SUKAN

ATM juara wanita

ATM juara wanita


PARA pemenang bergambar selepas majlis penyampaian hadiah Piala Presiden PSM di Kompleks Sukan MSN, Taman Keramat, Kuala lumpur semalam.


REGU sepak takraw Angkatan Tentera Malaysia (ATM) muncul juara setelah menewaskan pasukan bekas jurulatih wanita negara, Osman Che Meh (OCM) 15-11, 15-13 pada perlawanan akhir kategori wanita Kejohanan Sepak Takraw Piala Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail, semalam.

Regu ATM yang dibarisi oleh Anis Nadia Jefri sebagai tekong, Nurrashidah Abd. Rashid (apit kiri) dan Noor Fairus Azizan (apit kanan) mengasak pencabarnya sehingga set kedua permainan.

Manakala, regu OCM pula membariskan Nor Farhana Ismail (tekong), Siti Norzubaidah Che Ab. Wahab (apit kanan) dan Nurul Izzatul Hikmah Md. Zulkifli (apit kiri).

Jurulatih regu wanita negara, Md. Fikri Md. Nor berkata, perlawanan semalam membuktikan sudah ada peningkatan bagi pemain-pemain negara tersebut.

"Prestasi dan keserasian pemain sudah menunjukkan beberapa pembaharuan yang baik, namun kita tidak boleh berbangga dengan pencapaian meraka lagi.

"Ini kerana, kalau kita mahu membandingkan prestasi mereka dengan pemain-pemain dari negara lain seperti Thailand, Myanmar dan Vietnam, kita masih ketinggalan.

"Negara kita baharu sahaja menubuhkan skuad sepak takraw wanita sejak pertengahan tahun 2007. Manakala negara-negara besar ini sudah hampir dan lebih daripada 10 tahun jadi buat masa ini sukar untuk kita menandingi mereka," kata Fikri.

ATM yang dinobatkan sebagai juara membawa pulang hadiah RM2,000 dan pingat emas manakala OCM menerima RM1,000 dan pingat perak.

Walaupun kedua-dua regu itu terpaksa berhempas pulas selama 40 minit dalam perlawanan akhir, namun pertarungan itu hanya bagaikan sesi latihan untuk skuad wanita negara kerana keenam-enam srikandi itu merupakan pemain kebangsaan.

Namun bagi Md. Fikri, beliau percaya skuad negara mampu untuk beraksi di peringkat separuh akhir pada Siri Super kedua, Persatuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) di Palembang pada 23 hingga 26 Februari ini.

Dalam pada itu, bagi kategori Veteran A, regu Gabungan Pelajar Malaysia Semenanjung (GPMS) menumbangkan regu PDRM 15-10, 15-5 dalam tempoh kurang daripada sejam.

Manakala dalam kategori Veteran B, regu Polis Perak menundukkan regu Semabok Jaya 15-11, 15-12 dalam masa 35 minit.

Kejohanan sepak takraw Piala Presiden masih diteruskan untuk kategori terbuka lelaki dan lelaki bawah 21 tahun bagi peringkat kumpulan dan suku akhir pada hari ini dan dijadualkan akan berakhir esok di Kompleks Majlis Sukan Negara, Taman Keramat AU2.

Rencana Utama!»

Dreadnoughtus terbesar di dunia

PELAJAR Universiti Drexel, Alison Moyer teruja dengan penemuan fosil Dreadnoughtus di Argentina pada 4 September lalu.

Varia!»

Sinar baharu kanak-kanak Myanmar

DARI kiri, Mohd. Azhari, Myint Lwin dan Tengku Zafrul bergambar pada majlis penyerahan tajaan oleh CIMB Bank dan IJN di Hospital Kanak-kanak Yankin, Myanmar.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 63