VARIA

Tuah bayi tahun lompat 2012

Tuah bayi tahun lompat 2012

SYARIFAH Nurul Idayu akan membawa bayi kesayangannya, Siti Zulaika Nor Hashim ke kampung halamannya di Gua Musang Kelantan untuk kenduri kesyukuran.


SEPATUTNYA. mengikut perkiraan, Sharifah Nurul Idayu Syed Jaafar, 24, melahirkan bayi sulungnya semalam.

Namun, entah mengapa pada pagi 28 Februari lalu, dia merasa kesakitan seperti hendak melahirkan. Gagal menahannya, dia lantas menuju ke hospital berdekatan iaitu Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Selepas diperiksa, Sharifah Nurul Idayu dimaklumkan oleh doktor yang merawatnya bahawa pintu rahim sudah membolehkan dia bersalin.

Ujarnya yang juga bertugas sebagai jururawat di hospital yang sama, pada masa itu, dia tidak langsung memikirkan tentang masa atau tarikh kelahiran bayinya.

“Bagaimanapun, alhamdulillah, anak saya lahir tepat pukul 7.23 pagi pada 29 Februari iaitu tarikh paling istimewa dalam bulan Februari,” katanya ketika ditemui di HKL baru-baru ini.

Kehadiran bayi yang diberi nama Siti Zulaika Nor Hashim dengan berat 2.56 kilogram (kg) itu dirai dengan penuh keriangan oleh seluruh ahli keluarga terutama suaminya.

“Selepas ini saya akan membawa Siti Zulaika ke rumah neneknya di Gua Musang, Kelantan dan kami bercadang untuk mengadakan kenduri kesyukuran,” ujar wanita ini.

Untuk rekod, HKL pada tahun ini menyambut 27 bayi (14 orang lelaki dan 13 orang perempuan) pada hari tambahan yang dinamakan Hari Lompat yang disambut empat tahun sekali.

Bayi paling awal dilahirkan pada pukul 12.34 pagi. Seramai 16 orang ibu melahirkan bayi mereka secara normal sementara 11 orang yang lain melalui pembedahan.

Tarikh 29 Februari merupakan hari ke-60 dalam tahun lompat menurut kalendar Gregory. Tarikh itu hanya muncul setiap empat tahun dalam tahun-tahun yang mempunyai angka yang boleh dibahagikan dengan empat tanpa baki, seperti tahun 1992, 1996, 2004.

Hari Lompat jatuh 13 kali pada hari Ahad dalam tempoh 400 tahun. Oleh yang demikian, terdapat Hari Lompat pada hari Ahad setiap 30.8 tahun, hari Isnin sebanyak 15 kali dan sekali setiap 26.7 tahun.

Dalam kepercayaan masyarakat tertentu, Hari Lompat turut dikenali sebagai Bachelor’s Day yang menyaksikan lelaki dikehendaki membayar sogit iaitu proses membeli pakaian, cincin dan lain-lain jika lelaki menolak lamaran wanita.

Anak soleh

Dalam pada itu, kegembiraan yang sama turut dirasai oleh Che Nurul Aziza Ahmad, 25.

Che Nurul Aziza yang merupakan seorang anggota polis sungguh tidak menyangka melahirkan bayi sulungnya pada tarikh istimewa itu.

“Sepatutnya, tarikh lahir Dhia Qaisara Mohd. Faizal jatuh pada 28 Februari tetapi lewat sehari disebabkan ada sedikit komplikasi.

“Pastinya kegembiraan kami akan berkali-kali ganda kerana Dhia ialah bayi yang kami tunggu-tunggu setelah saya mengalami keguguran semasa hamil kali pertama dahulu,” katanya dengan penuh keterujaan.

Bagaimanapun kata wanita itu, dia tidak mempunyai perancangan khusus untuk meraikan hari lahir anak kesayangan itu secara besar-besaran kelak.

Seorang lagi ibu yang bernasib baik, Fathimah Karam Singh, 41, berkata, dia sedikit terkejut apabila anak keempatnya dilahirkan pada 29 Februari.

Lebih istimewa, bayi yang masih belum diberi nama lagi itu ialah bayi yang paling berat direkodkan pada tarikh berkenaan iaitu seberat 3.86 kg.

Apakah rahsia di sebaliknya? Tanpa berselindung Fathimah memberitahu, semasa dia mengandungkan bayi lelakinya itu, dia gemar makan nasi bersama sup ayam.

“Itu mungkin sebab dia berat sedikit tapi yang penting dia sihat walafiat.

“Kelahiran bayi saya sepatutnya dijadualkan pada 19 Februari lalu tapi ia lambat dilahirkan iaitu kira-kira lebih dua minggu,” katanya yang sedikit cemas pada awalnya.

Seperti Sharifah Nurul Idayu dan Che Nurul Aziza, besar harapan Fathimah agar bayinya akan menjadi anak berguna kepada keluarga dan seluruh masyarakat.

Infiniti!»

Perabot daripada kayu pain terpakai

KAYU pain disimpan rapi di dalam bengkel untuk mengekalkan ketahanannya sekali gus tidak mudah rosak.

Varia!»

Melahirkan jutawan bidang penternakan

SITI FATONAH (dua dari kanan) bersama Mohamad Jamil (dua dari kiri) di hadapan Akedemi Usahawan MJ Fatonah di Bestari Jaya, Kuala Selangor, Selangor.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31