PESONA

Citra cita rasa kardigan

Citra cita rasa kardigan


KARDIGAN colour blocking ini menggabungkan dua warna iaitu ungu di bahagian depan, manakala jingga di bahagian belakang.


PEMILIK jenama The Old Blossom Box (OBB), Jezmine Zaidan, ada sebab tersendiri mengapa dia memilih untuk mempromosikan koleksi kardigan pada awal tahun 2012. Jika jenama lain berlumba-lumba menawarkan himpunan blaus, kemeja mahu pun baju-T dalam pelbagai rekaan dan warna tetapi, Jezmine pula sebaliknya.

Bagi Jezmine yang popular dalam kalangan pencinta fesyen vintaj sudah tiba masanya OBB menambah item fesyen yang berkonsep ceria, ranggi dan funky menepati cita rasa golongan remaja masa kini.

Pereka muda yang mengusahakan butik di Shah Alam, Selangor itu ingin mengajak wanita mempraktikkan konsep suai dan padan di bawah satu bumbung di OBB.

"Umum mengetahui fesyen kardigan sudah lama berada dalam persada fesyen tempatan. Malah, ia dianggap pakaian sepanjang zaman dan sentiasa diminati ramai. Sebelum ini, kebanyakan wanita membeli kardigan yang dikait, polos dan rona lembut yang digayakan bersama baju-T serta seluar atau skirt labuh.

"Namun, di OBB saya tampilkan kelainan dengan menghasilkan kardigan yang menggunakan fabrik lembut dan nipis seperti sifon, net dan sifon sutera. Seleksi fabrik ini bersesuaian dengan cuaca tempatan yang panas dan lembap," jelas Jezmine, 28, sambil menunjukkan koleksi kardigan yang tergantung kemas di rak butiknya.

Kardigan kimono

Tambah graduan jurusan fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu, selain daripada pilihan fabrik ideal, keistimewaan kardigan OBB terletak pada rekaan, palet warna dan corak.

Kepada mereka yang mencintai fesyen persis wanita Jepun, kardigan potongan kimono adalah yang paling sesuai.

Kardigan kimono tampak santai dipadankan bersama blaus potongan pendek dengan seluar denim ataupun palazo.

Sementara itu bagi mereka yang berani berfesyen, pilih saja kardigan colour blocking yang hadir dalam dua warna terang berbeza. Misalnya, warna ungu di bahagian depan manakala warna jingga di bahagian belakang kardigan.


KARDIGAN di OBB yang menggunakan fabrik lembut dan nipis seperti sifon, net dan sifon sutera sesuai dengan cuaca tempatan yang panas dan lembap sepanjang tahun.


Kombinasi rona merah jambu, jingga, hijau atau biru barangkali kelihatan tidak senada namun, tanpa kita sedari stail itu membantu menyerlahkan penampilan.

"Selain itu, kardigan OBB turut direka menggunakan fabrik bercorak abstrak, polka dot dan motif ikan. Pemakaian kardigan ini menambah daya tarikan golongan muda yang aktif dan ceria.

"Bukan itu saja, kardigan OBB juga sesuai digayakan oleh kelompok wanita bertudung kerana ia dihasilkan dalam potongan longgar, labuh dan menutup punggung. Apa yang penting, individu perlu memakai inner untuk menutup tubuh memandangkan kardigan OBB berasaskan fabrik nipis," jelas Jezmine yang memberitahu kardigan OBB dijual pada harga RM79 hingga RM89. - IZYAN LIYANA MOHD. DARIF

Stailo!»

Rentasan karier Anaabu, Nur Safira

Nur Safira dan Ana ialah bakat mentah industri fesyen yang masih digilap keistimewaannya.

Varia!»

Garis panduan di klinik veteriner

Kebanyakan kucing yang dibawa ke klinik menghidap penyakit berjangkit dan bersifat zoonotik. – Gambar hiasan

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15