HIBURAN

Vokal tersendiri Amir

Vokal tersendiri Amir


PENGALAMAN menjadi pemuzik jalanan di Kuching, Sarawak adalah antara momen yang membentuk jati diri Amir Jahari pada hari ini.


BERAWAL daripada deringan jam loceng yang saban hari mengejutkannya daripada tidur yang panjang, penyanyi baru dengan nama Amir Jahari mendapat buah fikir untuk menulis sebuah lagu bertajuk Tanpamu.

Awalnya lagu yang kini sering diputar di corong radio diberikan tajuk Jam Putih namun setelah ditukar menjadi Tanpamu, masih berkisar tentang jam putih yang membantunya bangun setiap hari.

Amir Jahari, namanya perlahan-lahan dikenali umum. Terlebih awal, vokalnya yang tersendiri sudah mesra di telinga umum. Malah ada yang tertanya-tanya siapa pemilik suara yang mendendangkan Tanpamu. Pemilik nama berdaftar Mohamad Amirullah Jahari punya perancangan sendiri.

"Memang itu perancangan pihak pengurusan saya iaitu J Play. Mainkan lagu single Tanpamu dan biarkan ia matang di radio dan naik sendiri. Single pertama saya terhasil melalui kolaborasi kreatif bersama Anas Amdan. Di samping itu saya turut bermain di persembahan akustik untuk memperkenalkan wajah saya," ujarnya yang merupakan salah seorang peserta Akademi Fantasia musim kesembilan.

Menganggap muncul solo selepas keluar daripada dunia AF dahulu merupakan satu penjenamaan semula, Amir memulakan langkah baru. Mengalas gitar dan menyanyi dari hati, usaha Amir satu persatu sudah dikesan umum.

Anak kelahiran Kuching, Sarawak ini sebenarnya sudah bermain gitar sejak berumur 13 tahun. Ketika di tingkatan tiga, dia memasuki kelas muzik dan mendalami gitar klasikal.

"Habis SPM, saya sempat juga menjadi pemuzik jalanan dan bermain gitar di depan Waterfront. Itu antara pengalaman yang saya cari," ujarnya yang merupakan pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Memanjatkan lagi perjalanan karier seninya yang baru bermula, Amir yang lahir pada 31 Mei 1992 ini turut bekerjasama bersama penyanyi Altimet untuk sebuah lagu bertajuk Sabarlah. Selain itu, dia turut akan berkolaborasi bersama Adibah Noor untuk sebuah lagu ciptaan Amir sendiri.

Untung sabut timbul, baru setahun jagung dalam arena hiburan, Amir telah menjadi duta BlackBerry dan melakukan klip video Tanpamu dengan menggunakan BlackBerry Playbook.

Menyentuh soal proses kreatif yang dijalaninya, Amir mengaku banyak menonton filem-filem Jepun untuk mendapat idea. Menggemari penceritaan filem Jepun, Amir mendakwa dia kini memiliki lebih 20 lagu dalam simpanannya.

Perlahan-lahan tapi pasti dengan cara sebegini, Amir melihat ada momentum dalam perjalanannya.

"Imej saya biasa-biasa sahaja dan saya juga tidak menjual wajah. Apa yang penting orang tahu vokal dan hasil kerja saya," ujar Amir yakin. - SOFIATUL SHIMA WAN CHIK

Process time in ms: 15