NEGARA

Tren komuter SCS beroperasi minggu ini

Tren komuter SCS beroperasi minggu ini


TREN baharu SCS (kanan) mampu membawa hampir dua kali ganda lebih ramai penumpang berbanding tren lama (kiri) dan sekali gus menyelesaikan masalah pengguna komuter di Lembah Klang.


KUALA LUMPUR – Masalah kesukaran penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menggunakan perkhidmatan tren komuter khususnya pada waktu puncak dijangka diatasi mulai hujung minggu ini menerusi operasi set tren baharu yang berkemampuan membawa 1,118 penumpang pada satu-satu masa berbanding 400 orang pada masa ini.

Perkhidmatan tersebut sebahagian daripada program menambah baik operasi KTMB menerusi pembelian 38 set tren enam gerabak (SCS) setiap satu dari China dengan kos keseluruhan RM1.9 bilion.

Pengurus Besar Perkhidmatan Komuter KTMB, Mohd. Hider Yusoff berkata, sebanyak 16 set tren SCS telah tiba dengan empat unit dijadual beroperasi mulai hujung minggu ini di laluan Pelabuhan Klang, Seremban dan Rawang.

“Selepas 17 tahun komuter beroperasi dengan tiga gerabak bagi setiap perjalanan, kini kapasiti perkhidmatan ini bertambah dua kali ganda dengan memuatkan 1,118 penumpang dalam satu masa,” ujarnya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau sebelum itu membawa wakil media buat pertama kali merasai perjalanan dari KL Sentral ke Kajang menggunakan tren baharu itu yang bakal dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin esok.

Mohd. Hider memberitahu, baki 12 set tren komuter itu akan selesai dipandu uji tidak lama lagi sebelum memulakan operasi.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Process time in ms: 31