HORIZON

RM20,000 semalam di Golden Suite

RM20,000 semalam di Golden Suite



PEMERINTAH Britain, Ratu Elizabeth II; Raja Maghribi, Mohammed VI; Naib Presiden Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum; Permaisuri Jordan, Permaisuri Noor dan Presiden China, Hu Jintao.

Pemilik nama-nama yang disebutkan itu sememangnya dikenali masyarakat di seluruh dunia. Semuanya kerana kemasyhuran, kekayaan dan kekuasaan yang dimiliki mereka sehingga ke hari ini.

Namun, apakah kaitan mereka dengan hotel bertaraf lima bintang yang terletak di tengah-tengah kawasan bekas lombong di Seri Kembangan ini.

“Kesemua mereka pernah berkongsi pengalaman yang sama sebelum ini. Mereka merupakan tetamu kenamaan yang pernah menginap di hotel ini,” jelas Pengurus Residen Palace of the Golden Horses, Robert Menzies dalam satu pertemuan bersama Horizon baru-baru ini.

Dikenali sebagai Golden Suite, ia merupakan satu-satunya suite paling mewah yang terdapat di hotel yang berusia hampir 15 tahun itu.

Dengan keluasan kira-kira 23,149 meter persegi, suite mewah setinggi tiga tingkat itu sememangnya direka khas secara eksklusif sesuai dengan status penghuninya.

Sebaik melangkah ke dalamnya, sesiapa sahaja pasti terpukau melihat gabungan elemen tradisional, oriental dan Eropah yang menghiasi segenap sudut bilik yang terletak di aras sembilan itu.

Dekorasi istimewa

Kehadiran sebuah piano berwarna hitam di ruang tamu utama, di samping puluhan koleksi berharga dan artifak di sekelilingnya jelas menonjolkan ciri-ciri mewah suite berharga RM20,000 semalam itu.


ROBERT Menzies menunjukkan suite mewah, Golden Suite yang pernah menjadi lokasi penginapan ramai pemimpin terkenal dunia.


Menurut Robert, berbanding keseluruhan 472 suite di hotel itu, Golden Suite menerima sentuhan istimewa bermula daripada susun atur perabot, hiasan dalaman, koleksi antik, permaidani dan lukisan dinding.

“Setiap perincian di dalam suite ini dilakukan dengan teliti dengan penggunaan material tempatan dan diimport yang berkualiti tinggi. Ruang balkoni yang menghadap tasik biru yang terbentang luas menyerlahkan lagi auranya,” ujarnya.

Secara umumnya, beliau berkata tingkat bawah suite itu menempatkan bilik utama yang lengkap dengan kemudahan bilik mandi, sauna dan jakuzi di samping ruang makan, bilik menonton, ruang tamu dan dapur.

“Di aras satu menempatkan dua bilik tidur lengkap dengan bilik mandi dan jakuzi, ruang tamu, bilik kerja peribadi serta bilik rekreasi.

“Tingkat tiga pula agak kecil yang mempunyai sebuah ruang tamu bagi membolehkan penghuninya bersantai sambil menghirup udara segar,” ujarnya yang sudah lebih setahun bekerja di hotel itu.

Jelas Robert lagi, selain gaya hidup mewah yang ditawarkan, penghuni di suite itu juga berpeluang mendapat layanan mesra ibarat seorang raja menerusi perkhidmatan butler, pekerja penyelengaraan, pekerja pembersihan dan tukang masak selama 24 jam sehari.

Lelaki yang berasal dari Taiping, Perak itu berkata, sebelum ketibaan tetamu kenamaan, pihaknya terlebih dahulu mendapatkan maklumat daripada pembantu peribadi atau pegawai khas yang bertanggungjawab.

“Ia merangkumi daripada sekecil-kecil maklumat seperti suhu bilik sehinggalah kepada diet harian dan protokol yang perlu dilalui sepanjang tempoh menginap.


HOTEL Palace of the Golden Horses di Seri Kembangan, Selangor.


“Malah, aspek keselamatan dan privasi juga turut dititikberatkan terutamanya jika ia melibatkan pemimpin tertinggi sesebuah negara,” katanya.

Sementara itu, bagi Anina Sahil, selaku butler atau pelayan khas, dia bukan sahaja bertanggungjawab menyediakan segala keperluan tetamu sepanjang tempoh menginap, malah menjadi perantara penting kepada pihak hotel.

“Kami ibarat bayang-bayang kepada penghuni di suite ini. Selaku individu paling hampir, saya perlu mengetahui segala-galanya mengenai tetamu dan sentiasa bersedia apabila diperlukan.

“Saya perlu mengetahui bila waktu tetamu makan, bila waktu tidur, apa makanan kegemaran, muzik dan filem yang diminati serta perlu memaklumkan sebarang perubahan yang diinginkan tetamu kepada pihak hotel,” katanya yang sudah lapan tahun bergelar butler.

Anina berkata, selain kemahiran komunikasi yang penting, setiap butler perlu mempunyai kesabaran yang tinggi di samping sentiasa peka terhadap tetamu dan apa yang berlaku di sekelilingnya,” katanya.

Wanita berusia 45 tahun itu memberitahu, pengalaman menjadi butler beberapa tokoh terkenal dunia seperti Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe, Wanita Pertama Iran, Azam Sadat Farahi dan bekas Presiden Pakistan, Pervez Musharraf beberapa tahun lalu menjadi kenangan manis di dalamnya.

Katanya, dia bukan sahaja berpeluang mengenali kesemua tokoh berkenaan dengan lebih dekat, malah mengetahui personaliti diri mereka.

Ceritanya, Robert Mugabe, misalnya merupakan seorang yang menitikberatkan soal kebersihan sehinggakan semua peralatan seperti cawan, pinggan, lantai, singki, bilik mandi perlu kelihatan bersih dan dicuci dengan bahan antiseptik.

“Pervez Musharraf pula amat menggemari masala chai iaitu sejenis minuman seperti teh tarik yang mengandungi pelbagai rempah dan herba.

“Malah, beliau juga seorang penggemar muzik. Saya akan pastikan muzik sentiasa terpasang di dalam suite ini setiap kali beliau pulang daripada menghadiri persidangan,” jelasnya.

Kulinari untuk kenamaan


ROBERT sentiasa memastikan keselesaan tetamu menjadi keutamaan.


Sementara itu, bagi chef de cuzine, Mohd. Nazri Dorahim pula, pengalaman selama 17 tahun dalam bidang masakan membolehkannya menyediakan hidangan terbaik kepada penghuni di suite berkenaan.

“Aspek penyediaan makanan amat penting bukan sahaja persembahan makanan, malah kandungan bahan yang digunakan kerana setiap tetamu mempunyai diet dan tahap kesihatan yang berbeza.

“Ada tetamu yang alah terhadap bahan-bahan tertentu, ada juga yang mahu hidangan sihat, rendah kalori, garam dan gula. Tugas saya adalah memastikan kesemua hidangan itu menepati selera mereka,” katanya.

Ujarnya, dia lazim berhubung dengan butler atau pegawai khas yang terlibat bagi memastikan kelancaran operasi di dapur berjalan lancar.

“Seperti butler, tugas kami hanya selesai selepas tetamu melelapkan mata. Walaupun mempunyai senarai menu harian, namun adakalanya kami perlu bersiap sedia sekiranya terdapat permintaan mengejut daripada mereka,” katanya.

Process time in ms: 32