dibatalkan kerana terpijak besi penyangkut yang terdapat pada dinding. Saya hanya diberitahu oleh ketua juri sebaik sahaja turun daripada dinding dan disahkan melalui rakaman video," ujarnya yang hancur hati untuk menghadiahkan pingat buat negara.

Dia turut mengalami kecederaan iaitu ligamen bahunya koyak dan mengalami luka di bahagian dalam ketika pusingan kelayakan kategori bouldering.

Namun, itu semua bukan penghalang untuknya melupakan terus sukan yang disertainya sejak berumur 17 tahun itu.

Jika tiada sebarang pertandingan, Salfarina akan memanjat dinding sekurang-kurangnya tiga kali seminggu di Camp5, pusat beli-belah 1Utama, Selangor atau di PCP.

Sukan yang pada mulanya dianggap sebagai pengisi masa senggang itu kini telahpun membawanya sehingga ke pertandingan di luar negara seperti Korea Selatan dan China.

Bertemu jodoh


SUKAN memanjat dinding menemukan Hanis dengan semangat berdikari, stamina diri dan jodoh.


Jika Salfarina dan Natasha melakukan sukan ekstrem sebagai cara untuk mengisi masa lapang atau terapi melepaskan tekanan kerja, lain pula kisah seorang penyelidik kanser di Infovalley Sdn. Bhd., Nurul Hanis Ramzi, 26.

Kedatangannya kali pertama untuk belajar memanjat dinding dua tahun lalu di PCP nukan sahaja membuatkannya jatuh cinta pada sukan tersebut malah dia dipertemukan jodoh dengan suaminya, Ahmad Nasirron Shah Rusdi, 27.

"Pada mulanya, dia (suami) hanya mengajar saya cara untuk menggunakan peralatan seperti harness dan peralatan lain. Dia dianggap salah seorang pendaki yang hardcore di situ," kata Hanis yang pernah menyertai askar Wataniah ketika melanjutkan pelajaran pada peringkat ijazah.

Ahmad Nasirron berpendapat, wanita yang gemar bersukan ialah individu yang aktif, cergas dan pandai menjaga kesihatan.

Mereka juga dianggap mempunyai kepandaian dalam bergaul memandangkan sukan adalah medan buat semua lapisan masyarakat dengan latar berbeza berkumpul untuk melakukan cabaran yang sama.

Tambahnya, walaupun lelaki pada dasarnya tertarik pada wanita yang lemah lembut, perubahan zaman telah membawa tafsiran tersendiri.

Wanita yang lasak, menurutnya, memberi persepsi seorang yang kuat berjuang dan bersungguh-sungguh melakukan sesuatu.

"Itu memberi keyakinan kepada lelaki bahawa wanita yang dikahwini itu sanggup hidup bersama dalam susah dan senang sepanjang hayat," ujarnya.

Ahmad Nasirron juga jujur memberitahu bahawa wanita yang gemar bersukan seorang yang memiliki tubuh yang ideal dan mantap.

"Ia berbeza dengan mereka yang kurus melalui rawatan pusat pelangsingan. Mereka kurus secara semula jadi dan bukan kerana paksaan ataupun menggunakan mesin," ungkapnya.

Rencana Utama!»

Ambil masa sehari proses serunding

SEBANYAK 160kg serunding daging dihasilkan pada bulan Ramadan berbanding 120kg pada hari-hari biasa.

Varia!»

Cegah penyakit batu karang

SISTEM penghadaman kucing amat berbeza daripada manusia dan haiwan itu tidak boleh diberi makan ikan, nasi atau makanan pedas. -Gambar hiasan

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15