HIBURAN

Sekitar Konsert Sudirman... Abadi Di Hati

Sekitar Konsert Sudirman... Abadi Di Hati


ALYAH merupakan penyanyi generasi baharu yang rasa teruja kerana dapat menjayakan konsert khas mengenang 20 tahun pemergian Sudirman.


TANGGAL 22 Februari 1992 sememangnya sangat dirasai oleh seluruh warga Malaysia apabila kehilangan seorang insan seni yang paling berbakat iaitu Datuk Sudirman Haji Arshad.

Kini setelah 20 tahun Allahyarham meninggal dunia, kehilangannya terus dirasai oleh para peminat. Malah, lagu-lagu malar segarnya masih kerap berkumandang di stesen-stesen radio dan menjadi siulan ramai.

Sebagai mengenang jasa Allahyarham sepanjang pembabitannya sebagai penyanyi sejak tahun 1976, Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menganjurkan Konsert Sudirman... Abadi Di Hati pada 24 Februari lalu dan disiarkan secara langsung menerusi saluran RTM 1 bermula pada pukul 9 malam.

Penerbitnya, Ain Sabrina Onn berkata, konsert tersebut dianjurkan bertujuan untuk mengimbas semula perjalanan karier seni Sudirman sepanjang 16 tahun menjadi seorang penghibur.

“Konsert ini merupakan kali kedua dianjurkan oleh RTM setelah pertama kali ia diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada tahun 2007. Ketika itu konsert yang diberi nama Suara Hati Sudirman telah dihadiri seramai 15,000 orang.

“Pada kali ini kami memilih Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri sebagai lokasi konsert yang bertujuan mengenang kembali perjalanan karier seninya yang bermula di RTM selepas menjuarai Bintang RTM 1976,” ujarnya ketika ditemui sejurus konsert berakhir.

Menurut Ain, sepanjang konsert tersebut berlangsung, sebanyak 24 buah lagu Sudirman telah dinyanyikan semula oleh beberapa orang penyanyi terkenal tanah air selama dua jam.

Persembahan pada konsert tersebut membabitkan penyanyi seperti Shila Amzah, Bob Yusof, Tomok, Aril, Dayang Nurfaizah, Jaclyn Victor, Alyah, Black, Adibah Noor, Datuk Sharifah Aini dan Rey, manakala ia dihoskan oleh Saiful Apek dan Didie Alias.

Lagu-lagu yang dipersembahkan pula antaranya seperti Gerimis Di Lautan, Jali Jali, Bila Hati Terpikat, Aku Anak Gembala, Nilai Cintamu dan Pelangi Petang dengan mengikut turutan album yang telah dihasilkan serta diiringi oleh 40 orang pemuzik Orkestra RTM.

Mengenai persiapan pula, Ain menjelaskan pihaknya mengambil tempoh selama sebulan untuk memastikan segala perjalanan konsert berjalan dengan lancar, manakala penyanyi yang terbabit pula berlatih selama dua minggu bagi menyesuaikan lagu-lagu dengan susunan muzik baharu.

“Saya bersyukur kerana konsert malam ini telah berjaya diadakan dan mendapat sambutan hangat daripada penonton yang telah memenuhi ruang auditorium 45 minit sebelum konsert berlangsung. Begitu juga dengan persembahan yang ditampilkan oleh barisan penyanyi sangat menghiburkan dan berhasil mengimbau kembali nostalgia terhadap Sudirman,” ujarnya.

Sementara itu, Penerbit Perkhidmatan Muzik RTM, Ali Shaaib menyatakan konsert berkenaan merupakan yang pertama daripada sembilan konsert orkestra yang dirancang bagi mengisi kalendar Siri Orkestra 2012 RTM pada tahun ini.

Jelas Ali, bagi menampilkan sedikit kelainan berbanding dengan konsert Sudirman yang pernah dianjurkan sebelum ini, pihaknya telah memilih gabungan lagu-lagu malar segar dan lagu-lagu Sudirman yang jarang diputarkan stesen radio.

“Sebenarnya banyak lagu-lagu Allahyarham yang menarik dan sedap untuk didengar. Jadi, pada konsert kali ini para penonton akan dapat mendengar lagu-lagu yang jarang diputarkan seperti Di Dalam Sepi Itu, Bila Hati Terpikat dan Hilang Berganti,” ujarnya.

Menurut Ali, pihaknya juga telah menetapkan idea untuk konsert berkenaan lebih menjurus kepada konsep yang menghiburkan dan kurang menerapkan elemen-elemen sedih.

“Tidak dinafikan kehilangan Sudirman masih lagi dirasai sehingga sekarang, tetapi pada masa yang sama adalah lebih baik sekiranya kita terus mengangkat karya-karyanya menerusi konsert-konsert sebegini.

“Selain dapat mengimbau semula nostalgia kariernya sepanjang bergelar penyanyi menerusi 24 buah lagu yang telah dinyanyikan, kami juga mahu para penonton terhibur dengan lawak dan celoteh yang ditampilkan oleh kedua-dua pengacara,” ujarnya.

Selepas berakhirnya Konsert Sudirman... Abadi Di Hati, kalendar Siri Orkestra 2012 RTM diteruskan dengan sebuah persembahan Istimewa Orkestra RTM... Datuk Sharifah Aini yang akan berlangsung pada

1 April ini.

Varia!»

Ketokohan Bapa Perbankan Islam

YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (kanan) menyampaikan Anugerah Diraja Kewangan Islam kepada Abdul Halim di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 0