SUKAN

Hukuman berat lempar kritikan

Hukuman berat lempar kritikan

SHAHIDAN (kanan) mengatakan sesuatu kepada Timbalan Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim ketika mesyuarat khas di Bukit Jalil kelmarin.


KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) bakal mengenakan hukuman berat terhadap mana-mana atlet atau jurulatih yang secara terbuka melemparkan kritikan terhadap badan induk tersebut.

Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, sekiranya didapati bersalah, pihaknya bakal mengeluarkan surat amaran keras atau dikenakan hukuman penggantungan ke atas atlet yang terbabit.

Kata Shahidan, keputusan tersebut perlu dilakukan bagi mengelakkan imej KOM tercalar.

"Kami telah mempunyai senarai mereka yang bakal diberi amaran keras dan digantung namun saya tidak akan mengumumkannya sekarang tetapi akan dibawa ke mesyuarat JKK (Jawatankuasa Kerja) bersama MSN (Majlis Sukan Negara) pada 13 Februari ini.

"Kita tidak mahu imej KOM tercalar disebabkan isu tersebut," kata Shahidan ketika sidang media selepas mensyuarat khas KOM di Bukit Jalil kelmarin.

Sebelum ini, atlet-atlet olahraga negara sering kali menjadikan media sebagai tempat melepas geram mereka bagi melahirkan rasa tidak puas hati dan melemparkan kritikan terbuka terhadap KOM.

"Atlet-atlet ini rasa mereka adalah yang terbaik dan boleh membuat komen sesuka hati sedangkan ia akan merugikan diri sendiri serta menjejaskan hubungan baik antara mereka yang berada dalam KOM dan MSN.

"Kali ini, kita mahukan semuanya dalam keadaan teratur, tidak mahu menyakiti pihak lain. Selepas mesyuarat JKK nanti kita akan memberitahu siapa yang akan digantung dan bila tarikh penggantungan bermula," jelas Shahidan.

Antara kontroversi paling mencuri tumpuan adalah membabitkan, atlet 400 meter lari berpagar wanita negara, Noraseela Mohd. Khalid yang telah diberikan surat tunjuk sebab oleh KOM bagi meminta penjelasan selepas dia mengeluarkan kenyataan kepada media mengkritik pengurusan badan induk itu yang disifatkan tidak menghargai jasa dan pengorbanan atlet olahraga negara.

Noraseela meluahkan rasa tidak puas hatinya itu sejurus berjaya memenangi pingat emas acara 400 meter lari berpagar pada temasya Sukan SEA 2011 di Palembang, Indonesia, November tahun lalu.

Antara kritikan yang dilemparkan Noraseela ialah banyak masalah melibatkan atlet olahraga timbul akibat sikap negatif sesetengah pihak dalam kesatuan itu.

Dalam perkembangan lain, Shahidan yang ditanya mengenai pengganti kepada ketua jurulatih olahraga negara, Harun Rasheed Othman yang meletak jawatan bulan lalu menjelaskan pihaknya kini telah mempunyai tiga atau empat calon bagi mengisi kekosongan tersebut.

"Namun, saya lebih suka sekiranya ketua jurulatih kali ini dari luar negara kerana kita dapat lihat sendiri bagaimana Vietnam meningkat dalam olahraga dengan menggunakan ketua jurulatih orang luar.

"Malah, jurulatih itu pernah melatih atlet-atlet Malaysia.

"Kami juga sudah ada perancangan bagi menghantar atlet-atlet olahraga negara menjalani latihan di luar negara namun hanya akan diputuskan ketika mesyuarat JKK itu nanti," jelas Shahidan.

Tambah beliau, keputusan itu dibuat sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar dan beberapa atlet yang berpotensi untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2012 London.

"Kita akan menghantar tiga atlet iaitu Lee Hup Wei dan Roslinda Samsu (lompat bergalar wanita) ke Jerman manakala Noraseela ke Afrika Selatan.

"Kita juga akan berbincang dengan MSN untuk menghantar atlet yang memenangi pingat di Sukan SEA 2011 diberi peluang untuk menjalani latihan dan menyertai kejohanan di luar negara," tambahnya.

Ditanya bila keputusan ujian anti-doping sampel B membabitkan atlet olahraga ketika temasya Sukan SEA 2011 di Indonesia tahun lalu akan dikeluarkan, Shahidan menjawab: "Sehingga kini, kami masih belum mendapat jawapan lagi.

"Saya harap keputusannya akan diketahui secepat mungkin dan apabila sudah ada nanti, saya akan umumkan," ujar Shahidan.

Awal Januari lalu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan bahawa seorang atlet olahraga dan tinju yang meraih pingat emas pada Sukan SEA 2011 telah didapati positif ujian anti-doping sampel A.

Bagaimanapun, baik MOM mahupun KOM dan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

Ini kerana, mereka mahu menunggu sehingga keputusan ujian anti-doping sampel B dikeluarkan sebelum membuat sebarang kenyataan.

Process time in ms: 62