STAILO

Palet terang serlah imej lelaki

Palet terang serlah imej lelaki



MELIRIK pada koleksi sut kasual yang direka Fairuz Ramdan sesekali membuatkan pandangan mata sedikit terpana. Setiap pasang pakaian untuk ke acara tidak rasmi itu digabungkan dengan tiga warna terang yang sangat jarang dimainkan kebanyakan pereka tempatan.

Warna seperti merah jambu terang, hijau, kuning, merah dan jingga menjadi penata utama sut kasual yang mula dipentaskan Fairuz ketika Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia (MIFW) tahun lalu.

Yakin dengan penerimaan yang bakal diterima, pereka yang telah bertapak dalam industri fesyen tanah air sejak 2005 itu lantas tampil dengan koleksi baharu yang diubah suai dari segi corak dan gabungan warna.

“Penggunaan warna-warna terang dalam penciptaan pakaian lelaki di Malaysia amat terhad, malah boleh dikatakan tiada pereka yang berani mengambil risiko membentuk sut kasual lelaki seperti ini.

“Jika kita lihat di kebanyakan negara Barat, lelaki kini lebih gemar menyarungkan pakaian berwarna terang yang mencuri perhatian. Di negara kita pula, ia masih berada pada peringkat permulaan.

“Sebagai negara beriklim tropika, saya rasa masyarakat kita paling sesuai menggunakan warna-warna terang berbanding negara-negara Barat yang mengalami perubahan musim.

“Hari ini, terdapat segelintir lelaki Malaysia sudah berani mengenakan jaket berwarna terang. Sut kasual rona terang ini juga dirasakan bakal menawan hati lelaki tempatan menjelang 2013,” jelas Fairuz yang kini giat menaikkan mutu fesyen lelaki Malaysia bersama beberapa pereka lain di bawah kumpulan MDForce.

Dihasilkan mengikut potongan asas seperti sut formal, sut kasual tersebut ditujukan buat golongan lelaki bergelar eksekutif muda ataupun mereka yang mahukan gaya ranggi dan berbeza daripada orang lain.

Selain boleh digayakan ke majlis-majlis makan malam dan parti, sut kasual yang diperbuat menggunakan fabrik kapas dan linen itu juga boleh disesuaikan ke acara minum petang dan tidak terkecuali, ke acara sukan-sukan eksklusif seperti kriket dan ekuestrian.


ELEMEN klasik dihidupkan melalui pemakaian suspender dan topi.


Tidak terhad kepada lelaki tertentu, busana yang dijual pada harga RM1,000 ke atas itu dicipta untuk semua kumpulan lelaki tanpa mengira peringkat umur.

“Kriteria penting yang perlu dipertimbangkan sebelum seseorang lelaki itu memilih untuk memakai sut kasual ini adalah cara hidup mereka. Letak persoalan pada diri, adakah gaya ini sesuai dengan kehidupan seharian termasuklah profesion dan kehidupan sosial anda?

“Jika ia tidak menepati kriteria itu, maka mereka boleh memilih alternatif lain dalam berpakaian. Tetapi, itu tidak bermakna mereka tidak boleh langsung memakai sut kasual.

“Mereka masih boleh memilih pakaian ini untuk ke acara yang tidak terlalu formal iaitu acara tanpa protokol dan bebas kod pakaian,” jelas Fairuz yang mendedahkan bahawa kebanyakan pencinta muzik dan fesyen merupakan kelompok paling kerap dilihat menyarungkan sut kasual warna terang.

Manual berpakaian

Item-item kekunci yang menjadi pelengkap sepasang sut kasual terdiri daripada kemeja, jaket, seluar panjang, tali leher kupu-kupu (bow tie) dan napkin.

Jika bosan dengan seluar panjang, usah gentar menggantikannya dengan seluar pendek, namun pastikan ia sesuai untuk majlis yang anda hadiri. Jangan pula berseluar pendek ke acara makan malam kerana ia akan nampak sangat tidak sesuai dan kurang sopan dalam konteks sosial tempatan.

Begitu juga dengan tali leher kupu-kupu, anda boleh tukar kepada tali leher bersaiz kecil (skinny tie) bagi menyuntik sedikit elemen perkasa. Percaya atau tidak, lelaki bertali leher akan kelihatan sangat seksi apabila digabungkan dengan sut kasual berona terang.

Walau apapun jua sut kasual yang anda pakai, jangan sesekali melupakan napkin yang diletakkan di dalam poket atas jaket. Napkin merupakan aksesori wajib dalam pemakaian sut kasual kerana tanpanya, penampilan bakal kelihatan kekok, kosong tanpa seri.


KATA orang, hanya lelaki sejati yang berani memakai warna biru muda dan merah jambu.


Selain daripada item-item yang disebutkan, anda juga harus kreatif menyuai padan sut kasual dengan aksesori-aksesori lain. Misalnya, ganti jaket dengan vest bagi mendapatkan nilai sentimental dan klasik. Pita hiasan boleh laras (suspender) dan topi fedora juga akan menciptakan karakter lelaki Inggeris tanpa perlu dipaksa.

“Memandangkan ia pakaian kasual, tidak ada sekatan dalam pemilihan kasut. Pilih apa sahaja kasut yang digemari seperti sneaker, kasut kulit atau pun sandal bertutup, ia tidak akan kelihatan janggal selagi lelaki itu bijak bermain warna dan melihat kesesuaian gaya yang ingin dibawa.

“Tali pinggang juga bebas menjadi pilihan si pemakai. Seseorang lelaki itu perlu memastikan warna yang digunakan mempunyai kesinambungan. Seperti contoh, jika tali pinggang merah, pastikan ia padan dengan kasut, seluar atau jaket yang salah satu daripadanya juga berwarna merah,” ujarnya yang memberitahu, pemilihan kemeja berkotak untuk gaya sut kasual beliau diinspirasikan daripada skirt lelaki Scotland (kilt).

Mentaliti

Kelewatan lelaki Malaysia menerima idea pemakaian sut kasual rona terang didorong oleh beberapa faktor. Fairuz menyatakan bahawa mentaliti jejaka tempatan menyifatkan pakaian tersebut hanya sesuai dikenakan golongan artis.

Mungkin disebabkan aura glamor yang dibawa pakaian itu membuatkan orang kebanyakan sedikit takut memilikinya, bimbang kelihatan keterlaluan sebagai figura biasa.

“Lelaki dalam negara ini masih menyimpan stereotaip itu, tetapi saya percaya ia akan terpadam secara berperingkat. Saya berharap golongan artis dan pereka tempatan dapat memulakan gerakan mempromosikan sut kasual terang di Malaysia.

“Jika kita lihat dalam industri seni, tidak ramai artis lelaki yang menjadi ikon fesyen kepada orang ramai. Hal ini disebabkan artis itu sendiri tidak begitu menitikberatkan perkara berkaitan fesyen.

“Bayangkan sekiranya ramai artis lelaki kita mula memakai pakaian warna terang, sudah tentu ia akan mencetuskan fenomena kerana mereka mempunyai kelompok peminat masing-masing,” tambah Fairuz yang memetik nama Iqram Dinzly sebagai artis lelaki yang sinonim dengan sut kasual berwarna terang.

Rencana Utama!»

Bandar raya paling selesa di dunia

MASJID Jamek Kuala Lumpur serta kawasan sekitarnya turut akan menjalani proses transformasi menerusi pelan Greater KL.

Varia!»

Cubaan pinggirkan bahasa Kantonis

BERMULA 1 September lalu, Guangdong TV telah menggantikan rancangan berbahasa Kantonis dengan Mandarin.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16