HIBURAN

Tuah kaki Mon

Tuah kaki Mon


KARIER 'seni' Mon Ryanti bermula dengan penggunaan kakinya sebagai poster filem Remp-It V3: Samseng Jalanan arahan Farid Kamil.


TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Bagi seorang pelakon baharu, Mon Ryanti, dia tidak pernah mencongak soal tuah, sebaliknya menyerahkan segala ketentuan kepada takdir.

Sekadar mahu menggilap bakat lakonan, gadis yang lahir dengan pakej rupa menawan ini tidak menyangka bahawa tuahnya sedikit bersinar dalam pentas lakonan.

Siapa sangka dia yang mula mencuba nasib dalam dunia glamor terpilih kerana tuah kakinya.

Kaki gadis berusia 23 tahun ini digunakan untuk menjadi bahan pelaris filem Remp-It V3: Samseng Jalanan,arahan Farid Kamil.

"Poster itu hanya menggunakan bahagian kaki saya sahaja. Saya menyertai uji bakat itu hanyalah untuk suka-suka. Tidak sangka pula kaki saya yang terpilih.

"Ketika uji bakat pun mereka hanya mengambil gambar saya pada bahagian pinggang ke bawah sahaja," tutur gadis yang berketinggian 168 sentimeter itu.

Biarpun poster tersebut tidak diluluskan untuk penggunaan, tuah daripada kaki Mon itu mula berseri selepas itu. Dia tidak menyangka daripada kakinya itulah, dia ditarik untuk berlakon.

Gadis kelahiran Johor Bahru, Johor itu disunting oleh syarikat perfileman Metrowealth International Group (MIG) selepas bekerjasama dengan syarikat sama untuk penghasilan poster tersebut.

Terkini, Mon yang pernah berlakon dalam filem Mantera menjadi teraju utama bagi sebuah filem seram, Keramat.

Filem Keramat mengisahkan mengenai pasangan suami isteri Nazmir (Zul Handyblack) dan Syazura (Rabecca Nur Al Islam) yang pulang ke kampung bersama adiknya, Nasti (Hairul Azreen) dan isteri Nasti, Munirah (Mon Ryanti) untuk mengubati Syazura yang terkena penyakit misteri.

Pelbagai pengalaman seram yang mereka lalui ditonjolkan menerusi filem yang akan berada di pawagam pada Khamis ini.

Sebagai penambah rasa bagi resipi arahan Azhari Zain itu, Mon turut menjayakan aksi ghairah bersama Zul dalam filem yang telah dirakamkan dua tahun lalu itu.

Mengaku geli dan segan untuk melakonkan aksi ghairah itu, Mon tetap optimis melakukannya demi menyedapkan naskhah tersebut.

Dia sedar bahawa ramai peminat yang tidak akan selesa untuk menonton aksi itu, tetapi jelasnya ia masih tidak keterlaluan.

"Saya bersedia apa sahaja kemungkinan yang akan diterima daripada penonton. Pasti ada yang tidak suka saya melakukannya.

"Saya sendiri tidak yakin dan geli sebenarnya untuk melakonkan aksi di bilik air bersama abang Zul, tetapi demi menjayakan watak Munirah, saya tetap lakukannya," kata pemegang ijazah perakaunan dan kewangan dari Kolej Segi itu.

Mengaku bahawa ahli keluarganya masih belum mengetahui mengenai aksi beraninya itu, Mon tetap percaya bahawa keluarganya boleh menerima apa yang dilakukannya kerana ia mengikut kehendak skrip.

Selain pernah muncul menerusi filem Mantra dan Senario Beach Boys, tahun ini Mon akan muncul menerusi filem lain berjudul Hantu Dalam Botol Kicap.

Mahu lebih maju dalam dunia hiburan , gadis yang membintangi drama E-Toyol.com dan Jula Juli itu juga menanam cita-cita untuk bergelar seorang pengacara.

"Minat dalam dunia pengacaraan tu ada. Cuma saya perlu belajar dahulu. Mungkin ini bukan masanya lagi untuk saya terjun dalam dunia pengacaraan kerana saya baru bertapak sebagai seorang pelakon," kata gadis yang wajahnya persis pelakon Tiz Zaqiah itu.

Rencana Utama!»

Bandar raya paling selesa di dunia

MASJID Jamek Kuala Lumpur serta kawasan sekitarnya turut akan menjalani proses transformasi menerusi pelan Greater KL.

Varia!»

Cubaan pinggirkan bahasa Kantonis

BERMULA 1 September lalu, Guangdong TV telah menggantikan rancangan berbahasa Kantonis dengan Mandarin.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 0