HIBURAN

Konsert Reunion Cromok

Konsert Reunion Cromok


CROMOK tahun 2012 kini digerakkan semula oleh (dari kiri), Sam, Karl dan Miji.


MEMPERUNTUKKAN selama 15 tahun untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga dan anak-anak yang sedang membesar, kumpulan otai metal, Cromok, yang terdiri daripada Khairul Anuar Shariff (Karl), Shamsudin Ali (Sam) dan Tarmizi Mokhtar (Miji) bergabung semula untuk kembali menghidupkan Cromok demi mengubat rindu peminat tegar kumpulan muzik metal itu.

Tidak berasa gementar untuk kembali menghangatkan pentas muzik, Karl (gitar), Sam (vokal) mahupun Miji (dram) berjanji akan memberikan persembahan yang terbaik pada konsert Cromok Reunion yang bakal berlangsung pada pukul 4 petang 8 April ini di KL Live Center, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Konsert anjuran bersama Clockwork Events dan Uncang Tiga itu juga bakal meraikan ulang tahun ke-25 kewujudan kumpulan itu.

Kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1987 dan pernah menempa nama di Australia dan seluruh rantau di Asia itu kini hanya menyaksikan Karl, Sam dan Miji sahaja sebagai anggotanya, memandangkan seorang lagi anggotanya, iaitu Din atau nama sebenarnya Khairuddin Mohamad sudah meninggal dunia pada tahun 1997.

Menurut Karl atau nama sebenarnya Khairul Anuar Salleh, dia bersetuju untuk kembali menghidupkan Cromok semula kerana begitu merindui bermain alat muzik selain mengakui ingin mengubat rindu peminat tegar mereka.

"Saya bersama Sam dan Miji bersetuju kembali untuk menjayakan Konsert Cromok Reunion ini kerana sudah begitu merindui bermain alat muzik. Tangan dah rasa gatal nak main alat muzik.

"Sekarang kami sudah bersedia dan berlatih secara intensif di studio di Wangsa Maju, Kuala Lumpur untuk mendapatkan feel dan stamina terbaik sebelum tampil di KL Live Center," ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar konsert di Sheraton Imperial, Kuala Lumpur baru-baru ini.


NOSTALGIA. Foto kumpulan Cromok yang dirakam pada tahun 1987 ketika dianggotai (dari kiri) Mat Puck, arwah Din, Sam dan Miji.


Selain rindu bermain alat muzik, Cromok juga mengakui menerima tawaran menjayakan konsert reunion itu selepas mendapat penganjur yang mantap selain bersemangat melihat kumpulan Search menjayakan empat konsert jelajah mereka.

"Bayangkan pada usia separuh abad, mereka masih aktif untuk menjayakan konsert. Ini membuatkan kami rindu berada atas pentas semula selepas sekian lama tidak berada di depan peminat muzik metal. Lagipun inilah masa yang sesuai kerana kami bukan semakin muda dan tenaga juga bukan sekuat dahulu," kata Karl lagi.

Miji pula sebaliknya mengakui tenaga ketukan dram dimiliki tidak sama seperti pernah dilakukan 20 tahun lalu. Begitupun, dia tidak menjadikan itu sebagai alasan kerana yakin dapat beraksi baik di pentas nanti dengan sokongan peminat.

Tiket Konsert Cromok Reunion Live In KL Live 2012 itu akan dijual pada harga RM98 dan RM138. Tiket boleh didapati menerusi www.ticketpro.com.my atau hubungi talian 03-7880 7999.

Pembeli tiket yang berharga RM138 akan menerima baju-T eksklusif daripada Cromok.

Process time in ms: 47