SUKAN

Peluang jejak final makin cerah

Peluang jejak final makin cerah

AKSI Malaysia ketika menentang Ukraine pada kempen Kelayakan Olimpik 2012 di Dublin kelmarin. Malaysia menang 5-1.


SKUAD hoki negara berpeluang menempah slot ke final kempen Kelayakan Olimpik 2012 andai mampu menjinakkan Korea Selatan pada aksi keempat di Dublin, Ireland malam ini.

Terdahulu, Korea Selatan, pasukan yang menghuni ranking keenam dunia sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Ireland pada aksi lewat malam kelmarin.

Keputusan itu dilihat memberi kelebihan kepada skuad negara yang mencatat kemenangan bersih dalam tiga perlawanan lalu.

Pada aksi pembukaan, skuad negara mengalahkan Chile 5-1 sebelum melakar kemenangan 6-2 ke atas Rusia dan menang 5-1 ke atas Ukraine.

“Keputusan seri 1-1 antara Korea Selatan dan Ireland memang memberi impak kepada kita tetapi saya tidak mahu terlalu bergantung kepada situasi tersebut.

“Saya mahu kita memberi fokus dalam setiap perlawanan dan harapnya pemain dapat memberi aksi terbaik dalam dua baki terakhir ini,” kata jurulatih negara, Tai Beng Hai dalam wawancara yang dimuatkan dalam blog, malaysianhockey.blogspot.com.

Atas kertas, peluang untuk mara ke final hanya akan terjamin jika skuad negara yang kini menghuni ranking ke-13 dunia mampu membenam Korea Selatan malam ini.

Jika sebaliknya berlaku, anak-anak buah Beng Hai harus mengutip tiga mata penuh ketika membuat perhitungan dengan Ireland pada aksi terakhir nanti bagi mengesahkan slot ke final.

“Bertemu Korea Selatan bukannya mudah, mereka membawa ramai pemain berpengalaman pada kempen kali ini.

“Namun, kita juga ada peluang untuk menang jika pemain beraksi dengan baik esok (malam ini). Kita pernah menewaskan Korea Selatan pada Piala Sultan Azlan Shah 2011 dan hampir mengikat mereka pada Trofi Cabaran-Cabaran Asia sebelum ini.

“Semuanya tidak mustahil tetapi pemain-pemain negara perlu berusaha keras untuk merealisasikan kemenangan itu,” ujar Beng Hai.

Sementara itu, pengurus skuad negara, George Koshy menganggap persembahan anak-anak buah Beng Hai setakat ini belum mencapai tahap sempurna.

“Masih ada banyak kesilapan... banyak kesilapan kecil yang tidak sepatutnya terjadi pada pertandingan peringkat tinggi seperti ini,” katanya.

Bagaimanapun, George memuji aksi barisan pemainnya yang menunjukkan peningkatan dalam menyempurnakan pukulan sudut penalti berbanding dalam tiga kejohanan lalu.

Stailo!»

Mengangkat warisan Scotland

STOKING dipakai hingga mencecah paras lutut dalam gaya pemakaian kain tartan.

Varia!»

Nilai moral rakyat Malaysia mula terhakis

PERISTIWA model memakai pakaian dalam dan menjalani sesi fotografi di tempat awam di Ipoh telah mengejutkan rakyat Malaysia baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31