NEGARA

450,000 murid baharu mula sekolah

450,000 murid baharu mula sekolah


BEBERAPA murid menaiki perahu untuk pulang ke rumah selepas sekolah mereka terpaksa ditutup kerana banjir di Kampung Tersan, Rantau Panjang semalam.


KUALA LUMPUR - Lebih 450,000 murid memulakan alam persekolahan mereka sebagai pelajar tahun satu di seluruh negara pada penggal pertama persekolahan bermula semalam.

Kumpulan itu termasuk 81,000 pelajar tahun satu di di 1,303 sekolah rendah di Terengganu, Kedah dan Kelantan yang memulakan sesi persekolahan semalam.

Bagaimanapun, sesi persekolahan terganggu di beberapa sekolah di Rantau Panjang dan Gua Musang di Kelantan serta Setiu di Terengganu kerana masalah banjir atau jalan masuk ke sekolah dinaiki air menyebabkan terputus hubungan.

Di Terengganu, Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Hashim Mohd. Zain berkata, 20,324 murid memulakan tahun satu di 347 sekolah rendah.

Di Kedah, Pengarah Pelajaran Negeri, Mansor Lat berkata, 32,068 murid tahun satu di 538 sekolah memulakan sesi persekolahan semalam.


Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (kiri)
menyampaikan set alat tulis kepada murid tahun satu
di Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya, Bangsar semalam.


"Bagi tingkatan satu pula, bilangan pelajar di 179 sekolah di Kedah meningkat kepada 34,202 tahun ini berbanding 33,256 tahun lepas," katanya.

Di Kelantan, sebanyak 28,586 murid tahun satu memulakan alam persekolahan di 418 sekolah di negeri itu.

Pengarah Pelajaran Kelantan Hussain Awang berkata, 11 buah sekolah di daerah Rantau Panjang dan dua di Gua Musang bagaimanapun tidak dapat memulakan sesi persekolahan kerana masalah banjir.

Process time in ms: 31