NEGARA

Keputusan kes liwat Anwar hari ini

Keputusan kes liwat Anwar hari ini




KUALA LUMPUR – Teka-teki berhubung kesudahan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, empat tahun lalu bakal terjawab apabila Mahkamah Tinggi di sini dijangka membacakan keputusan perbicaraan hari ini.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah akan memberi keputusan pagi ini selepas meneliti dan mempertimbangkan hujah kedua-dua belah pihak di akhir pembelaan sama ada akan membebaskan Anwar atau mensabitkan Ketua Pembangkang itu bersalah.

Sekiranya disabitkan bersalah, Anwar berhadapan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, Anwar masih mempunyai peluang untuk membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada 16 Mei 2011, Anwar, 65, diarah membela diri atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful, 27, tanpa kerelaan di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di sini, antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.

Mohamad Zabidin ketika memutuskan Anwar membela diri berkata, mahkamah tiada sebab untuk menolak segala bukti dan keterangan saksi yang dikemukakan pendakwaan berhubung penglibatan tertuduh dalam kes itu.

Beliau menerima keterangan dua pakar daripada Jabatan Kimia iaitu Dr. Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon mengenai kewujudan DNA Male Y iaitu DNA lelaki asing pada dubur Mohd. Saiful yang disahkan sebagai DNA Anwar.

Keputusan itu diperoleh hasil perbandingan sampel DNA berdasarkan tiga barang Anwar yang diambil dari dalam lokap Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur semasa Anwar ditahan pada 16 Julai 2008 iaitu sebatang berus gigi, sehelai tuala Good Morning dan sebotol bekas air mineral kosong.

Bagaimanapun Anwar pada 22 Ogos 2011 mengambil langkah membela diri dari dalam kandang tertuduh tanpa mengangkat sumpah.

Tindakan itu menyebabkan keterangan Anwar rapuh dan kurang kukuh kerana pihak pendakwaan diketuai Peguam Cara Negara 11, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden tidak berpeluang menyoal balas.

Pihak pembelaan yang diketuai Karpal Singh mengemukakan tujuh saksi termasuk dua pakar forensik dari Australia, Dr. Brian McDonald dan Dr. David Wells serta seorang pakar ortopedik dari Belanda, Dr. Thomas Hoogland bagi mempertikai bukti DNA.

Anwar sebelum ini pernah didakwa atas tuduhan serupa iaitu meliwat pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar pada 2000 namun selepas disabitkan bersalah dan menjalani hukuman penjara empat tahun, hukuman terhadapnya diketepikan oleh Mahkamah Persekutuan.

Terdahulu, Anwar mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kali pertama dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 7 Ogos 2008 atas tuduhan tersebut.

Seramai 27 orang saksi dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 3 Februari 2010 dengan saksi pertama ialah pengadu sendiri, Mohd. Saiful mendakwa diliwat oleh Anwar ketika menghantar fail yang tertinggal di pejabat.

Mohd. Saiful dalam keterangannya juga mendakwa tidak membuang air besar selama dua hari selepas kejadian sebelum membuat pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur pada 28 Jun 2008.

Pihak pembelaan sebelum ini beberapa kali memohon supaya tuduhan liwat itu diketepikan atas beberapa alasan termasuk alasan Mohd. Saiful dan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Latif mempunyai hubungan sulit namun semuanya gagal.

Pihak pembelaan juga gagal mendapatkan laporan perubatan Anwar yang dibuat oleh doktor HKL.

Selain itu, usaha Anwar sebanyak tiga kali supaya Mohamad Zabidin menarik diri daripada mendengar kes tersebut turut ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

Rencana Utama!»

Cabaran penggal kedua Rousseff

AKHBAR-AKHBAR Brazil melaporkan kemenangan Rousseff sebagai President Brazil ke-36.

Pesona!»

Bantu baiki taraf hidup wanita

KEMAHIRAN mengurut menjadi punca rezeki buat Saodah untuk menyara keluarganya.

Varia!»

Penceraian yang dilaknat Allah

PERCERAIAN li’an yang melibatkan penafian nasab terhadap anak yang dikandung akan dilakukan selepas kelahiran bayi tersebut. – Gambar hiasan

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16